Niat dari segi bahasa merujuk perkataan asal bahasa Arab iaitu qasad yang memberi makna menyengajakan.

Tempat berlaku niat adalah dalam hati tetapi disunatkan untuk melafazkan niat supaya lafaz itu dapat dimasukkan dalam hati. Niat hukumnya fardu dan wajib.

Kalau niat tersebut baik, maka perbuatan yang dilakukan itu beroleh manfaat dan sebaliknya niat buruk dibalas dosa.

Islam sentiasa menggalakkan umatnya berniat terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu ibadah.

Puasa, baik wajib atau sunat sebagai satu contoh, jika dilakukan tanpa niat, maka ia tidak sah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya amalan umatku bergantung pada niatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah juga pernah bersabda: “Sesiapa memakai wangian bukan kerana Allah, maka pada hari kiamat ia akan tampil dengan bau busuk. Siapa yang memakai wangian kerana Allah akan tampil dengan aroma kasturi.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Niat, kehendak dan tujuan adalah ungkapan yang mempunyai satu erti iaitu keadaan atau sifat hati yang mengaitkan antara ilmu dan amal.

Ilmu itu umpama pendahuluan, manakala syarat dan amal mengikutinya. Niat adalah ungkapan yang berada di tengah-tengah antara pengetahuan dan amal.

Rasulullah bersabda: “Niat orang Mukmin itu lebih baik daripada amalnya dan niat orang fasik itu lebih buruk daripada amalnya.” (Hadis riwayat al-Haithami)

Jika dibandingkan antara amal tanpa niat dan niat tanpa amal, jelas niat tanpa amal lebih baik.

Ini kerana niat adalah kehendak yang timbul dari dasar pengetahuan dan lekat dengan hati.

Niat yang baik boleh melipatgandakan darjat ketaatan.

Misalnya, seorang yang duduk di masjid, lalu ia berniat mengunjungi Allah. Disebut dalam riwayat: “Sesiapa yang duduk dalam masjid, bererti ia sedang mengunjungi Allah.”

Dalam hal ini, setiap gerakan atau dengan niat sahaja boleh menjadi ibadah yang memberi pahala besar.

Niat juga membezakan antara manusia dan binatang. Binatang melakukan setiap perkara tanpa tujuan dan niat.

Sesungguhnya niat adalah bisikan batin yang condong kepada suatu maksud diinginkan dan dianggap penting.

Bagaimanapun, niat yang tulus dan ikhlas sangat sukar diperoleh. Contohnya, seseorang yang bernikah kerana nafsu, kemudian dia memaksa niat demi menjejaki sunah dan ingin mempunyai keturunan soleh.

Dipetik daripada seorang ulama salaf: “Tertundanya sejumlah amal ketaatan seseorang disebabkan tiadanya niat.”

Hammad Sulaiman, seorang tokoh ulama terkemuka di Kuffah meninggal dunia. Namun, ath-Thauri tidak mengerjakan solat jenazah.

Jawabnya: “Seandainya aku mempunyai niat, tentu aku sudah melakukannya.”

Justeru, berniat sebelum melakukan sesuatu amalan baik meskipun ia belum tahu lagi dapat dilaksanakan. Ini kerana pahala niat tersebut sudah dikira.