Sabda baginda seperti diriwayatkan al-Bukhari: “Tidak tetapi jihad yang paling afdal (bagi kalian) ialah haji yang mabrur.”

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Salleha Khalid berkata, diri yang sihat boleh memastikan haji yang lengkap.

Isu kesihatan wanita yang sering dirisaukan adalah haid dan masalah terkucil ketika menjalankan ibadah haji.

“Bagi permasalahan haid, terdapat dua cara pemakanan hormon yang boleh dilakukan bagi menahan haid daripada berlaku.

“Cara pertama ialah dengan mengambil pil hormon perancang setiap hari tanpa berhenti sebelum dan ketika berada di tanah suci.

“Cara kedua pula adalah dengan mengambil pil hormon Progesterone sepuluh hari sebelum tibanya haid dan meneruskan pengambilan pil selagi mana berada di sana,” ujarnya kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kedua-dua cara pengambilan hormon ini memerlukan perancangan awal dan disiplin diri bagi memastikan keberkesanannya. Ia boleh diambil selagi mana tidak terdapat apa-apa faktor penghalang seperti penyakit darah tinggi atau darah beku.

 

Buat saringan

Jemaah yang ingin melakukan rawatan hormon dinasihatkan supaya berjumpa doktor pakar terlebih dahulu dan tidak mengambilnya secara melulu.

Menurutnya, doktor akan membuat saringan kesesuaian penggunaan ubat tersebut dan cara penggunaan yang betul.

Wanita yang mempunyai tekanan darah tinggi, berat badan berlebihan, berisiko untuk mendapat darah beku atau mempunyai migrain dilarang daripada mengambil pil hormon tersebut.

“Ada juga yang bertanya apakah kesan kepada tubuh yang sepatutnya mengalami haid, namun ia tidak berlaku kerana pengambilan pil.

“Dalam hal ini ramai kaum wanita mengambil pil hormon tanpa menghadapi sebarang kesan sampingan.

“Namun terdapat segelintir daripada mereka yang mendapat kesan seperti mual atau loya, pening, mood tidak tetap dan mengalami sakit di payudara akibat kesan daripada pil hormon,” jelasnya.

Jika dilihat daripada sudut pandangan fatwa pula, hukum mengambil pil hormon bagi tujuan menahan haid adalah dibenarkan bagi tujuan untuk menjalankan ibadah haji.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu lagi masalah yang dikhuatiri wanita yang ingin mengerjakan haji atau ibadat lain yang memerlukan mereka berada dalam keadaan suci ialah Stress Urinary Incontinence (SUI) atau masalah mudah terkucil.

SUI berlaku apabila otot-otot faraj menjadi lemah dan menyebabkannya mudah terkencing ketika bersin, batuk ataupun ketawa.

Kelemahan otot berlaku akibat proses mengandung dan bersalin serta apabila berlaku penurunan hormon wanita selepas menopaus.

“Wanita yang mempunyai masalah SUI dinasihatkan agar bertemu doktor pakar terlebih dahulu bagi menentukan apakah rawatan terbaik.

“Misalnya, prosedur pembedahan memperkuatkan otot faraj boleh dilakukan bagi sesetengah pesakit atas konsultasi pakar.

“Selain itu, senaman Kiegel atau kemut dan mengehadkan pengambilan kafein yang terdapat di dalam kopi serta teh turut menjadi rutin yang boleh diamalkan untuk mengatasi masalah tersebut,” tuturnya.