SABAN hari, Zulazri Yusoff melihat anaknya yang berusia empat tahun menghabiskan masa bermain video dan menonton rancangan kartun menerusi telefon pintar.

Keresahan mula timbul dalam diri lelaki berusia 35 tahun itu apabila melihat Muhammad Haziq menangis dan meronta-ronta apabila tidak diberikan telefon pintar.

Bagi mengatasi masalah itu, dia mengambil keputusan untuk mendedahkan anaknya dengan buku kanak-kanak hasil kunjungan ke Pusat Sumber dan Perpustakaan Kanak-Kanak (PSPK) di Kelana Jaya, Selangor.

PSPK merupakan sebuah pusat yang menawarkan pelbagai bahan bacaan dan bahan rangsangan bagi memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Langkah yang diambil oleh Zulazri untuk membawa anaknya ke PSPK itu berjaya mengurangkan kebergantungannya terhadap skrin telefon pintar.

“Tempat ini menawarkan pelbagai bahan bacaan bermanfaat kepada kanak-kanak mengikut peringkat usia.

“Di sini juga, mereka dapat bergaul dan bermain bersama rakan-rakan sebaya yang lain,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Zulazri yang berasal dari Taiping, Perak menambah, dia dan anak tunggalnya itu akan menghabiskan masa di PSPK selama dua jam seminggu.

PSPK yang dibuka oleh Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) itu turut menyasarkan kunjungan para pengamal pusat asuhan dan didikan awal kanak-kanak serta agensi-agensi berkaitan.

Pengerusi Persatuan Tadika Swasta Negeri Melaka, Suhaili Othman berkata, PSPK memberi kesedaran kepadanya mengenai kepentingan perpustakaan kanak-kanak.

Dia yang mengusahakan empat buah taska memberitahu, perpustakaan itu dapat memudahkan pengusaha taska sepertinya mendapatkan bahan bacaan terbaik.

Maklumat

“Ada masanya kami (pengusaha taska) memerlukan perpustakaan seperti ini untuk mempelbagaikan sumber bacaan di taska.

“Kanak-kanak pasti bosan sekiranya tenaga pengajar meletakkan bahan bacaan yang sama di taska pada setiap hari,” katanya.

Tambah Suhaili, PSPK juga memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai isu semasa berkaitan kanak-kanak.

Presiden PPBM, Norsheila Abdullah berkata, PSPK merupakan projek masa depan pertama persatuan itu dengan sasaran 10 orang kanak-kanak pada satu-satu masa.

Jelasnya, PSPK memberi peluang kepada semua ahli, pengasuh dan pengamal pendidikan meneroka penyelidikan serta menimba ilmu, sekali gus menjadi tempat berkongsi isu-isu semasa.

“Inisiatif ini adalah untuk mengoptimumkan ruang di ibu pejabat kami, sekali gus memberi akses kepada kira-kira 11,000 orang ahli PPBM.

“PSPK juga bakal menjadi contoh terbaik kepada ahli-ahli yang berhasrat untuk membuka perpustakaan kanak-kanak terutamanya dalam aspek konsep dan pemilihan buku,” katanya.

PSPK turut dilengkapi dengan kemudahan komputer dan internet bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Menurut Norsheila, PSPK diwujudkan bagi memupuk minat membaca buku dalam kalangan kanak-kanak seawal usia kecil.

Jelasnya, meskipun kadar celik huruf di negara ini tinggi, asas yang mantap perlu dipupuk pada usia muda bagi memastikan mereka berada di landasan yang betul.

“Kami berharap PSPK dapat membangkitkan budaya menyelak halaman bagi membolehkan kanak-kanak berimaginasi menerusi apa yang dilihat, disentuh dan dengar,” katanya.

Buku-buku bacaan di PSPK boleh dipinjam untuk tempoh dua minggu. Seorang ahli berdaftar dibenarkan meminjam tiga buah buku pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, koleksi buku rujukan tidak boleh dipinjam atau dibawa keluar dari perpustakaan itu.

PSPK membantu memperkasakan kanak-kanak dalam aspek kebebasan dan keselamatan mereka melalui aktiviti bacaan serta kegiatan dalam perpustakaan.

Katanya, ia menjadi tempat selamat dan kondusif kepada kanak-kanak berusia sehingga empat tahun dalam membangunkan kemahiran kognitif.

“Kami mahu kanak-kanak menghabiskan masa dengan membaca buku dan bukannya menghadap skrin televisyen atau telefon pintar.

“Bagi mengelak kanak-kanak berasa bosan, kami turut menyediakan bahan rangsangan dan kegiatan seni yang bersesuaian dengan peringkat umur,” jelasnya.

Selepas kejayaan PSPK, Norsheila memaklumkan, pihaknya berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan perpustakaan secara bergerak ke taska-taska dan pusat aktiviti kanak-kanak.

Ujarnya, program yang dikenali sebagai Book on Wheels itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial PPBM kepada kanak-kanak kurang berkemampuan di sekitar Lembah Klang.

Insan unik

“Buku-buku dan bahan rangsangan di sini akan dibawa ke taska serta pusat aktiviti kanak-kanak pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan.

“Aktiviti membaca dan bercerita juga akan dilaksanakan bersama kanak-kanak semasa lawatan berkenaan,” jelasnya.

PSPK dibuka secara rasmi oleh isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhammad dalam satu majlis di ibu pejabat PPBM.

Dalam ucapan perasmian, Madiana memberitahu, kanak-kanak merupakan insan unik kerana mempunyai keinginan dan cara berbeza untuk belajar, meneroka serta menyelidik.

Jelasnya, keupayaan kanak-kanak untuk belajar dan mengetahui satu-satu perkara akan bertambah jika mereka diberi ruang serta rangsangan secukupnya oleh ibu bapa.

“Ibu bapa atau pengasuh perlu memainkan peranan dengan menjadikan bahan-bahan bacaan lebih menarik kepada kanak-kanak.

“Ia boleh disampaikan dalam bentuk cerita, sekali gus meningkatkan interaksi kanak-kanak dengan ibu bapa dan pengasuh,” terangnya.

Menariknya, PSPK tidak hanya menyediakan bahan bacaan buat kanak-kanak tetapi melibatkan golongan dewasa. Ia adalah sebahagian daripada langkah memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Menurut Masdiana, beliau sentiasa percaya bahawa membaca adalah jabatan ilmu kepada kanak-kanak untuk mendekatkan diri dan menerokai dunia luar.

Dengan membaca, seseorang itu akan mendapat maklumat tanpa sempadan untuk membantu mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup serta kerjaya masing-masing.

“Saya berharap, lebih banyak badan bukan kerajaan di negara ini mengikut jejak langkah PPBM untuk membuka perpustakaan kanak-kanak,” jelasnya.