Perasaan kecewa itu hadir selepas mereka berasa tidak lagi terdaya untuk melangkah dari satu kedai ke satu kedai yang lain untuk mencari barangan yang diperlukan.

Pada awalnya, semangat pasangan suami isteri itu berkobar-kobar untuk membeli pelbagai barangan bagi kedai berkonsep ibu dan anak yang bakal dibuka di tanah air.

Namun, ia sedikit goyah apabila menyedari bahawa mereka sebenarnya tidak begitu pasti produk apa yang perlu dibeli.

“Kami turut membawa anak sulung yang ketika itu baru berusia tujuh bulan dan belum boleh berjalan. Dia sentiasa menangis apabila berasa tidak selesa atau lapar sementelah agak sukar menyusukannya dalam keadaan terpaksa berjalan jauh seperti itu.

“Saya tidak pernah bersusah payah untuk sampai ke tahap itu. Sebelum ini, saya hanya duduk di rumah mengurus rumah tangga kerana pendapatan suami cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

“Begitupun, terdetik di hati saya untuk keluar daripada zon selesa. Pada peringkat awal, saya berjinak-jinak dengan perniagaan online menjual barangan berasaskan herba selama lebih setahun.

“Ingin melangkah lebih jauh, saya mengajak suami ke China untuk memborong di sana. Dalam tempoh lima hari, lebih 30 kotak barangan berjaya dibeli dengan kos perbelanjaan mencecah RM40,000,” imbau Noor Shazrah ketika ditemui di Kosmo! di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Itu antara jerih perih yang menjadi momen berharga pengasas syarikat pemborong dan peruncit Mom’s House yang kini telah mempunyai enam cawangan di sekitar Selangor selain di Pasir Puteh, Kelantan.

Mom’s House yang sinonim dengan warna tema hijau dan putih itu mengetengahkan pusat sehenti barangan keperluan ibu dan anak baik sebelum ataupun selepas kelahiran.

Bercerita lanjut, ibu kepada Muhammad Fateh Shahmi, 5, dan Safwa Natasya, 3, itu berkata, idea untuk memiliki kedai impian timbul sewaktu dia sedang hamil bayi pertama.

Menurut anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu, ia adalah detik yang ditunggu-tunggu selepas empat tahun dia dan suami mendirikan rumah tangga. Mereka yang pada masa itu tinggal Nilai, Negeri Sembilan begitu teruja untuk menyediakan barangan keperluan bayi.

Tradisional

“Pantang nampak kedai bayi, kami akan singgah walaupun terpaksa ke bandar Bahau dan Seremban.

“Namun, ketika itu tidak banyak kedai yang dipelopori orang Melayu dan kami dapati sukar untuk mendapatkan barangan tradisional seperti set berpantang dan sebagainya.

“Barangan yang dijual agak mahal dan tidak begitu banyak pilihan. Ada ketikanya, kami tidak memperoleh maklumat yang jelas dalam proses membeli sesuatu barangan,” tutur graduan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Sains Malaysia itu.

Sementara itu, Hilmi berkata, dia masih berkhidmat sebagai pegawai di bahagian keselamatan sebuah syarikat berkaitan kerajaan selain pernah bertugas sebagai jurutera selama beberapa tahun ketika mula melibatkan diri dalam perniagaan tersebut.

“Saya masih ingat, stok jualan yang diborong buat pertama kali terpaksa dilonggokkan di depan rumah selama lebih dua minggu kerana urusan mendapatkan lot kedai di sebuah pusat membeli-belah masih belum selesai.

“Namun, tidak lama kemudian, kami mendapat tawaran menyertai ekspo barangan bayi di Putrajaya selama tiga hari daripada seorang rakan. Sejak itu, kami meninjau kehendak pasaran, sekali gus mendekati golongan sasar.

“Oleh kerana saya bekerja, isteri saya terpaksa bertungkus lumus menjaga tapak jualan pada ekspo itu. Pada masa yang sama, dia turut membawa anak kami yang masih kecil,” ujarnya yang kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Pengarah Urusan Faby Famy Sdn. Bhd., yang merupakan syarikat pengendali jenama Mom’s House itu menambah, kini mereka boleh tersenyum puas setelah perniagaan itu dibantu seramai 30 pekerja.

