Ketika itu, Natasha membuat empat dulang sandwic untuk dihidangkan kepada para tetamu dan masing-masing memujinya sedap sehingga ada yang menanyakan adakah beliau membuka kafe atau mengambil tempahan.

Bermula dari itu, dia terus mengorak langkah ke hadapan dengan membuka perniagaan sandwic dari rumah dan memasarkannya menerusi laman sosial miliknya iaitu Facebook dan Instagram.

“Saya memang suka memasak tetapi tidak pernah terlintas untuk membina jenama sendiri apatah lagi tidak mempunyai asas dalam perniagaan.

“Namun, pujian daripada orang ramai akan keenakan sandwic yang saya buat telah meningkatkan semangat untuk mengusahakan perniagaan ini,” katanya yang menubuhkan Garsa Kitchen pada Oktober 2014.

Lagi membuatkan dia bersemangat adalah kerana pada masa itu ramai yang mengusahakan kek dan aneka pencuci mulut sebaliknya tiada yang membuat sandwic.

Lantas kemahuannya semakin bertambah dan pada awalnya Natasha membuat promosi dengan memberikan sandwic percuma kepada keluarga dan rakan-rakan.

Berbekalkan modal RM200, Natasha menghantar sandwic percuma ke pejabat saudara-maranya dan meninggalkan nombor telefon sekiranya mereka menyukainya bagi membuat tempahan.

Tanpa disangka, tempahan semakin meningkat saban hari yang bermula daripada lima kotak, kini telah meningkat kepada 500 kotak sehari sehingga 700 kotak pada musim perayaan.

Garsa Kitchen mempunyai tiga dapur berpusat atau cawangan iaitu di Wangsa Maju di Kuala Lumpur dan Shah Alam serta Bangi di Selangor. Penghantaran akan dilakukan sekitar 20 kilometer dari tempat tersebut.

“Duit jualan itu saya kumpul lalu membeli perkakas dapur kerana sebelum ini hanya menggunakan apa yang ada di rumah.

“Syukur kini setelah lima tahun beroperasi, Garsa Kitchen sudah mempunyai tiga cawangan dan terbaharu bakal dibuka di Kota Damansara, Selangor manakala lokasi Wangsa Maju dijadikan sebagai ibu pejabat,” katanya yang merupakan pemegang Diploma Kejururawatan, Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, Selangor.

Campuran pisang, coklat

Tambah anak kelahiran Johor itu, jika dahulu semua kerja membuat sandwic termasuklah membeli bahan keperluan, mempromosi, mengambil tempahan dan penghantaran dilakukan olehnya tetapi kini dia dibantu oleh 32 orang pekerja.

Terang ibu kepada dua cahaya mata itu, pada mulanya dia hanya menyediakan sandwic berperisa telur dan tuna kemudian bertambah kepada ayam, daging dan perisa edisi terhad dengan campuran pisang dan coklat.

“Garsa Kitchen mempunyai 10 jenis sandwic dan yang paling mendapat sambutan ialah tuna on fire, steak dan keju serta campuran.

“Harga sandwic bermula RM8 hingga RM55 manakala caj bagi penghantaran pula RM10,” ujar anak kedua daripada lima beradik itu.

Pelanggan Garsa Kitchen terdiri daripada pekerja pejabat dan pihaknya juga memenuhi tempahan untuk pelbagai acara keramaian.

Mengulas lanjut mengenai resipi membuat sandwic, Natasha berkata, dia mengolahnya sendiri menggunakan bahan premium yang harganya lebih mahal untuk memastikan kesegaran dan kesedapan produk makanan itu.

Akuinya, dia sangat cerewet tentang makanan, maka Natasha akan memastikan sandwic yang dihasilkan itu terbaik sama seperti hidangan kepada keluarga.

Mengenang kembali pahit getir yang dihadapi olehnya ketika mula-mula menceburi perniagaan tersebut, Natasha berkata, ketika itu memang sangat sukar kerana semua kerja dilakukannya sendiri apatah lagi mempunyai anak kecil berusia setahun lebih.

“Masih segar dalam ingatan saya ketika menghantar sandwic ke pejabat pelanggan dengan menaiki tangga sambil mendukung anak manakala tangan sebelah lagi memegang kotak sandwic.

“Ketika menghampiri pintu, kaki saya tersandung sehingga sandwic itu jatuh ke lantai dan anak pula luka di bibir,” ceritanya.

Bagi memperkukuh jenama itu, Natasha telah merangka beberapa perancangan seperti membuka peluang francais, menyediakan perkhidmatan untuk acara dan majlis keraian serta meneliti peluang untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara.

Di samping itu, pihaknya juga berhasrat untuk membangunkan Sekolah Pengurusan Makanan dan Minuman di bawah skim Sijil Kemahiran Malaysia.