Ia bagi menunjukkan bahawa perjanjian itu adalah perjanjian atas dasar kasih sayang dan bukannya hanya sebagai pemegang amanah kepada penerima.

Bukti pemberian atau pindah milik semata-mata tidak boleh secara automatik dianggap sebagai pemberian yang dibuat atas dasar kasih sayang tetapi pemberian itu perlu dinilai secara terperinci dari sudut niat pemberi sendiri.

Pemberian di bawah Seksyen 26(a) Akta Kontrak 1950 juga mempunyai syarat yang sama dengan peruntukan undang-undang berkaitan hibah di bawah undang-undang Islam iaitu harta pemberian itu adalah harta mutlak milik pemberi.

Jika keadaan sebaliknya, iaitu harta yang menjadi subjek pemberian adalah bukan hak milik pemberi, kontrak tersebut adalah tidak sah.

Sehubungan itu, dalam kes Narayanan lwn Kannamah [1993] 3 MLJ 730, perayu dan keluarganya yang menduduki premis yang terletak atas tanah kerajaan yang pada asalnya diberikan oleh bapa perayu melalui surat ikatan alang (hadiah) bagi faedah anak perempuannya (responden) diputuskan untuk diketepikan.

Dalam rayuan itu, hakim telah memutuskan bahawa hakim perbicaraan di mahkamah sebelum ini gagal untuk mempertimbangkan bahawa tuntutan responden adalah menyalahi undang-undang.

Ini kerana rumah kediaman itu berada di atas tanah kerajaan dan surat ikatan alang tersebut tidak mungkin melepaskan rumah kediaman berkenaan kepada responden kerana kepenghunian tanah itu adalah tanpa kebenaran sah dari segi undang-undang dan boleh disabit di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

Walaupun penyalahgunaan undang-undang itu tidak dihujahkan oleh perayu, mahkamah tidak akan menguatkuasakan surat ikatan alang tersebut kerana pendudukan tanah kerajaan adalah menyalahi undang-undang.

Meskipun bapa responden memegang suatu lesen pendudukan sementara atas tanah kerajaan itu, lesen tersebut adalah untuk sementara sahaja dan tidak boleh dipindah milik atas kematian bapa responden.

Ekstremisme agama

Setiap warganegara Malaysia sewajarnya menjadikan agama dan adat masing-masing sebagai asas membina keharmonian serta perpaduan.

Justeru, semua kepercayaan harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.

Ia sejajar dengan lima objektif Rukun Negara iaitu untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak

Ia bertujuan untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.

Ternyata selepas 60 tahun kemerdekaan Malaysia, formula permuafakatan dalam membentuk kesepaduan sosial yang telah dipakai dan diserap masuk melalui undang-undang berjaya menyatupadukan semua kaum.

Undang-undang ini berjaya membawa semua kaum untuk menghormati setiap hak yang telah ditetapkan.

Elemen-elemen kesepaduan sosial yang terdapat dalam perundangan negara adalah asas bagi melicinkan urusan pentadbiran dan menolak sebarang percubaan mempersoalkan hak keistimewaan yang telah diberikan kepada kaum lain atas dasar tertentu yang berkemungkinan mencetuskan perpecahan.

Rakyat perlu sedar bahawa kaum Melayu dan bumiputera diberikan keistimewaan dan hak-hak tertentu berbanding kaum lain, namun mereka juga diberi hak lain serta dapat turut sama hidup dengan aman damai tanpa rasa ditindas.