Tinjauan Sarapan Sihat Asia Pasifik 2019 yang dikeluarkan oleh syarikat pemakanan global, Herbalife Nutrition meneroka kombinasi sarapan tempatan yang lazimnya dipilih oleh pengguna serta faktor yang mempengaruhi pilihan tersebut, dan pandangan responden mengenai kombinasi sarapan yang sihat.

Tinjauan itu bertujuan mempelajari sikap dan tingkah laku warga Malaysia terhadap amalan bersarapan selain mempunyai menilai perbezaan antara sarapan pagi yang ideal, lazim, dan sihat.

Hasil tinjauan itu mendapati, lebih 54 peratus bersarapan dalam masa dua hingga tiga jam selepas bangun daripada tidur pada setiap hari, manakala 12 peratus individu bersarapan dalam tempoh masa yang sama lima hari seminggu.

Perkembangan yang positif dapat dilihat daripada 61 peratus responden yang menyatakan pengambilan makanan sihat merupakan faktor yang penting, sebagaimana 74 peratus responden menyatakan mereka berasa lebih bertenaga setelah bersarapan dua hingga tiga jam selepas bangun.

Penjagaan metabolisme

“Hari yang dimulakan dengan sarapan sihat membantu dalam penjagaan metabolisme, kesihatan otot dan pengurusan berat badan untuk jangka panjang.

“Sehubungan itu, kami berasa terdorong untuk mengetahui bahawa lebih daripada separuh warga Malaysia menggunakan masa untuk bersarapan setelah mereka bangun tidur,” ujar Naib Presiden Urusan Perubatan dan Pendidikan Nutrisi, yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Herbalife Nutrition, Dr. Kent Bradley.

Bagi rakyat Malaysia, faktor pertama mendorong pengambilan sarapan pagi yang tipikal ialah kemudahan dan aksesibiliti. Sementara itu, faktor rasa dan kepatutan harga terikat sebagai faktor kedua tertinggi. Faktor melibatkan sarapan pagi yang sihat dan berkhasiat pula menduduki tempat bawah.

“Pengambilan sarapan pagi sihat penting untuk membekalkan tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan agar rentak metabolisme harian dapat dimulakan dengan betul.

“Oleh itu, warga Malaysia perlu mempertimbangkan pengambilan sarapan yang sihat dan berkhasiat kerana badan memerlukan nutrisi yang betul bagi permulaan hari yang baik,” tambah Bradley.

Sarapan di rumah

Kajian itu juga mendapati, lebih daripada separuh responden bersarapan di rumah. Kopi menjadi minuman kegemaran manakala teh dipilih sebagai minuman pilihan.

Dari segi makanan, 44 peratus mengakui mereka menggemari juadah yang berasaskan telur, diikuti nasi.Bersama, kedua-dua bahan itu merupakan kombinasi sarapan pagi pilihan untuk 30 peratus responden.

Sarapan yang sihat terdiri daripada komposisi nutrisi yang ideal. Walaupun umum kurang sedar tentang perkara ini, kajian tersebut mendapati, 94 peratus warga Malaysia masih mempunyai tekad untuk bersarapan dengan makanan yang sihat pada waktu pagi.

Bagaimanapun, Pengurus Besar dan Pengarah Herbalife Nutrition Malaysia, Steven Chin berkata, faktor kekangan masa (73 peratus), wang (36 peratus) dan tenaga yang diperlukan (33 peratus) kekal sebagai halangan utama bagi mereka.

“Berdasarkan hasil kajian ini, kita dapat melihat sentimen yang positif kerana sembilan daripada 10 warga Malaysia mahukan sarapan yang sihat, asalkan ia mudah untuk disediakan dan diakses, ringkas serta berpatutan dari segi harga. Ini merupakan sebuah petunjuk yang baik dan permulaan yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia lebih sejahtera dan sihat,” ujarnya.