Kedua-duanya teruja menggayakan busana bertema sambutan Hari Kebangsaan yang mempunyai gabungan warna merah, biru, putih dan kuning mewakili warna Jalur Gemilang. Pakaian tersebut telah siap digosok rapi pada sebelah malamnya.

Tidak menuju ke Tadika Anjung Pelangi Sinar Alam di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor, dua beradik itu sebaliknya dihantar bapa mereka ke Masjid Puncak Alam.

“Baju Melayu yang saya pakai ini cikgu beri tetapi baju, adik ibu jahitkan. Dia (adik) bangun lebih awal pukul 5 pagi tetapi tidur semula kerana hari masih awal,” ujar Safwan Umair ketika ditemui Kosmo! pada Program Mega Merdeka Kanak-Kanak Tadika dan Taska Kuala Selangor baru-baru ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu bercerita, dia biasa ke masjid tersebut bersama bapanya untuk menunaikan solat, namun hari tersebut adalah kali pertama dia ke sana bagi mengikuti program yang dianjurkan bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Tidak ketinggalan memeriahkan sambutan ialah seorang murid transit dari Taska Anakku Sufi Bestari, Nor Nabilah Sanusi, 8, yang turut mengenakan gaun bertemakan Jalur Gemilang yang ditempah khas oleh ibunya.

Pakaian beragam

“Sejak berusia enam tahun saya teringin pakai pakaian beragam begini dan gembira ibu benarkan saya pilih sendiri rekaan yang diminati di laman YouTube,” kongsinya ceria.

Pengerusi Persatuan Taska Daerah Kuala Selangor, Sarina Hussain menjelaskan, program tersebut menggabungkan 16 taska dan tadika di daerah tersebut melibatkan 500 kanak-kanak berusia semuda dua tahun dan kira-kira 100 orang tenaga pengajar.

Program pada pukul 8.30 pagi itu dimulakan dengan bacaan ikrar Rukun Negara, nyanyian lagu-lagu patriotik, perarakan perbarisan, persembahan dan pertandingan mencipta replika.

“Buat julung-julung kali kami berjaya mendapatkan persetujuan pengusaha taska yang agak ramai dan kesemuanya bersetuju mengadakannya di Masjid Puncak Alam yang mempunyai kelengkapan dewan serta ruang yang luas dan selesa.

Imarah masjid

“Objektif pemilihan lokasi program di masjid juga bertujuan mendekatkan generasi muda dengan institusi tersebut selain mengimarahkan masjid sebagai pusat aktiviti komuniti setempat,” tuturnya.

Sementara itu, bagi seorang guru dari Tadika Anjung Pelangi Sinar Alam, Maimunah Shaarani, beliau melihat program yang diatur merangkumi aspek pendidikan awal kanak-kanak, antaranya melibatkan terapi pengucapan, aktiviti pergerakan fizikal dan gerak kerja berkumpulan.

Katanya, para peserta turut dapat menguji kreativiti mereka menerusi pertandingan membina replika menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti sarang telur, botol air dan tin susu terpakai.

“Ciptaan replika yang kami buat ini terbahagi kepada empat elemen utama iaitu kereta kebal, jet pejuang, Menara Berkembar Petronas dan bendera berbentuk hati yang dibuat menggunakan gulungan kertas.

“Ia sebenarnya dihasilkan secara spontan dan mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan,” ujarnya sambil menambah, tadikanya turut muncul juara kategori sepanduk tercantik.