Segala persiapan akhir perlu dilakukan segera oleh Syazwan Aizad Abdul Mutalib, 28, bersama pasangannya, Nur Fatin Affiza Arifin, 28, sebelum tibanya detik bahagia tersebut.

Memandangkan pasangan itu terlalu sibuk dengan tugas harian, mereka tidak berkesempatan berkunjung ke kedai untuk menempah kad jemputan perkahwinan.

Kebetulan, ketika berkunjung ke pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, Pameran Pengantin KLPJ 2018 sedang berlangsung.

Pakej murah

Pasangan itu tidak melepaskan peluang tersebut untuk mendapatkan pakej kad jemputan perkahwinan terbaik bagi majlis perkahwinan mereka.

“Kami bakal melangsungkan perkahwinan pada Ogos ini. Kami dalam proses akhir untuk menyiapkan beberapa lagi perkara penting.

“Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan pakej kad perkahwinan pada harga lebih murah berbanding di kedai.

“Selain murah, pakej itu meliputi kain rentang sekali. Ia sangat berbaloi,” ujar Syazwan Aizad ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Pameran Perkahwinan KLPJ 2018 yang memasuki penganjuran kali ke-18 itu menghimpunkan 250 pempamer barangan dan perkhidmatan perkahwinan.

Antara barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan ialah pelamin, kad kahwin, busana, hantaran, fotografi, perancang perkahwinan, kanopi dan kek.

Menurut Syazwan Aizad, acara itu memberi kemudahan kepada bakal pengantin sepertinya untuk mendapatkan barangan dan keperluan perkahwinan.

Lelaki berasal dari Puchong, Selangor itu memaklumkan, acara tersebut menghimpunkan syarikat-syarikat berkaitan perkahwinan yang terkemuka serta mempunyai reputasi baik di negara ini.

“Acara ini menghimpunkan semua syarikat di bawah satu bumbung. Ini memudahkan kami untuk membuat perbandingan harga.

“Kebanyakan syarikat juga menawarkan harga promosi. Ini sedikit sebanyak membantu menjimatkan perbelanjaan,” ujar penerbit di sebuah syarikat penyiaran swasta itu.

Menariknya, pameran itu membahagikan syarikat perkahwinan mengikut tiga bangsa utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

Antara syarikat yang mengambil bahagian ialah Bridal Concept, Black Market, Asmara Penchala, Ani Catering dan Wedding Planner, Amazon Wedding Card serta 3plepix.

Resort World Genting (RWG) bukan sekadar dikenali sebagai tempat peranginan tetapi turut menjadi tumpuan bagi pelbagai acara termasuklah perkahwinan.

Ini kerana pusat peranginan itu mempunyai pelbagai lokasi fotografi menarik seperti Tokong Chin Swee, Pagoda Sky Terrace, Genting SkyAvenue Wonderwall, English Garden dan Awana Golf Driving Range selain cuaca sejuk serta landskap yang indah.

Cef Hotel First World, Andrew Lim Thiam berkata, pelbagai pakej perkahwinan ditawarkan pihaknya dengan harga yang berbeza-beza.

“Terdapat tiga pakej perkahwinan Cina iaitu pakej perak (RM1,688 setiap meja), emas (RM2,188 setiap meja) dan berlian (RM2,588 setiap meja).

“Pakej perkahwinan Melayu dan India pula berupa set kubah (RM1,688 setiap meja) atau bufet (RM2,188 setiap meja) manakala pakej lain seperti vegetarian pula berharga RM2,188 setiap meja khusus untuk perkahwinan India,” ujar.

Berkonsep

Pameran yang dianjurkan oleh KLPJ Events Sdn. Bhd., itu berjaya menarik 70,000 orang pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Marina Putrajaya Sdn. Bhd., (Marina Putrajaya) turut menawarkan pelbagai pakej perkahwinan menarik kepada pengunjung sempena Pameran Perkahwinan KLPJ 2018.

Pengurus Pemasaran dan Jualan Marina Putrajaya, Muhd. Aizuddin Ramli berkata, pihaknya menawarkan perkahwinan berkonsepkan taman di tepi tasik dan dewan perkahwinan untuk disewa.

Dia memberitahu, sempena Pameran Perkahwinan KLPJ 2018, pihaknya menawarkan pakej perkahwinan pada harga diskaun antara 10 hingga 20 peratus.

“Ini masuk tahun ketiga kami mengambil bahagian pada Pameran Perkahwinan KLPJ. Pada kali ini, kami menawarkan pakej perkahwinan taman di tepi tasik pada harga serendah RM60 seorang.

“Para pengunjung juga berpeluang mencuba sendiri keenakan rasa makanan yang ditawarkan pada pakej perkahwinan ini,” katanya.

Dia menambah, sambutan pengunjung pada Pameran Perkahwinan KLPJ kali ini cukup luar biasa.

Marina Putrajaya turut berjaya mencapai perjanjian perniagaan dengan lebih 50 orang pengunjung.