Bahkan sangat ingin mendapatkannya dan berharap dapat mencapai cita-cita daripada Tuhannya. Sehubungan itu, Syeikh Ibnu ‘Atha’illah as-Sakandari menerangkan tanda pengharapan sebenar supaya ia jelas berbeza daripada pengharapan dusta.

“Pengharapan sebenar adalah yang disertai dengan amalan. Kalau tidak, maka ia hanya angan-angan.”

Sesiapa yang benar-benar mengharapkan sesuatu pastilah akan berusaha untuk mencapainya. Sesuatu pengharapan akan dianggap sebagai impian kosong sekiranya tidak diikuti dengan usaha.

Syeikh Ibnu Ajibah berkata, sesiapa yang berharap mendapat nikmat seperti mahligai dan bidadari-bidadari syurga maka hendaklah dia bersungguh-sungguh, taat dan bersegera kepada amalan-amalan sunat serta kebajikan.

Jika tidak jadilah pengharapannya kepada satu kebodohan dan tipu daya.

Begitupun, sesuatu amalan yang dilakukan perlu bersandarkan dengan ilmu. Ia sejajar dengan pendapat sebahagian ahli sufi yang bermaksud:

“Sesiapa yang memberi semua (masa dan tumpuan) kepada ilmu nescaya dia akan mengambil dan mendapat semua (yang dipelajari) daripada ilmu itu.

“Sesiapa yang tidak memberi semua (masa dan tumpuan) kepada ilmu nescaya dia tidak akan mengambil dan mendapat (apa-apapun) daripada ilmu itu sama ada sebahagian atau kesemuanya.”

Manusia cerdik

Ia sejajar dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ilmu itu hanya (diperoleh) dengan cara belajar. Sesungguhnya sifat lemah-lembut itu hanya dapat dicapai dengan cara berusaha berlemah-lembut.

“Sesiapa yang mencari kebaikan nescaya akan dikurniakan kepadanya. Sesiapa yang menjaga diri daripada kejahatan, nescaya dia akan dipelihara daripadanya.”

Kitab al-Qawa’id menyebut kaedah bagi menuntut sesuatu dengan cara paling berkesan ialah dengan melazimi tiga perkara iaitu beramal dengan ilmu selagi terdaya, kembali kepada Allah dengan sepenuh kemahuan, kesungguhan serta cita-cita.

Cara ketiga yang dianjurkan adalah seseorang itu perlu banyak mengkaji makna atau hakikat sesuatu perkara dengan merujuk kepada sunah Nabi.

Dalam hal ini, memetik kata-kata Imam al-Junaid al-Baghdadi yang bermaksud:

“Kita tidak mengambil tasauf daripada banyak berkata-kata, berdebat dan menunjuk-nunjuk dengan berjaga malam atau berqiamullail. Tetapi dengan sentiasa muzalamah (berterusan zikir, beribadat kepada Allah SWT) dan beramal”.

Selain itu, Imam Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak, al-Qudha’ie dan al-’Askari turut meriwayatkan daripada Syaddad Aus bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda:

“Orang cerdik (yang sebenar) ialah yang muhasabah diri sendiri, memaksanya (taat kepada Allah SWT), beramal untuk (menghadapi) apa yang akan berlaku selepas mati.

“Orang lemah (yang tidak cerdik) pula ialah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya dan bercita-cita terhadap Allah dengan pelbagai angan-angan.”

Hadis tersebut sama maksudnya dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar yang mengatakan sesungguhnya seorang lelaki daripada kalangan Anshar berkata:

“Wahai Rasulullah siapakah manusia yang paling cerdik dan paling kuat keazamannya?” Baginda menjawab: “Orang yang paling banyak mengingati mati dan paling banyak bersedia untuk mati. Itulah yang benar-benar cerdik.”