Kunjungannya ke surau itu seawal pukul 9.30 pagi adalah untuk bersama rakan-rakan menyertai program Pedagogi Penguasaan Bahasa Inggeris Murid Miskin Bandar (Pearl) yang dilaksanakan oleh Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama pihak surau Mutiara Damansara.

Bagi Nur Batrisya, dia gembira mengikuti program tersebut kerana berpeluang untuk meningkatkan kemahirannya komunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Apabila mengikuti program ini, saya lebih yakin untuk bercakap dalam bahasa Inggeris.

“Saya rasa terhibur dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh guru-guru ketika mengajar kami untuk menguasai bahasa Inggeris,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 4 itu.

Selepas lima bulan Pearl berlangsung, ia berjaya meningkatkan keyakinan para pelajar untuk berbahasa Inggeris.

Baru-baru ini, seramai 38 peserta program itu menyertai Majlis Persembahan dan Hari Laporan Projek Pearl di Auditorium Utama, Fakulti Pendidikan, UM, Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Pendidikan UM, Prof. Dr. Rohaida Mohd. Saat, Pengarah Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares), Prof. Dr. Norzulaani Khalid dan Pengerusi Surau Mutiara Damansara, Azhar Abu Bakar.

Persembahan

Pada majlis itu, para peserta menunjukkan peningkatan dalam penguasaan bahasa Inggeris mereka dengan melakukan persembahan choral speaking dan sketsa di hadapan khalayak ramai.

“Pada mulanya, saya rasa berdebar untuk melakukan choral speaking di hadapan orang ramai. Namun, melalui latihan yang diberikan oleh guru-guru, saya bersama rakan-rakan lain berjaya melakukannya,” jelas Nur Batrisya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Projek Pearl, Dr. Adelina Asmawi berkata, dia begitu gembira melihat perkembangan yang ditunjukkan oleh peserta program tersebut.

Jelasnya, majlis yang diadakan itu menjadi batu loncatan untuk peserta Pearl menunjukkan kemahiran mereka menguasai bahasa Inggeris dalam bentuk persembahan.

“Ketika program ini mula dilaksanakan, peserta-peserta ini amat malu untuk berbahasa Inggeris.

“Namun, melalui pengajaran dan pembelajaran inovatif yang menekankan penggunaan teknologi, permainan, seni serta drama, ia memberi keyakinan kepada mereka,” jelasnya.

Adelina berkata, kesemua peserta program itu dipecahkan kepada lima kumpulan dan mereka diberi tunjuk ajar oleh lima guru sukarelawan yang terdiri daripada dua mahasiswa Ijazah Sarjana Muda iaitu Arina Aneesa dan Muhammad Irfan Mohamed Nazir serta tiga mahasiswa Ijazah Sarjana, Zainul Hakim Shazni Zainul Fuad, Farid Zahier Zikri serta Madihah Mohamed Idris.

Dana untuk menggerakkan projek Pearl diperoleh menerusi bantuan UMCares.

Adelina menjelaskan, aktiviti untuk projek Pearl yang dilakukan pada setiap minggu tidak mudah kerana mereka tidak menggunakan aktiviti biasa dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Setiap guru sukarelawan mengetahui tentang kelemahan murid-murid dan kami tidak memberikan corak pengajaran yang sama seperti di sekolah.

“Kami menggunakan pedagogi berbeza yang memupuk keyakinan diri, sifat kasih bahasa, permainan dan penggunaan teknologi,” jelasnya,

Adelina yakin corak pembelajaran seperti itu akan lebih memberi kesan yang ketara kepada murid-murid.

Komuniti

Dalam pada itu, Norzulaani menjelaskan, UM juga menekankan penglibatan pensyarah dengan komuniti setempat bagi menyumbang kepakaran yang mereka ada.

“UM bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik para pelajar tetapi kami mahu turut sama membantu dalam komuniti.

“Melalui UMCares, pelbagai program bersama komuniti dilaksanakan dan antaranya adalah projek Pearl,” katanya.

Norzulaani menambah, UMCares menyediakan geran untuk pensyarah-pensyarah yang ingin melaksanakan program bersama komuniti.

Banyak program komuniti yang dilaksanakan berjaya dan mempunyai kualiti yang tersendiri.

Katanya lagi, dia melihat projek Pearl antara program yang berjaya kerana kehadiran murid-murid yang menyertainya amat konsisten pada setiap minggu.