Tidak ketinggalan untuk turut serta ialah Ziyad Azeem, 3, yang ditemani ibunya, Nurul Balkis Ariffin, 29.

Nurul Balkis yang merupakan kakitangan Lembaga Penduduk Pembangunan Keluarga Negara itu sanggup mengambil cuti untuk membawa anaknya menyertai program tersebut.

Pada mulanya, Ziyad kelihatan seronok melakukan aktiviti mewarna watak kartun The Powerpuff Girls menggunakan tanah liat berwarna-warni. Dia turut kelihatan tekun melakukan aktiviti mencantum gambar dan menyusun bongkah.

Namun, tiba di bahagian aktiviti fizikal yang memerlukannya berjalan melalui titian sempit berbentuk S, dia kelihatan teragak-agak.

Apabila dipimpin orang dewasa, baru dia meneruskan langkah dan berjalan lebih yakin.

“Hari ini baru saya tahu anak tunggal saya takut pada ketinggian atau gayat. Patutlah jika dibawa bermain buaian di taman permainan, dia tidak akan naik,” ujar Nurul Balkis ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Autisme

Sebelum ini, Nurul Balkis bimbang anak tunggalnya mengalami autisme.

Sudah dua kali dia membawa Ziyad menjalani terapi pemulihan motor dan pengucapan awal kerana anaknya itu masih belum boleh bercakap.

“Saya juga membawa dia menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang, namun diagnosis itu mengambil masa dan belum dapat diputuskan lagi,” kongsinya yang tinggal di Rawang, Selangor.

Dalam hal ini, Little Ninja Warrior melibatkan lima siri aktiviti yang meliputi pembangunan motor, deria sentuhan, koordinasi keseimbangan, kemahiran motor halus dan permainan kreatif serta interaktif.

Projek anjuran pusat terapi bantuan kanak-kanak berkeperluan khas Animals for Young, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) dan jenama permainan terkemuka dari Taiwan dikenali sebagai Weplay.

Pengasas Weplay, Elton Chiu menjelaskan, Little Ninja Warrior dibina untuk membantu perkembangan awal kanak-kanak secara holistik.

Pada masa yang sama, ia menerapkan elemen pembelajaran ceria dan bermakna.

“Selepas penyelidikan berterusan, kami mendapati bahawa kami membantu membangunkan keyakinan diri, fokus dan kemahiran kognitif kanak-kanak di samping menstabilkan emosi mereka,” tutur Chiu.

Seramai 25 orang kanak-kanak dari Nasom turut mengambil bahagian dalam menyelesaikan cabaran yang melibatkan pergerakan melompat, berlari, memanjat dan merangkak itu.

Pada program itu, Weplay turut menyumbang set permainan terapi kemahiran motor bernilai RM2,957 kepada persatuan tersebut.

Sumbangan

Sementara itu, pengasas Animal for Young, Dr E. Joon Khew berpendapat, pada peringkat awal, pendidikan terbaik ialah melalui bermain dan proses itu tidak terkecuali untuk anak istimewa.

Bagi pasangan Kenz Lee dan Helena Tan yang memiliki anak kembar tiga Eytan, Enrique serta Evans, aktiviti permainan melibatkan pergerakan fizikal dapat mengalih tumpuan anak-anak daripada terlalu asyik dengan penggunaan gajet.

“Lebih penting apabila ibu bapa turut mengambil bahagian dengan melakukan aktiviti lebih sihat bersama anak-anak. Hubungan keluarga juga akan menjadi lebih rapat kerana mereka dapat meluangkan masa secara berkualiti,” ujar Kenz.