Menurutnya, syarikat itu membekalkan lebih 1,000 jenis item untuk memenuhi permintaan pelanggan antaranya pakaian, kereta sorong bayi (stroller) dan peralatan menyusu.

Ada antara reka bentuk produk seperti bengkung, beg penyimpanan susu dan kain pelindung menyusu dibuat sendiri di bawah label Mom’s House dengan kira-kira 40 peratus adalah barangan dikeluarkan sendiri oleh syarikat tersebut.

Selain itu, pihaknya turut mengeluarkan sendiri produk berpantang yang dihasilkan di kilang yang beroperasi di Kemaman, Terengganu serta mempunyai sebuah lagi kilang di Kuala Lumpur.

Katanya, ia meliputi 17 rangkaian produk di bawah jenama Seri Mama, terdiri daripada set berpantang dan minuman penggalak susu ibu.

Produk berpantang itu antaranya terdiri daripada set berpilis, mandian herba ibu berpantang, uncang demam kuning yang dirumus sendiri oleh seorang daripada ahli keluarga Noor Shazrah yang mempunyai pengetahuan dalam ilmu perbidanan.

“Tidak ramai yang mempunyai kepakaran menghasilkan ramuan untuk produk itu, sementelah ia menggunakan bahan yang sukar diperoleh, terutamanya di kawasan bandar antaranya daun bidara, serai wangi, daun jambu batu dan daun mengkudu.

“Kami dapati masyarakat moden kini masih menitikberatkan penjagaan fasa berpantang. Jadi, produk seumpama itu adalah item yang dicari tetapi boleh dikatakan sukar didapati,” katanya.

Khianat

Adat berniaga mesti ada untung rugi. Hilmi mendedahkan, pengalaman dikhianati pekerja sendiri sehingga kerugian puluhan ribu ringgit kira-kira tiga tahun lalu memberi pengajaran dalam memperkemas sistem pentadbiran dan pengurusan kewangan syarikat.

Ketika kejadian itu berlaku, dia menguruskan Mom’s House secara sambilan kerana masih belum yakin untuk meletak jawatan, manakala isterinya yang sedang sarat mengandungkan anak kedua tidak dapat memberi tumpuan dalam mengurus operasi kedai.

“Perkara itu membuka mata saya untuk membulatkan tekad berhenti kerja dan memberi sepenuh perhatian kepada perniagaan ini.

“Dalam hal ini, saya mengambil pendekatan agresif mengenai pemasaran dan promosi, terutamanya menggunakan media sosial serta laman web. Laman Facebook kami pula telah mempunyai hampir 500,000 pengikut.

“Laman sosial kami bukan sahaja memaparkan maklumat produk, malah kami turut melantik penulis kandungan secara tetap yang berkongsi tip dan artikel mengenai ilmu keibubapaan serta penjagaan bayi kepada pengguna media sosial,” katanya.

Lebih manis, syarikatnya pernah memenangi tempat ketiga pertandingan Biz Challenge 2016 anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

Pertandingan itu dibuka kepada usahawan muda berusia 18 hingga 33 tahun, mempunyai perniagaan dengan rekod transaksi, berdaya maju, inovatif, kreatif, patuh syariah dan beroperasi sekurang-kurangnya setahun.

Selepas empat tahun berkecimpung dalam perniagaan itu, Hilmi optimis ia mampu memberi pulangan yang baik dan menyasarkan untuk membuka sembilan lagi cawangan baharu pada akhir tahun ini.

“Kami ada menerima maklum balas daripada mereka yang berminat untuk menyertai perniagaan francais kami termasuk di utara dan selatan Semenanjung.

“Begitupun, kami akui persaingan kian sengit kerana semakin banyak kedai berkonsep sebegini muncul di pasaran.

“Namun, ia tidak mematahkan semangat kami untuk membuat inovasi dan menambah baik kualiti produk, sekali gus bersaing secara sihat dengan pengusaha lain,” katanya.