Kelibat beberapa orang pekerja kelihatan sibuk mengemas kedai masing-masing sebelum dibuka kepada pengunjung.

Di satu sudut seluas 30 meter persegi, keadaannya sangat berbeza kerana dikerumuni seramai 22 orang kanak-kanak.

Kanak-kanak berusia dalam lingkungan empat hingga 12 tahun itu asyik bermain dan mewarna sambil diiringi beberapa petugas.

Menariknya, permainan itu disediakan khusus sempena kempen A+ Roll Out yang sesuai untuk kanak-kanak austime.

Autisme merupakan gangguan mental di peringkat kanak-kanak yang menyebabkan pesakit berkelakuan tidak normal dan sukar berkomunikasi dengan orang lain.

Salah seorang pengunjung, Nabiha Mohd. Zamzuri, 10, berkata, dia sangat teruja apabila dapat bermain bersama rakan-rakan di lokasi itu.

“Permainan di sini sangat menarik dan berbeza sama sekali di sekolah atau tempat lain. Di sini, saya dapat main macam-macam permainan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Nabiha yang berasal dari ibu kota Kuala Lumpur merupakan seorang kanak-kanak autisme.

Dia dijemput khas oleh penganjur bagi menyertai kempen selama empat hari itu secara percuma.

Kempen itu dianjurkan oleh badan bukan berasaskan keuntungan, A+ dengan kerjasama Sunway Velocity.

A+ ditubuhkan bagi menganjurkan program-program khusus buat kanak-kanak autisme di negara ini.

Pengasas A+, Dr. E Joon Khew berkata, kempen A+ Roll Out diadakan bagi tujuan mengumpul dana untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah autisme.

Jelasnya, kempen itu berkonsepkan terapi bola sepak sempena dengan demam Piala Dunia 2018 yang sedang melanda negara ketika ini.

“Kempen ini julung-julung kali dianjurkan oleh A+ bagi meraikan kanak-kanak autisme sambil mengumpul dana untuk mereka.

“Kami mahu melihat kanak-kanak autisme ini turut serta meraikan Piala Dunia 2018 dengan cara yang lebih seronok dan menghiburkan,” katanya.

Manfaat

Joon Khew menambah, pelbagai program dianjurkan pihaknya khusus buat kanak-kanak autisme sepanjang kempen tersebut.

Salah satu aktiviti yang menarik ialah Cabaran Berhalangan Bola Besar khusus untuk kanak-kanak istimewa ini.

“Halangan ini dibina oleh Weplay iaitu Pemenang Anugerah Antarabangsa Mainan. Ia bukan sahaja menarik tetapi bermanfaat.

“Antara manfaatnya ialah kanak-kanak ini dapat membina dan meningkatkan kemahiran motor, keseimbangan koordinasi, sentuhan, deria rasa serta pemikiran kognitif mereka,” katanya.

Kempen itu turut menganjurkan lima aktiviti seni dan kraf berkaitan Piala Dunia 2018 bagi mencungkil kreativiti kanak-kanak istimewa berkenaan.

Aktiviti itu merangkumi origami (seni lipat kertas) dan melakar jersi, warna bola sepak, mengecat jari, mengecat muka serta mewarna bendera negara-negara yang menyertai pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Joon Khew memberitahu, aktiviti itu bukan sahaja menyeronokkan tetapi membantu perkembangan minda kanak-kanak autisme.

“Aktiviti ini dapat meningkatkan integrasi deria, pemikiran kritis, imaginasi dan koordinasi mata serta tangan dan kemahiran sosial.

“Bagi menjamin keselamatan kanak-kanak ini, kami menggunakan Crayola iaitu warna krayon terbaik di dunia. Ia bukan sahaja selamat tetapi mudah dicuci selepas digunakan,” jelasnya.

Uniknya, kanak-kanak lain juga berpeluang melakukan aktiviti ini dengan hanya menyumbang RM10 untuk tabung kutipan.

Selain itu, kempen A+ Roll Out memberi kesedaran kepada pengunjung mengenai autisme dan cara mendidik kanak-kanak istimewa itu.

Ujar Joon Khew, pihaknya memberi nasihat dan penerangan kepada ibu bapa mengenai cara-cara mencungkil bakat anak-anak autisme.

“Kami sangat teruja kerana sudah ramai ibu bapa yang mempunyai anak autisme yang berani tampil ke hadapan. Mereka tidak lagi malu untuk berbincang secara terbuka.

“Bagaimanapun, kesedaran terhadap penyakit ini masih kurang di luar bandar. Kami harap dapat membawakan program ini ke luar Lembah Klang selepas ini,” katanya.

Nilai positif

Dalam pada itu, dia berharap lebih ramai orang awam dan syarikat korporat menyokong supaya A+ dapat terus memberi nilai positif kepada pesakit autisme.

Kempen itu turut dimeriahkan dengan kunjungan seramai 21 orang kanak-kanak istimewa dari Pusat Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) dengan diiringi beberapa orang guru.

Salah seorang guru Nasom, M. Mahonmaney berpendapat, program itu sangat baik untuk membantu perkembangan kanak-kanak tersebut.

Jelasnya, halangan-halangan yang ditawarkan A+ sangat menarik selain dilengkapi dengan ciri-ciri yang merangsang deria kanak-kanak autisme.

“Kami sedar kanak-kanak ini sukar mendapatkan permainan yang bersesuaian dengan keperluan mereka di luar sekolah. Jadi, program ini sangat membantu, sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Program ini juga membantu guru-guru dan penjaga memperoleh pengetahuan mengenai penjagaan kanak-kanak autisme yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Mahonmaney berharap kempen seumpama itu diperbanyak dan diadakan di tempat tertutup pada masa hadapan.

Katanya, kanak-kanak autisme sangat sensitif dengan orang dan bunyi di sekeliling, sekali gus menyebabkan reaksi mereka menjadi tidak menentu.

“Pada pendapat saya, ada baiknya ia diadakan di dalam dewan atau kawasan tertutup. Kalau di tempat terbuka, sukar hendak kawal kanak-kanak ini,” katanya.

Kempen A+ Roll Out yang dianjurkan buat julung-julung kalinya di pusat beli-belah Sunway Velocity, Cheras, Kuala Lumpur itu diharap mampu mencungkil bakat kanak-kanak autisme.