Jika dilihat dari sudut yang berbeza, cabaran itu sebenarnya berubah mengikut zaman, apatah lagi kini mereka dilihat lebih berminat dengan gajet ataupun teknologi yang lebih menyeronokkan, namun dalam masa sama, mudah untuk melalaikan mereka.

Hasil daripada terlalu taksub dengan perkara lain, kanak-kanak ini dilihat agak ‘ketinggalan’ dalam mempelajari perkara asas yang sepatutnya mereka pelajari seperti membaca dan mengira.

Berbalik di bawah skop sebagai seorang pendidik, mereka pasti berdepan dengan cabaran untuk mengajar kanak-kanak ini dan bagi mereka yang mengajar murid lambat membaca adalah tidak terkecuali.

Namun begitu, ia tidak menjadi penghalang bagi Siti Ayunni Ayub, 28, yang bertanggungjawab membuka Kelas Intensif Cepat Membaca @ Minda Kosmos khusus dalam membantu kanak-kanak berusia empat tahun dan ke atas yang mempunyai kesukaran untuk mengenal huruf mahupun untuk membaca.

Cabaran

Kongsi wanita lepasan Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, cabaran mengajar murid-murid yang mempunyai kesukaran untuk membaca adalah sangat mencabar kerana fokus mereka sukar untuk ‘digenggam’.

“Kanak- kanak sebenarnya terbahagi kepada dua kategori iaitu kanak-kanak tipikal dan tidak tipikal. Bagi murid yang tipikal, mereka adalah kanak-kanak normal yang tidak mempunyai masalah untuk belajar perkara baharu. Ini berbeza dengan kanak-kanak tidak tipikal seperti mereka yang lambat membaca, mengalami masalah autisme atau sindrom down.

“Kanak-kanak tidak tipikal selalunya mempunyai masalah untuk mengekalkan fokus mereka apatah lagi corak pembelajaran mereka juga berbeza dengan kanak-kanak normal yang lain justeru, pendekatan yang harus diberikan kepada mereka adalah berbeza,” katanya ketika ditemui Pesona baru-baru ini.

Jelas Siti Ayunni, dia mengadaptasi modul e-Xra, sebuah syarikat pengeluar buku bagi kanak-kanak tidak tipikal bagi mengajar kanak-kanak ini dan tugasnya adalah untuk mengenal pasti, apakah kelemahan setiap murid-muridnya.

Tambahnya, adalah amat penting untuk mengetahui kelemahan setiap murid didikannya agar mereka tidak ketinggalan dan lebih penting, faham dengan apa yang mereka pelajari.

Modul

“Bidang ini sangat luas dan sebenarnya, setiap hari saya berdepan dengan perkara-perkara baharu. Modul yang dihasilkan sebelum ini selalunya direka untuk murid-murid yang sudah mula mengenal huruf tetapi kami di sini berdepan dengan cabaran bahawa kebanyakannya tidak mengenali huruf yang mereka pelajari ketika di sekolah.

“Jadi pendekatan saya adalah mengenal pasti adakah murid-murid ini lebih selesa belajar melalui tiga cara terlebih dahulu sama ada melalui teknik mengeja, membaca atau phonics iaitu belajar menggunakan bunyi. Dari situ baru kita akan mengajar mereka melalui teknik-teknik yang bersesuaian,” ujar Siti Ayunni.

Katanya, dia perlu melihat perkembangan muridnya satu demi satu agar mereka tidak ketinggalan kerana setiap perkembangan murid-murid adalah berbeza.

Sejak kelasnya di Setia Alam, Selangor dibuka pada bulan April 2018, bilangan muridnya sudah mencecah seramai 30 orang dengan kebanyakan daripada mereka sudah menghampiri modul terakhir.

Setiap murid diajar tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Iqra bermula modul pertama hingga ketujuh. Bagaimanapun, tiada tempoh had bagi setiap murid menamatkan modul subjek masing-masing kerana ia bergantung pada tahap perkembangan mereka.

“Jika ada pelajar yang mempunyai masalah dalam modul mereka, kami akan bantu sehingga mereka dapat menyelesaikan modul-modul tersebut manakala bagi murid yang berjaya menguasai pembelajaran, mereka akan terus ke modul yang seterusnya,” akhiri Siti Ayunni.