Maka tidak hairanlah jika timbulnya pelbagai masalah dan pertelingkahan dalam kalangan umat manusia melibatkan percanggahan fahaman.

Malah, lebih buruk lagi apabila sifat mudah terpedaya itu akhirnya menjurus kepada perbuatan yang boleh memesongkan akidah.

Sesungguhnya, sifat mudah terpedaya atau terpengaruh merupakan penyebab kebinasaan yang paling dominan dan sinonim dalam kalangan masyarakat hari ini.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Haithami: “Maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan jangan pula penipu memperdayakan kamu dalam mentaati Allah SWT.”

Keraguan

Menyingkap lanjut, terpedaya ialah apabila seseorang meyakini sesuatu yang bercanggah daripada faktanya. Ia merupakan salah satu jenis kebodohan yang ditunjangi oleh khayalan dan keraguan yang sesuai dengan tipu daya nafsu.

Antara orang-orang yang mudah terpedaya ialah mereka yang terkeliru bahawa kehidupan duniawi itu tunai dan meyakinkan manakala akhirat pula penangguhan serta meragukan.

Sebagaimana Allah pernah berfirman dalam surah an-Najm ayat 39: “Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.”

Manusia diperintahkan untuk bertawakal kepada Allah dalam urusan rezeki dan mempercayai kemudahan-Nya, namun kebanyakan mereka tidak mahu melakukannya.

Apabila diuji dengan ujian harta misalnya kemiskinan atau kerugian dalam perniagaan, dengan mudah sesetengah individu bertindak menyalahkan takdir sama ada secara sedar atau tidak.

Memang, Allah Maha Pemurah dalam urusan pembahagian rezeki, sebagaimana Dia berfirman dalam surah at-Talaq ayat tiga yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkan (keperluan)nya. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.”

Ketahuilah bahawa orang yang bijaksana ialah orang yang sepanjang siang dan malamnya dimanfaatkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah serta menjauhi perbuatan maksiat yang sentiasa menghampiri.

Ini kerana mereka berasa takut akan pengakhiran yang buruk sesudah mati, maka mereka akan selalu memohon kepada Allah agar diberikan keteguhan hati dan ketaatan sepanjang hidup di dunia demi kelangsungan akhirat.

Mereka juga akan beramal baik di dunia kerana takut terhadap seksaan pada hari pembalasan kelak.

Berbeza halnya dengan individu lain yang masih tercari-cari haluan sebenar kehidupan, mereka lebih cenderung untuk diperdaya.

Ini disebabkan adakalanya pandangan mereka masih samar untuk membezakan yang mana cahaya Ilahi dan yang mana bukan.

Sama seperti yang dialami oleh seseorang yang tidak boleh membezakan pantulan warna yang dihasilkan oleh cermin sehingga menyangka apa yang terakam di mata itulah yang sebenarnya.

Firman Allah yang disebut dalam surah al-An’am ayat 125: “Sesiapa yang Allah mengkehendaki akan memberi kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam.”