Keadaan tersebut memaksa Siti Rose Maryati Che Ibrahim melepaskan tanggungjawabnya menjaga anaknya berusia tujuh tahun kepada pengasuh.

Pengasuh yang dikenali menerusi media sosial itu bertanggungjawab menjaga keselamatan serta makan minum anaknya selepas pulang dari sekolah.

“Saya terpaksa menggunakan khidmat pengasuh pada kadar RM150 sebulan kerana tiada ada orang di rumah pada waktu siang.

“Lagipun, rumah pengasuh tidak jauh dari rumah saya iaitu kira-kira lima kilometer sahaja,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, pengasuh yang berusia dalam lingkungan 40-an itu menjaga anaknya dengan penuh rasa tanggungjawab dan memberi perhatian sewajarnya.

Siti Rose Maryati yang juga seorang ibu tunggal memaklumkan, selepas enam bulan, dia mendapati anaknya sering kelaparan selepas pulang ke rumah pada waktu petang.

Dia memberitahu, anaknya mengadu kerana sering diberi makan telur bersama kicap oleh pengasuh sekali gus menyebabkannya kurang berselera.

“Selepas pertambahan kanak-kanak di rumah pengasuh, saya dapati anak mula ada masalah kelaparan. Saya rasa mereka tidak ada masa untuk masak.

“Setiap kali saya ambil pada sebelah petang, anak saya kelihatan lesu seolah-olah tidak makan tengah hari,” jelasnya.

Masalah tersebut memaksa Siti Rose Maryati mencari pengasuh baharu bagi mengelakkan ia berterusan.

Jelas wanita berkaca mata itu langkah berkenaan bagi mengelakkan diri hilang fokus di tempat kerja kerana memikirkan perihal anaknya bersama pengasuh.

“Saya terpaksa memberitahu pengasuh lama bahawa ingin menghantar anak kepada orang lain. Saya tidak boleh terus memikirkan masalah anak di tempat kerja.

“Alhamdulillah, pengasuh baharu lebih bertanggungjawab. Anak saya juga tidak merungut lagi mengenai lapar atau terabai ketika di rumah pengasuh,” jelasnya.

Itulah salah satu masalah yang sering menghantui ibu bapa apabila menghantar anak kepada pengasuh atau taman asuhan kanak-kanak (taska).

Sejak kebelakangan ini, isu pengasuh atau taska yang cuai sehingga membawa kepada kecederaan dan kematian kanak-kanak di bawah jagaan mereka semakin menjadi-jadi.

Pada 4 Julai lalu, mayat Adam Rayqal Mohd. Sufi berusia lima bulan ditemui di dalam pada bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya di Batu Cave, Selangor.

Terbaharu, bayi lelaki berusia empat bulan, Muhammad Ummar Zayyan Mohamad Haikal Hafiz ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Seremban, Negeri Sembilan. Hasil pemeriksaan doktor menunjukkan bayi malang itu mengalami pendarahan dalam otak dan mata.

Apakah tindakan ibu bapa bagi mengelakkan kejadian buruk terhadap anak mereka ketika di bawah jagaan pengasuh atau taska? Bagaimana pula dengan pemilihan pengasuh?

Buat lawatan

Pakar Pediatrik dan Felo Pediatrik Endoktrin Hospital Putrajaya, Dr. Rashdan Zaki Mohamed berkata, pemilihan pengasuh atau taska merupakan perkara yang amat penting.

Katanya, ibu bapa perlu melakukan pilihan yang tepat kerana anak-anak mereka akan ditinggalkan hampir seharian di sana.

Beliau memberitahu, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh ibu bapa ketika mencari pengasuh atau taska terbaik kepada anak-anak mereka.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuat lawatan ke rumah pengasuh atau taska bagi melihat suasana sekitarnya.

“Ibu bapa juga perlu tahu berapa ramai kanak-kanak dalam jagaan pengasuh. Kalau taska ketahui jumlah pekerjanya.

“Ia penting bagi mengetahui penjaga mampu atau tidak memberi perhatian kepada anak kita apabila di hantar ke situ kelak.

