Lama-lama kelamaan, rasa tidak selesa itu boleh bertukar menjadi rasa sakit sehingga pada satu tahap ia membataskan pergerakan serta menjejaskan kualiti kehidupan seseorang.

Pengarah Konsultan Fisioterapi, Klinik Rehabilitasi dan Kesakitan Miracle, Harjinder Singh berkata, aktiviti seharian yang padat, kesibukan mengurus keluarga dan kekangan waktu antara faktor yang menyebabkan seseorang itu tidak mempedulikan rasa tidak selesa yang dialami sehingga pada satu tahap ia menjadi teruk.

“Norma masyarakat di Malaysia ialah selagi badan mereka boleh berfungsi, mereka tidak akan mengendahkan rasa tidak selesa atau sakit yang dianggap masih mampu ditanggung pada ketika itu.

“Justeru, adalah penting supaya golongan itu memahami kenapa rasa sakit berlaku, dari mana ia datang dan apakah yang boleh dilakukan untuk memperbetulkan keadaan tersebut,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kebiasaannya, tabiat yang diamalkan dalam jangka waktu panjang seperti sering menggalas beg berat di bahagian bahu yang sama, tabiat duduk membongkok atau menyenget pada satu arah boleh mendorong isu itu berlaku.

Dalam hal ini, fisioterapi memainkan peranan penting mengikut keperluan rawatan dan masalah kesihatan pesakit tetapi tetap menjurus kepada pemulihan kecederaan pesakit.

Secara ringkas, fisioterapi merupakan rawatan pemulihan tanpa menggunakan ubat-ubatan.

Fisioterapi adalah gabungan dua perkataan yang diambil daripada singkatan fisiologi yang bermaksud fungsi dan terapi. Justeru, makna fisioterapi ialah penjagaan atau pemulihan kefungsian.

Inovasi

Secara asasnya, ia melibatkan latihan senaman dan pergerakan yang memberi penumpuan terhadap bahagian otot bermasalah supaya individu yang terlibat dapat melakukan semula aktiviti harian mereka secara normal.

Bagi atlet yang mengalami kecederaan, rutin senaman yang melibatkan aktiviti fungsional sukan yang diceburi dapat membantu memulih dan menguatkan kembali otot mereka.

Misalnya sesi fisioterapi dapat membantu pesakit belajar menggunakan anggota badan ketika sebahagian daripada tubuh yang memerlukan rawatan tidak dapat digunakan atau selepas kehilangan anggota asal.

Harjinder menjelaskan, inovasi teknologi menjadikan fisioterapi lebih efektif.

Justeru, terdapat banyak cara rawatan yang digunakan seperti terapi haba sama ada sejuk atau panas dan senaman bersesuaian.

Katanya, satu daripada teknologi moden terbaharu adalah terapi laser tahap rendah (LLLT) yang digunakan ahli fisioterapi untuk merawat pelbagai keadaan otot serta tulang.

“LLLT memancarkan tahap rendah cahaya diserap oleh mitokondria (organ penghasil tenaga dalam sel) yang kemudian dapat meningkatkan pengeluaran tenaga selular yang akhirnya membantu menyembuhkan tisu sekeliling.

“LLLT dipercayai mempercepat pembaikan tisu penyambung dan bertindak sebagai agen antiradang. Laser dengan panjang gelombang yang berlainan, daripada 632 hingga 904 meter Newton (nm), digunakan dalam rawatan otot dan tulang,” katanya.

Menurut Harjinder, panjang gelombang antara 660nm dan 905nm mempunyai keupayaan untuk menembusi kulit serta tisu lembut atau keras.

Cahaya itu mempunyai kesan baik terhadap sakit, keradangan dan pembaikan tisu. Proses itu boleh diandaikan seperti fotosintesis tumbuhan apabila sinar matahari diserap tumbuhan dan ditukar kepada tenaga supaya ia dapat tumbuh.

Selain LLLT, terdapat juga terapi laser dingin yang digunakan atlet dan ahli terapi fizikal untuk kecederaan ringan seperti otot luka akibat kemalangan kecil.

Ia juga bertujuan mengurangkan pembengkakan.

Dalam pada itu, Harjinder menyarankan setiap aktiviti sukan perlu dimulakan dengan rutin memanaskan badan seperti berjoging sekurang-kurangnya lima minit, diikuti latihan regangan, latih tubi sebelum acara sebenar dilakukan serta diakhiri dengan cooling down.

“Antara faedah yang boleh diperoleh ialah ia mampu meningkatkan prestasi seperti kelajuan dan mengurangkan risiko kecederaan.

“Senaman regangan merupakan latihan yang perlu dilakukan sebelum bersukan kerana ia memberi kelegaan kepada sendi otot selain menyegarkan minda apabila oksigen disedut masuk ke dalam paru-paru sebelum dialirkan ke bahagian otak,” jelasnya.