Ia bermula apabila anak jirannya yang menghidap selebral palsi meninggal dunia akibat demam panas ketika dia menyambut hari lahir yang ke-22.

Selebral palsi adalah satu gangguan otot pada saraf sehingga mengganggu pergerakan mahupun postur badan penghidapnya.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Grafik dari Universiti Lim Kok Wing itu, peristiwa tersebut membuka hatinya untuk mendekati golongan OKU apabila keluarganya sering menjaga kanak-kanak itu.

Malah katanya, mereka sekeluarga turut bersedih dengan kejadian itu.

“Kami seakan-akan diberi jalan untuk membantu golongan OKU apabila didatangi seorang dermawan yang mahu mencari asnaf untuk diberikan zakat pada bulan puasa beberapa tahun kemudian.

Kebajikan OKU

“Sejak itu, saya mula terlibat dalam kebajikan OKU yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia pada tahun 2012,” katanya ketika ditemui Pesona di ibu pejabat Kosmo! di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Noorulhuda yang juga Presiden pertubuhan itu berkata, kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) menumpukan kepada kebajikan OKU namun, tiada yang menitikberatkan aspek keagamaan termasuk mengajar mereka solat dalam Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

“Kebanyakan OKU yang kami temui mempunyai tanggapan yang salah bahawa mereka tidak perlu solat kerana status keupayaan. Namun, mereka sebenarnya wajib bersolat kerana termasuk dalam kategori mumaiyiz iaitu sudah dapat membezakan se­suatu yang baik dengan buruk.

“Kita melaksanakan program pada peringkat negeri dan selalunya kehadiran mereka lebih daripada 200 orang,” ujarnya.

Mesra dengan nama timangan Norule Asle, wanita itu berkata, antara aktiviti dijalankan termasuk program ceramah agama, cara-cara solat mengikut keupayaan masing-masing, ceramah motivasi, pertandingan nasyid serta azan.

Tambahnya, pada peringkat permulaan, pertubuhannya hanya mencari dana sendiri tanpa kerjasama agensi kerajaan.

Pelapik kerusi roda

Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akhirnya turut menghulurkan kerjasama dengan pihaknya.

Selain itu, kongsinya, untuk menggerakkan pertubuhan itu bukanlah mudah apabila perlu melalui beberapa laluan liku-liku termasuk diuji berpisah dengan suami apabila lelaki itu tidak memahami perjuangannya membantu golongan istimewa.

Bercerita mengenai pertubuhan tersebut, Norule yang merupakan bekas pereka grafik di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, dia mempunyai 70 sukarelawan yang aktif menggerakkan program di seluruh negara. Program mendidik OKU solat itu sehingga kini telah dilaksanakan di 10 buah negeri termasuk di Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Norule memberitahu, pihaknya bekerjasama dengan sebuah syarikat tempatan bagi menghasilkan pelapik kerusi roda di bawah jenama KasootKoo.

Tambahnya, pada kebiasaannya akses golongan OKU agak terhad di negara ini untuk memasuki ruang masjid kerana roda kasut mereka dianggap kotor.

Justeru, pelapik itu dibuat bagi melindungi tayar supaya tidak mengotorkan ruang solat.

“Stigma ini lebih tebal di Indonesia kerana ada antara OKU tidak dibenarkan untuk masuk ke ruang utama solat atas alasan mengekalkan kesucian masjid.

“Namun ada OKU yang mahu juga ke masjid terutama untuk menunaikan solat Jumaat. Jadi, kita membawa pelapik ini ke sana untuk dicuba oleh OKU di negara itu,” ujarnya yang baru pulang dari Jakarta untuk memperkenalkan pelapik itu di Indonesia.