“Ibu bapa juga perlu memerhatikan kebersihan rumah atau taska selain memastikan semua aspek keselamatan berada dalam keadaan baik seperti sistem elektrik dan pintu pagar,” jelasnya.

Hilang fokus

Menurut Rashdan, usia pengasuh atau penjaga juga merupakan salah satu perkara yang perlu diberi keutamaan oleh ibu bapa.

Dia memberitahu, pengasuh atau pekerja yang terlalu muda dan tua akan mendatangkan risiko kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Ujarnya, penjaga terlalu muda berkemungkinan hilang fokus ketika menjaga atau mempunyai emosi kurang stabil pada masa-masa tertentu.

“Tidak dinafikan, penjaga lebih berumur memberi layan dan fokus terbaik kepada kanak-kanak yang dijaga, namun mereka mudah letih akibat faktor usia atau kesihatan,” katanya.

Apabila pilihan dibuat, ibu bapa perlu memberi tempoh percubaan bagi melihat keserasian kanak-kanak dengan pengasuh atau taska.

Kebiasaannya, kanak-kanak akan menunjukkan beberapa reaksi secara fizikal dan emosi sama ada mereka serasi atau tidak dengan penjaga tersebut.

Rashdan Zaki memaklumkan, ibu bapa perlu peka pada sebarang perubahan yang ditunjukkan oleh bayi atau anak kecil.

Dia memaklumkan, antara perubahan emosi yang jelas ialah apabila kanak-kanak sering menangis atau meragam setiap kali dihantar kepada penjaga. Apabila di rumah kanak-kanak tersebut sangat ceria.

Selain perubahan emosi, perubahan fizikal adalah lebih ketara kerana ia dapat dilihat dengan mata kasar. Menurut Rashdan Zaki, salah satu perubahan yang boleh dilihat ialah penurunan berat badan kanak-kanak secara drastik.

Ujarnya, penurunan berat badan ini menggambarkan kanak-kanak mungkin tidak selesa apabila bersama penjaga.

“Selain penurunan berat badan, kesan lebam, benjolan mahupun luka pada bahagian badan kanak-kanak merupakan perubahan fizikal yang boleh dikesan ibu bapa,” jelasnya.

Rashdan Zaki menegaskan, sekiranya berlaku perubahan berkenaan, ibu bapa seharusnya meminta penjelasan daripada pengasuh.

Jelasnya, penjelasan penting bagi mengetahui sama ada kesan lebam, luka atau benjolan itu berlaku akibat terjatuh atau penderaan. Sekiranya penjelasan yang diberikan penjaga meragukan, beliau menyarankan supaya ibu bapa segera menukar pengasuh.

Andai kecederaan terlalu serius, ibu bapa boleh membuat laporan polis dan membawa kanak-kanak ke hospital untuk rawatan lanjut,” terangnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malayasia, Norsheila Abdullah berpendapat, ibu bapa tidak harus berkompromi dengan kos apabila menghantar anak-anak kepada pengasuh atau taska.

Pelaburan

Ibu bapa seharusnya melihat kos tersebut sebagai satu pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan kanak-kanak pada masa depan.

“Ibu bapa tidak sepatutnya menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk tidak menghantar anak-anak kepada pengasuh dan taska bertauliah.

“Kami sedar pengasuh dan taska bertauliah kosnya adalah lebih tinggi. Namun, saya yakin pengasuh dan taska bertauliah memberi perkhidmatan lebih baik,” jelasnya.

Norsheila tidak menafikan ramai ibu bapa yang selesa menghantar anak-anak untuk diasuh dan dijaga oleh pengasuh disenangi seperti jiran atau rakan taulan. Bagaimanapun, beliau menyarankan supaya ibu bapa berusaha membantu pengasuh tersebut mendaftar dengan pihak berkuasa sekali gus mendapat latihan sewajarnya.

“Sebagai ibu bapa, kita pastinya mahukan yang terbaik kepada anak-anak. Tidak ada salah sekiranya kita membantu menyediakan bantuan kepada pengasuh mendapatkan latihan,” katanya.

Ramai ibu bapa yang gemar menghantar anak kepada rakan taulan atau jiran. Langkah terbaik adalah hantarlah anak-anak ke pusat jagaan atau taska berdaftar bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.