Dboy Ahamad Shazian Nizan menggunakan isyarat itu sebagai tanda penghargaan ketika Majlis Ulang Tahun Kedua kafe Starbucks Signing Store di pusat beli-belah Bangsar Village II, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anak kelahiran ibu kota itu terpaksa menggunakan isyarat berkenaan disebabkan rata-rata petugas di Starbucks Signing Store orang kelainan upaya (OKU) masalah pendengaran atau pekak.

“Ini kali pertama saya datang ke sini dan belajar menggunakan bahasa isyarat. Ia sesuatu yang sangat baik,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Starbucks Signing Store yang mula beroperasi pada 20 Julai 2016 itu merupakan kafe pertama di dunia yang menggunakan hampir keseluruhan golongan OKU masalah pendengaran.

Dboy Ahmad Shazian yang merupakan seorang penulis blog memberitahu, satu pengalaman baharu apabila melihat bahasa isyarat digunakan secara meluas dalam urusan harian.

Jelasnya, para petugas di kafe berkenaan juga tidak kekok untuk berdepan dengan pengunjung meskipun menggunakan bahasa isyarat.

“Kepelbagaian ini perlu diraikan sebagai tanda sokongan kita kepada mereka, sekali gus menjadikan negara kita sebagai negara pelbagai bahasa terbaik di dunia,” ujarnya.

Majlis Ulang Tahun Kedua kafe Starbucks Signing Store turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Kagum

Pengurus Starbucks Signing Store, Hasanah Othman, 31, berkata, kafe berkenaan memiliki sembilan pekerja yang mengalami masalah pendengaran.

Ujarnya, semua mereka berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat tangan dan ada sesetengahnya mampu membaca pergerakan bibir.

“Sebagai orang normal, saya sangat kagum dengan semangat dan kerajinan mereka. Saya tiada masalah untuk berkomunikasi atau memberi arahan kepada mereka.

“Sebelum ditukar ke cawangan ini, saya perlu memahirkan diri menggunakan isyarat tangan dengan menghadirkan diri ke kelas selama 16 jam,” ujarnya.

Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, kebanyakan pengunjung Starbucks Signing Store terdiri daripada orang normal.

Dia memberitahu, para pelanggan yang ingin memesan minuman atau makanan perlu menulis menu di atas kertas.

“Kebanyakan pengunjung faham kafe ini berbeza dengan yang lain. Jadi, mereka sudah tahu perkara yang perlu dilakukan untuk berkomunikasi,” katanya.

Menariknya, Starbucks Signing Store turut mengadakan bengkel bahasa isyarat kepada orang ramai secara percuma pada setiap minggu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Food Bhd., Sydney Quays berkata, premis tersebut merupakan satu sejarah buat Starbucks dalam membantu golongan OKU.

Beliau memaklumkan, kafe itu merupakan cawangan pertama Starbucks di dunia yang dikendalikan hampir sepenuhnya oleh golongan cacat pendengaran.

“Kami sangat berbangga apabila kafe ini berjaya menarik minat rakan kongsi Starbucks Amerika Utara untuk mengkaji model perniagaan serupa.

“Menariknya, pihak Starbucks di Amerika Syarikat bakal membuka kafe pertama seumpamanya di sana pada Oktober nanti.

“Kakitangan mereka juga telah datang ke sini bagi melihat serta mempelajari cara kita menguruskan Starbucks Signing Store di negara ini,” katanya.

Tambah Sydney, susulan kejayaan tersebut, pihaknya kini merancang membuka cawangan Starbucks Signing Store kedua di Pulau Pinang pada masa terdekat,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Starbucks Malaysia turut melancarkan jualan Starbucks Chocolate Chip Cookies Jumbo di seluruh kafenya. Biskut berkenaan dijual pada harga RM6.90.

Setiap RM1 daripada setiap jualan produk berkenaan akan disumbangkan kepada Pusat Perkhidmatan Komuniti untuk Golongan Pekak, Silent Teddies Bakery (STB).

“Kami telah bekerjasama dengan STB untuk membantu memasarkan biskut Starbucks Chocolate Chip Cookies Jumbo yang dihasilkan oleh mereka.

“Melalui perkongsian ini, kami harap ia dapat meningkatkan lagi kehidupan OKU menerusi peluang pekerjaan kepada mereka,” jelasnya.