Hasil tinjau selidik oleh Nielsen Malaysia dan Am Life baru-baru ini menunjukkan sembilan daripada 10 penduduk negara menyedari hal itu.

Menurut kajian Tabiat Tidur Rakyat Malaysia 2018 oleh Nielsen Malaysia, 78 peratus masyarakat menyedari kesan tidur tidak berkualiti boleh menjejaskan kesihatan, emosi tidak stabil (73 peratus), keupayaan konsentrasi terganggu (70 peratus), mengurangkan produktiviti seharian (65 peratus) dan mendatangkan masalah kecantikan (47 peratus).

Bagaimanapun, mengikut kaji selidik itu, hampir 11 juta orang masih berdepan kesukaran untuk tidur pada waktu malam. Bahkan kira-kira empat juta daripada jumlah itu mengalami masalah insomnia kronik.

Hal ini tidak boleh dipandang remeh apabila hasil kajian turut menunjukkan purata masa rakyat Malaysia menikmati tidur hanya lebih kurang enam jam sehari berbanding lapan jam yang disarankan oleh Persatuan Tidur Sedunia serta pakar-pakar kesihatan.

Berbeza pula dengan negara Belanda yang memegang rekod paling lama penduduknya menghabiskan masa untuk tidur sehari berbanding negara lain iaitu lebih 12 minit daripada waktu yang disyorkan.

Punca

Kajian menunjukkan enam daripada 10 rakyat Malaysia mengalami kesukaran untuk tidur berikutan menghabiskan terlalu banyak masa bermain gajet seperti telefon pintar, komputer riba, tablet dan peranti elektronik lain.

Menurut Persatuan Tidur Sedunia, penggunaan peranti teknologi sebelum tidur boleh melambatkan jam tubuh seseorang (irama circadian) dengan menekankan perlepasan hormon melatonin.

Melatonin merupakan hormon yang menyebabkan seseorang itu tidur dan jika kekurangan hormon ini dalam badan menjadikannya lebih sukar untuk tidur.

Bagaimanapun, seorang pensyarah dan pakar kesihatan tidur dari Universiti Pisa, Itali, Dr. Laura Palagini berkata, ritma harian waktu tidur bukan sahaja dikawal atur oleh faktor-faktor dalaman badan tetapi juga dipengaruhi oleh keadaan persekitaran seseorang seperti gaya hidupnya.

“Gaya hidup yang sangat sibuk, tekanan dan kemurungan juga antara punca insomnia,” katanya pada majlis memperingati Hari Tidur Sedunia di Petaling Jaya baru-baru ini.

Terdapat tiga tanda seseorang itu mengalami tekanan yang melampau sehingga menjejaskan waktu tidurnya iaitu tidak dapat berhenti memikirkan urusan harian, kadar denyutan jantung meningkat dan mengalami ketegangan otot atau sakit pada bahagian leher serta bahu.

Apabila tidur terganggu, ia memberi kesan negatif terhadap kualiti kesihatan seseorang. Ia juga meningkatkan risiko seperti obesiti dan diabetes, melemahkan sistem imun, kemurungan, keresahan dan psikosis.

Selain itu, kesukaran tidur malam turut menjejaskan kesejahteraan, kualiti hidup serta produktiviti seharian seseorang.

Seorang pakar perubatan tradisional Cina, Dr. Koyabu Miki dari Jepun berkata, kesan lain tidur yang kurang berkualiti termasuk sakit kepala, kelesuan, sukar untuk berfikir atau memberi tumpuan serta sakit bahu dan leher.

Terdapat hampir 100 jenis gangguan tidur. Insomnia merupakan gangguan tidur paling umum. Kebanyakan gangguan tidur boleh diuruskan dengan bantuan pakar tidur. Bagaimanapun, hanya satu per tiga daripada penghidapnya meminta bantuan dan perkhidmatan profesional.

Presiden dan Pengasas Am Life, Lew Mun Yee berkata, syarikatnya telah bekerjasama dengan Persatuan Tidur Sedunia dan beberapa organisasi berprestij dalam industri teknologi tidur untuk memperjuangkan inisiatif penjagaan tidur.

Am Life merupakan satu-satunya syarikat di Asia yang menerima Anugerah Kehormat Hari Tidur Sedunia dalam kongres bersama Persatuan Perubatan Tidur Sedunia (WASM) dan Persatuan Tidur Sedunia tahun lalu.

Tilam

“Orang ramai sudah sedar hubung kait kesihatan seseorang dengan tidur yang baik,” katanya.

Tahun ini, Am Life melancarkan pameran bergerak serantau mereka yang menyasarkan golongan strategik termasuk khalayak umum dengan menganjurkan ceramah kesihatan, bengkel, memberikan petua dan penyelesaian di negara-negara utama Asia Pasifik khususnya Taiwan, Singapura, Indonesia serta Malaysia.

Pada majlis memperingati Hari Tidur Sedunia itu, Am Life turut memperkenalkan kelengkapan tidur penjagaan kesihatan bagi membantu golongan yang sukar tidur malam.

“Kebiasaannya, mereka yang menghadapi masalah pesakit insomnia ini tidak mengambil ubat-ubatan secara konsisten, hasilnya tiada perubahan boleh dilihat terhadap pesakit.

“Kami cuba mengatasi masalah ini dengan mengilhamkan tilam yang menggunakan terapi keupayaan elektrik kerana semua orang perlu tidur,” katanya.

Kelengkapan tempat tidur ini 100 peratus diimport dari Jepun dengan menggunakan teknologi elektrik haba yang telah disahkan oleh badan-badan persijilan perubatan di negara itu sebagai salah satu terapi insomnia.

Kementerian Kesihatan Jepun turut mengiktiraf tilam itu sebagai terapi yang boleh menambah baik beberapa gejala seperti sakit kepala, sakit bahu dan tengkuk, sembelit, kaki serta tangan sejuk, sakit saraf otot dan kelesuan kronik.