Pakar Gastroentrologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Dennis Khoo Yeap Teng berkata, ketika berpuasa seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik akan menurun. Justeru, sakit perut akibat asid perut yang tinggi sepatutnya tidak timbul.

Gastritis atau gastrik adalah sejenis penyakit yang sering dikaitkan dengan pedih pada perut dan hulu hati. Sebenarnya, kesakitan ini disebabkan oleh jangkitan bakteria dipanggil Helicobacter pylori (H. pylori).

Gastrik juga boleh berpunca daripada tabiat merokok, minum minuman keras, makan tidak tentu masa, stres selain pengambilan ubat-ubat tertentu seperti ubat penahan sakit, aspirin dan ubat tradisional yang mengandungi steroid.

“Penyakit itu biasanya mengambil masa yang lama untuk terjadi sama ada ia berpunca daripada bakteria atau kesan pengambilan ubat-ubat tersebut.

“Jika diperhalusi, kita tidak akan mengalami sakit perut walaupun tidak mengambil makanan ketika tidur pada waktu malam sehingga pagi. Jadi, jika berpuasa dalam tempoh masa yang lebih kurang sama sepatutnya tiada masalah.

“Bagaimanapun, ramai yang mempercayai secara psikologi mereka akan mendapat gastrik jika berpuasa,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

 

Gejala

Menurutnya, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mengesahkan seseorang menghidap gastrik. Dalam hal ini ujian pernafasan adalah satu daripada kaedah mudah untuk mengesan kehadiran bakteria H. pylori dalam hembusan udara yang dilepaskan seseorang.

Selain itu, prosedur endoskopi dengan mengambil sampel daripada lapisan usus dan menghantarnya ke makmal juga boleh dilakukan untuk mendapatkan diagnosis yang lebih tepat.

Antara gejala yang ditunjukkan pesakit gastrik ialah sakit di bahagian hulu hati, perut kembung, loya, muntah darah dan najis berwarna hitam serta kehilangan berat badan.

Beliau turut menyarankan mereka yang mengalami gejala-gejala tersebut supaya berjumpa doktor kerana ia dikhuatiri boleh menyebabkan ulser perut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan mereka yang berpuasa supaya mengawal makan ketika berbuka dan bersahur. Pada masa sama, mengelakkan makanan yang pedas, berminyak dan berlemak yang boleh menyebabkan asid refluks. Asid refluks merupakan satu lagi isu yang harus diambil berat selain gastrik.

Perut manusia dipenuhi jus berasid iaitu atau jus gastrik yang membantu proses penghadaman. Dalam keadaan normal, otot ini mengendur untuk membolehkan makanan dari esofagus masuk ke dalam perut dan mengecut untuk mengelakkan makanan dan jus gastrik daripada kembali semula ke dalam esofagus.

Ini adalah salah satu mekanisme perlindungan badan semula jadi. Bagaimanapun, apabila otot ini menjadi lemah, jus berasid dari perut mengalir semula ke dalam esofagus. Keadaan itu dipanggil asid refluks.

“Makan secara berlebihan atau makan lewat malam sebelum tidur turut menyebabkan masalah tersebut. Ini kerana dalam keadaan berbaring segala yang dimakan akan naik semula ke atas dan menyebabkan seseorang akan berasa pedih hulu hati.

“Selain itu, pengambilan makanan seperti kopi, coklat, minuman berkarbonat, tomato dan buah sitrus boleh memburukkan lagi situasi asid refluks.

“Ini kerana ada antara makanan tersebut mengandungi kafein dan perangsang lain seperti teobromin yang menyebabkan perut kurang aktif dan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk,” ujarnya.