Penelitian ini boleh berlaku dalam dua keadaan sama ada penelitian terhadap semua dalil yang ada ataupun sebahagian daripadanya.

Penelitian terhadap semua dalil berupaya menghasilkan natijah yang qat’ie (telah dinyatakan dengan tegas) manakala penelitian terhadap sebahagiannya pula akan menghasilkan natijah yang zanni (tidak jelas).

Ijtihad dari sudut bahasa membawa beberapa pengertian iaitu ijtihad berasal daripada perkataan ijtahada yang bermaksud menggunakan tenaga sepenuhnya bersungguh-sungguh dalam sesuatu perbuatan atau pekerjaan atau menggunakan segala kemampuan.

Menurut pengertian ulama, usul ijtihad bermaksud mencurahkan sepenuh tenaga dan sebanyak mungkin untuk mendapatkan hukum syarak yang berbentuk amali dengan cara istinbat (mengeluarkan hukum) daripada dalil-dalil dan hukum syarak.

Maka, ijtihad yang dimaksudkan di sini adalah mencurahkan segala akal fikiran dan kesungguhan untuk mendapatkan sesuatu hukum syarak mengenai permasalahan dengan jalan istinbat daripada al-Quran dan hadis.

Hukum yang boleh diijtihad

Ijtihad yang harus dilakukan pada perkara tertentu sahaja seperti sesuatu yang tidak disebut hukumnya dalam al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama.

Maka, ijtihad yang dilakukan ialah dengan mengkaji untuk mengetahui hukumnya melalui al-qiyas, masalih al-mursalah, uruf, istishab, istihsan dan lain-lain.

Oleh itu, ulama mujtahid tidak mempunyai kata sepakat dalam membuat dalil dan hujah dengan dalil-dalil tersebut dan berlakulah perselisihan ijtihad.

Wujud permasalahan atau isu yang terdapat hukumnya dalam al-Quran atau hadis mutawatir.

Namun, petunjuk dalil kedua-dua nas tersebut terhadap hukum adalah zanni.

Justeru, mujtahid mestilah berusaha untuk mencari maksud yang dikehendaki oleh syarak daripada nas tersebut.

Selain itu, terdapat nas al-Quran dan hadis dalam bentuk mutlak. Oleh itu, untuk menetapkan hukum daripada lafaz nas tersebut, suatu kajian harus dilakukan dalam kalangan mujtahid.

Hukum yang tidak boleh diijtihad

Hukum yang terdapat dalam nas yang jelas secara pasti dan dilalahnya juga adalah qat’ie. Contohnya nas yang menyatakan hukuman hudud terhadap penuduh zina iaitu terhadap wanita yang muhasanah. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat.” (An-Nur:4)

Nas di atas adalah jelas secara qat’ie dan lafaz thamanina yang hanya menunjukkan satu makna iaitu 80 kali dan tidak mungkin ia menunjukkan makna lain. Justeru, ayat dan nas itu tidak ada ruang untuk berijtihad.

Dalam erti kata lain, tidak boleh berijtihad terhadap hukum yang telah ditafsirkan oleh Rasulullah. Contohnya hukum yang diambil daripada firman Allah: “Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat.” (al-Baqarah:43)

Tidak dibolehkan dalam hukum keseksaan dan kifarat yang ditetapkan kadarnya oleh syarak seperti kifarat zihar dan sumpah. Allah berfirman dalam surah al-Mujadalah ayat 4 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang ziharkan isterinya, kemudian mereka berbalik daripada apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba abdi sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur.”

Tidak boleh ijtihad juga terhadap hukum agama yang mesti diketahui oleh mukalaf seperti beriman.