Walaupun anaknya itu telah diberikan ubat yang dibeli di farmasi, ia tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif.

“Saya berasa risau akan situasi tersebut, akhirnya saya memutuskan untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor memberitahu bahawa anak saya telah diagnosis menghidapi pneumonia iaitu paru-paru berair,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, dia berasa lega kerana datang ke hospital awal untuk mendapatkan rawatan dan akhirnya doktor berjaya merawat anaknya itu.

Aishah menambah, dia sendiri tidak mengetahui bagaimana anaknya boleh terkena virus sehingga menyebabkan masalah pneumonia itu boleh berlaku.

Paru-paru merupakan antara organ terpenting untuk tubuh manusia kerana mengandungi gelembung-gelembung udara ataupun alveoli.

Alveoli bertanggungjawab untuk penukaran gas oksigen dan karbon dioksida di paru-paru.

Tetapi paru-paru manusia juga sering terdedah kepada penyakit paru-paru berair ataupun pneumonia atas beberapa faktor.

Pneumonia boleh terjadi kepada semua golongan umur termasuklah kanak-kanak dan ia adalah salah satu penyebab utama berlakunya kematian.

Serius

Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pneumonia menyebabkan 16 peratus kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun.

Jelasnya, pada tahun 2016 sahaja, penyakit itu telah meragut nyawa hampir 880,000 kanak-kanak di seluruh dunia.

Pada tahun ini, pneumonia menjadi punca kematian ketiga terbesar bagi kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun di Malaysia.

“Pneumonia adalah penyakit paru-paru serius yang menyebabkan kantung udara atau alveoli dipenuhi cecair atau nanah. Ini akan mengakibatkan penghidapnya menderita kesakitan dan sukar bernafas.

“Bakteria yang menyebabkan pneumonia juga boleh memasuki aliran darah lalu merebak ke seluruh badan dan menyebabkan kegagalan organ,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Pendidikan Masyarakat Iimmunsise4Life (IFL).

Zulkifli menjelaskan, ibu bapa berperanan dalam melindungi anak-anak mereka daripada penyakit yang boleh membawa maut itu.

“Kami menggalakkan agar bayi diberi susu badan sahaja selama enam bulan pertama selepas lahir.

“Susu badan adalah seakan-akan imunisasi pertama kerana ia mengandungi antibodi yang dapat melindungi bayi daripada pneumonia,” jelasnya.

Tambahnya, kebersihan diri terutamanya amalan membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun dan air juga penting bagi menjauhkan organisma yang boleh menyebabkan pneumonia.

Antara organisma yang boleh menyebabkan pneumonia adalah bakteria seperti Haemophilus influenzae jenis b, pneumokokus dan virus seperti campak, influenza dan cacar air.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim berkata, kanak-kanak berusia bawah dua tahun khususnya mudah terkena penyakit tersebut.

Kemiskinan

Jelasnya, merawat pneumonia pada kanak-kanak kecil boleh menjadi sesuatu yang kompleks.

“Penyakit ini boleh melarat dengan cepat dan pesakit akan memerlukan oksigen, drip intravena untuk menghantar ubat antibiotik yang kuat dan mungkin juga pembedahan akan dilakukan bagi menyalirkan cecair keluar daripada paru-paru.

“Jika berlaku kegagalan paru-paru, kita perlu menyambungkan anak-anak kecil ini dengan mesin ventilator supaya dia boleh bernafas,” katanya.

Hishamshah menambah, pneumonia mengancam semua kanak-kanak tetapi mereka yang tergolong dalam kemiskinan mungkin terjejas disebabkan faktor-faktor persekitaran serta kurang pengetahuan tentang penyakit itu.

“Alangkah sedihnya melihat kanak-kanak menderita atau meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dicegah ini.

“Pesakit yang berjaya pulih pula, terdapat kemungkinan kecil mereka akan mengalami kerosakan paru-paru yang kekal seumur hidup akibat pneumonia yang dihadapi semasa kanak-kanak. Pneumonia ini lebih baik dicegah supaya tidak berlaku,” katanya.