Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 26 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku bernazar untuk berpuasa kerana ar- Rahman (Allah).”

Puasa Ramadan yang niatnya kerana Allah telah disyariatkan pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Daripada ayat ini jelaskan menunjukkan bahawa tujuan utama difardukan puasa Ramadan adalah untuk meningkatkan takwa kepada Allah.

Allah Maha Pemurah, maka memberi balasan atau ganjaran kepada orang-orang yang berjaya melaksanakan ibadah puasa ini dengan ganjaran pahala dan kebaikan di dunia.

Malah, untuk menggalakkan hamba-Nya melaksanakan ibadah dengan lebih banyak dan tekun, maka Allah anugerahkan satu malam yang istimewa dalam bulan Ramadan yang digelar sebagai lailatulqadar.

Kisah keistimewaan lailatulqadar ini ada disebut dalam surah al-Qadar yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu?

“Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, para Malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

Daripada surah al-Qadar itu dapat dirumuskan beberapa keistimewaan lailatulqadar iaitu:

• Pada malam al-Qadar, al-Quran diturunkan

• Malam yang lebih baik daripada seribu bulan

• Para Malaikat dan Jibril turun dengan izin Allah bagi mengatur urusan hamba-Nya dan mencatat segala amalan kebaikan.

Oleh itu, sangat rugi bagi orang-orang yang tidak mengambil peluang untuk mempertingkatkan amalan kebaikan dalam bulan Ramadan ini.

Dalam hal ini, timbul pertanyaan, bilakah lailitulqadar itu dan bagaimana untuk mendapatkannya?

Kita memang tidak dapat menjangkakan bila lailatulqadar itu hadir kerana lailatulqadar tidak dikhususkan pada malam-malam tertentu.

Hanya Allah yang mengetahui bila ia akan hadir. Oleh kerana kita tidak mengetahui bila lailatulqadar, maka setiap individu perlu membuat amalan kebaikan dan ibadah yang berterusan sejak awal Ramadan.

Istiqamah

Malah, lebih awal daripada itu, sepanjang tahun kita bermuhasabah dan bertekad untuk terus istiqamah dalam melakukan kebaikan, bukan hanya pada bulan Ramadan kita perlu bertingkah laku baik dan beribadah kerana menunggu lailatulqadar.

Oleh itu, untuk bertemu lailatulqadar iaitu malam yang penuh berkat ini, kita perlu kepada:

•Kehidupan yang dilalui seharian sepanjang tahun hendaklah konsisten daripada aspek ibadah khusus seperti solat, membaca al-Quran, berbuat baik sesama manusia, bersedekah, menjalankan amanah kerja dan meninggalkan segala maksiat.

•Apabila menjelang bulan Ramadan, persiapan awal telah dibuat untuk diri kita meningkatkan amalan ibadah dengan lebih baik. Merancang kerja-kerja supaya menjelang Ramadan kita dapat mengurangkan kesibukan, sebaliknya menumpukan ibadat kepada Allah.

•Memelihara jiwa dan hati daripada menurut hawa nafsu, membersihkan hati daripada penyakit hati seperti sombong, hasad dengki, buruk sangka, mengadu-domba, membenci, dendam dan busuk hati.

Sebaliknya, penuhi hati dan jiwa dengan sifat mahmudah seperti suka bersedekah, baik hati, mulia, menghormati, kasih sayang, belas kasihan, pemurah, rajin, tekun, takwa, syukur, redha dan sabar.

Sekiranya, segala persiapan telah dibuat, maka kita berdoa semoga Allah mengurniakan kita lailatulqadar walaupun tanpa kita sedari.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Carilah kamu lailatulqadar dengan beribadat dan mengerjakan ketaatan pada malam bilangan ganjil daripada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan.”

Hadis ini bukanlah bermakna menyuruh kita hanya menumpukan ibadat pada sepuluh malam terakhir Ramadan tetapi sebagai motivasi untuk kita mempertingkatkan ibadat pada malam-malam terakhir.

Ini kerana pada lazimnya, apabila akhir Ramadan dan Hari Raya, makin dekat manusia disibukkan dengan persiapan untuk menyambut hari lebaran hingga agak terleka serta lalai daripada mengerjakan ibadat yang lebih banyak.

Semoga kita dianugerahkan Allah dengan lailatulqadar.

nDitulis oleh: Timbalan Pengarah Pusat Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof.Madya Dr. Fariza Md. Sham