Sepanjang sesi itu, Nadeen Amber Zara Aidinorazri tidak henti-henti bertanya kepada fasilitator lawatan mengenai proses penanaman tersebut.

Adakalanya pertanyaan yang dianjurkan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Cyberjaya, Selangor itu sukar dijawab dan diterangkan oleh fasilitator.

Justeru, fasilitator terpaksa memanggil petugas di Laman Nanas untuk memberikan penerangan yang lebih jelas kepada Nadeen Amber Zara.

“Saya tidak faham sebab daun nanas perlu diletakkan secara condong pada tanah. Jadi, saya tanya kepada fasilitator.

“Rupa-rupanya ia untuk memudahkan tunas keluar dicecah daun. Ilmu ini sangat penting dan ia boleh digunakan untuk menanam nanas di rumah,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Nadeen Amber Zara merupakan salah seorang daripada 87 peserta yang menyertai program Agrokids 3.0.

Program anjuran Nafas Modal Insan Sdn. Bhd. (Nafas Modal Insan) iaitu anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan itu turut disertai oleh 35 orang pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Pendedahan

Objektif program Agrokids 3.0 untuk memberi pendedahan kepada para peserta cilik berkenaan dunia pertanian dan penternakan.

Antara aktiviti yang dianjurkan di MAEPS ialah lawatan ke Laman Mini Kelulut, Laman Padi, Laman Nanas dan ladang Goat2Go Farm.

Menurut Nadeen Amber Zara, Agrokids memberi peluang kepadanya untuk menjelajah beberapa tempat menarik yang terdapat dalam MAEPS.

“Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya sangat teruja melihat ladang pertanian yang luas dan besar.

“Kami juga diberi penerangan dan pendedahan mengenai proses penanaman serta penternakan,” kata anak kepada salah seorang kakitangan Nafas itu.

Pertanian merupakan salah satu industri penting kepada ekonomi negara. Pada tahun 2016, eksport sektor pertanian negara mencecah RM115,844 juta.

Selain itu, pertanian juga merupakan penyumbang utama bekalan makanan kepada 32 juta rakyat Malaysia.

“Pada tahun 2030, penduduk negara dijangka mencecah 43 juta orang. Justeru, kecukupan bekalan makanan sangat penting.

“Sektor pertanian negara perlu berkembang bagi mengurangkan kebergantungan pada produk makanan import.

“Usaha mengembangkan sektor pertanian ini boleh dibuat untuk menggalakkan penglibatan generasi muda. Jadi, Agrokids ini merupakan salah satu platform terbaik,” ujar Pengurus Besar Nafas Modal Insan, Saharudin Mohd. Dan.

Beliau memberitahu, Agrokids memberi pendedahan dan membuka mata kanak-kanak bahawa pertanian mempunyai potensi sangat besar.

Jelasnya, ia dapat memupuk minat peserta untuk berjinak-jinak dengan pertanian dan menjadikannya sebagai kerja pilihan apabila dewasa kelak.

“Program ini diharap dapat membuka mata para peserta bahawa sektor pertanian tidak hanya terhad kepada proses tanam dan tuai.

“Sebaliknya, ia turut menjangkau aspek kejuruteraan, sains dan teknologi. Ini menjadikan sektor pertanian lebih menarik,” katanya.

Mengulas mengenai Agrokids 3.0, beliau memaklumkan, ia merupakan kesinambungan daripada dua program sebelum ini.

Ia adalah program wajib yang dianjurkan oleh pihaknya setiap kali musim cuti sekolah.

“Buat masa ini, Agrokids terbuka kepada anak kakitangan Nafas. Kami merancang untuk memperluaskan kepada orang ramai pada masa hadapan,” katanya.

Bagi salah seorang lagi peserta Agrokids 3.0, Muhammad Nazmi Nazuridin, 19, program itu berjaya membuka matanya terhadap sektor pertanian.

Inovasi

Pelajar UniKL itu berkata, dia dapat melihat sendiri beberapa implikasi sains dan teknologi dalam bidang pertanian.

“Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah penggunaan teknologi seperti jentera penanaman dan menuai padi,” katanya.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu menambah, lawatan tersebut juga membolehkan dia melihat inovasi produk pertanian.

Ujarnya, antara produk yang menarik adalah penghasilan jus nanas dan pembinaan restoran berasaskan kambing di kawasan ladang.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Manfaatnya sangat banyak kepada para pelajar seperti saya,” katanya.