Namun di sebalik itu, masih ada golongan wanita yang turut sama menyumbang tenaga dan kepakaran dalam bidang berkaitan industri tersebut.

Terdorong untuk mengangkat martabat dan menjadikan industri kereta api ini sebagai salah satu pilihan kerjaya golongan Hawa, Natasha Zulkifli, 44, telah menubuhkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan sebagai Women in Rail (WIR) Malaysia sejak tahun 2017.

Natasha yang juga merupakan Pengarah Pemegang Kepentingan Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd. menjelaskan, WIR Malaysia ditubuhkan bagi membentuk masa depan industri kereta api di Malaysia agar menjadikannya lebih pelbagai termasuk untuk golongan wanita terutamanya.

“Kita ketahui dalam industri kereta api ini peluang-peluang pekerjaan lebih banyak disertai kaum lelaki.

“Oleh itu, antara matlamat utama penubuhan WIR Malaysia ini adalah untuk memastikan golongan wanita yang berkemahiran dapat menyertai industri ini secara berterusan,” katanya ketika ditemui Pesona di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, WIR Malaysia juga berperanan memberi sokongan kepada golongan wanita yang telah menyertai industri tersebut.

Natasha yang telah lapan tahun terlibat dalam industri kereta api juga amat bersemangat untuk memacu WIR Malaysia bagi manfaat wanita bukan dalam industri tersebut.

Natasha yang pernah berkhidmat dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Prasarana juga mahu menjadikan WIR Malaysia sebagai satu platform untuk mempromosikan industri kereta api sebagai kerjaya pilihan kepada wanita muda di sekolah menengah dan di universiti pada masa ini.

Ahli WIR Malaysia telah disertai oleh 500 ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dalam industri kereta api.

Antara yang terlibat termasuklah wanita daripada bidang kejuruteraan, kewangan dan lain-lain dalam industri tersebut.

Graduan Undang-Undang London School of Economics (LSE), Britain itu menjelaskan, matlamat lain yang ingin ditekankan oleh WIR Malaysia pada masa hadapan ialah aspek kepimpinan wanita secara umumnya. Pertubuhan itu mahu mengetengahkan lebih ramai wanita memegang jawatan sebagai pemimpin bagi sesebuah organisasi.

“Dalam melahirkan wanita-wanita yang berkemampuan untuk berada di barisan hadapan, kita menganjurkan beberapa program melalui WIR Malaysia.

“Kami ada menganjurkan program bercorak leadership talk, mentor mentee, penempatan kerja dan lain-lain lagi,” katanya.

Menyentuh mengenai usaha mendekati wanita-wanita muda itu, Natasha berkata, WIR Malaysia telah pergi ke sekolah-sekolah bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tentang peluang-peluang pekerjaan yang wujud dalam industri kereta api di Malaysia.

Jelasnya, banyak peluang kerjaya boleh disertai antaranya bidang kejuruteraan seperti jurutera, bidang operasi seperti pemandu kereta api atau pengurusan kaunter, pekerja kewangan dan lain-lain lagi.

Dalam program-program itu, sukarelawan WIR Malaysia akan menceritakan pengalaman mereka menceburi kerjaya berkenaan.

Positif

Ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan, program turun ke sekolah-sekolah itu turut mendapat maklum balas positif daripada pihak lain. Misalnya, Pejabat Pendidikan Negeri Johor telah meminta program ini dibuat di seluruh negeri itu.

Bercerita mengenai masa depan industri kereta api di Malaysia, Natasha menegaskan akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kelak.

“Kita lihat kini banyak projek kereta api yang dilaksanakan. Selain itu, bandar-bandar di negara ini juga semakin membangun dan sedikit masa kelak, kereta api akan menjadi pengangkutan awam terpenting bagi sesebuah bandar.

“Oleh itu, peluang ini harus diambil oleh wanita untuk turut serta dalam industri ini,” katanya.

Sebagai usaha berterusan memberi pendedahan kepada wanita, satu Persidangan Kepimpinan akan dianjurkan oleh WIR Malaysia pada 8 Julai ini bertempat di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur.

Natasha menjelaskan, persidangan ini merangkumi dua sesi iaitu berkaitan industri kereta api dan kepimpinan secara umum.

“Persidangan ini turut disertai oleh 21 penceramah dari 12 buah negara,” katanya.