Masa Asiah Mohd. Azhar banyak dihabiskan untuk mengambil pesanan dan menghantar barangan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.

Meskipun begitu, dia sentiasa memastikan bayinya yang berusia sembilan bulan, Aileen Ardani Nik Mohd. Arif mendapat zat mencukupi untuk perkembangan pembesaran.

Justeru, wanita berasal dari Seri Kembangan, Selangor itu mula mencari makanan bayi yang boleh disediakan dengan mudah dan cepat.

Pencarian tersebut menemukan Asiah dengan produk makanan bayi sejuk beku Baby Eats By Justlixa (BeBJ) selepas disyorkan oleh rakannya.

BeBJ merupakan pengeluar makanan sejuk beku buat bayi dan kanak-kanak dalam lingkungan usia antara enam bulan hingga 12 tahun.

Memandangkan bayinya masih dalam proses belajar makan, ibu kepada dua cahaya mata itu memilih produk sejuk beku puri sayur dan buah-buah.

“Produk ini betul-betul menjadi penyelamat kepada saya. Sebagai usahawan, saya tidak ada masa yang cukup untuk menyediakan hidangan terutamanya untuk Ardani.

“Makanan sejuk beku ini sangat mudah. Saya cuma panaskan selama dua minit dalam ketuhar dan terus boleh makan,” katanya ketika ditemu bual di kedai BeBJ, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Asiah, dia berhabis sebanyak RM120 setiap bulan untuk membeli 20 pek makanan untuk Ardina.

Dia memaklumkan, setiap pek boleh dimakan sebanyak empat kali iaitu pada sebelah pagi, tengah hari, petang dan malam.

“Hidangan yang menjadi kegemarannya ialah puri labu, lobak merah, epal, pisang dan ubi manis.

“Makanan-makanan ini mengandungi zat dan nutrien secukupnya yang diperlukan oleh bayi,” katanya yang menggunakan produk tersebut sejak bayinya berusia enam bulan.

Menariknya, produk BeBJ selamat dimakan oleh bayi memandangkan ia bebas daripada gula, garam, perasa dan pewarna tambahan serta telur ayam.

Pengasas BeBJ, Nor Haliza Ghazali, 36, berkata, produknya dihasilkan secara tradisional bagi mengekalkan keaslian rasa dan kandungan khasiat.

Tegasnya, setiap produknya mengambil kira aspek jumlah nutrien seperti karbohidarat, vitamin dan protien yang diperlukan oleh bayi dan kanak-kanak.

“Elemen-elemen ini membuatkan produk kami sentiasa menjadi pilihan ibu bapa yang sibuk, namun ingin memastikan anak-anak mereka mendapat yang terbaik.

“Alhamdulillah, jualan produk kami boleh mencecah 40,000 pek setiap bulan. Ia akan meningkat sekali ganda pada musim cuti sekolah atau bulan puasa,” katanya.

Empat jenis

Ketika ini, proses pembuatan BeBJ dilakukan di sebuah premis dengan kekuatan pekerja seramai tujuh orang.

Produk BeBJ dibahagikan kepada empat jenis iaitu peringkat satu, dua, tiga dan empat.

Peringkat satu dan dua terdiri daripada aneka puri khusus buat bayi enam bulan ke atas.

Peringkat ketiga mengandungi bijirin seperti nasi, oat dan bubur sesuai kepada bayi lapan bulan ke atas. Peringkat empat pula adalah pasta, spageti yang dimasak bersama sayur, daging dan ayam.

Menurut Nor Haliza, semua resipi tersebut disyorkan oleh pakar nutrien kanak-kanak yang diperoleh hasil carian internet.

BeBJ turut mengguna pakai menu yang dicadangkan oleh ibu bapa bagi memastikan ia diterima oleh anak-anak mereka.

“Kami sentiasa menambah baik menu mengikut kehendak pengguna. Malah, ada yang mahukan kelainan kerana anak-anak mereka sudah jemu menu sama,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.

Produk BeBJ boleh diperoleh di kedai dan ejen terpilih di seluruh negara pada harga serendah RM6.

Menurut Nor Haliza, dia dan suami, Mohd. Nizam Zainudin, 34, percaya makanan terbaik datang daripada bahan-bahan yang digunakan.

Teliti

Justeru, tugas membeli bahan-bahan seperti sayur dan buah-buahan diserahkan sepenuhnya kepada suaminya. Malah, Mohd. Nizam bertanggungjawab memasak.

“Biasanya, suami akan ke pasar untuk membeli barang. Dia sangat teliti dalam pembelian barang terutamanya buah.

“Ia bagi memastikan tidak berlaku penipuan. Misalnya, buah dalam kotak, di atas cantik tetapi di bawah busuk.

“Penyediaan makanan untuk kanak-kanak ini perlu teliti dan sempurna. Kalau ada yang tidak kena, rasa dan baunya sudah lain dan kanak-kanak tidak akan makan,” jelasnya.

Makanan bayi sejuk beku BeBJ boleh bertahan selama enam bulan dan selepas dicairkan ia mesti dimakan dalam tempoh 24 jam.

Mengimbau kembali idea menghasilkan produk BeBJ, Nor Haliza memaklumkan, ia bermula pada tahun 2013 selepas dia berhenti kerja di sebuah syarikat swasta.

Masa terluang di rumah banyak dihabiskan untuk menyediakan makanan buat anak keduanya ketika itu berusia enam bulan. Antara makanan yang disediakan termasuklah puri buah-buahan.

Pada masa sama, dia telah memuat naik resipi dan gambar makanan tersebut ke dalam akaun Facebook untuk dikongsi bersama rakan-rakan.

Dari hari ke hari, Nor Haliza bukan sahaja mendapat maklum balas daripada sahabat-sahabat Facebook, malah ada yang ingin menempahnya.

“Sebenarnya, saya buat makanan ini untuk anak. Tidak sangka pula ada yang berminat untuk membelinya. Sampai satu tahap, saya sudah tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan,” katanya.

Salah seorang pengguna BeBJ, Rahmah Mohamad, 37, berpendapat, produk tersebut memberi pilihan tambahan dalam menyediakan makanan buat anaknya, Muhamad Fadhail Mikail Mohamad Fadzly berusia setahun lapan bulan.

Kelainan

Wanita berasal dari Sri Hartamas, Kuala Lumpur itu memaklumkan, sampai satu tahap, dia kekeringan idea untuk menyediakan menu terbaik.

“Walaupun saya suri rumah dan masak untuk anak, tetapi produk ini penting. Ini kerana kanak-kanak juga inginkan kelainan dari aspek hidangan.

“Hidangan yang menjadi kegemaran anak saya ialah pasta bolognese, pasta keju, bananacado dan nasi beras perang,” jelasnya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu menambah, BeBJ juga menjadi pilihannya sewaktu bercuti dalam mahupun luar negara.

Tambah Rahmah, produk tersebut mudah dibawa dan disediakan.

Kesibukan tugas harian membuatkan ramai ibu bapa memilih produk makanan bayi sejuk beku Baby Eats By Justlixa.