Pemilik butik ButtonsMyButtons House (BMB) berusia 34 tahun itu terpanggil untuk mereka dan menjahit sendiri gaun untuk dipakai oleh anaknya, Aaira Sofia Afis,satu tahun. Pada suatu hari, dia memuat naik gambar gaun yang dihasilkan itu di media sosial dan mendapat maklum balas positif daripada rakan-rakannya.

Bertitik tolak daripada itu, Nor Shahida mula menumpukan perhatian kepada penghasilan gaun untuk bayi dan kanak-kanak.

“Selepas mempunyai anak, baru saya tahu betapa sukarnya hendak mencari gaun bayi dan kanak-kanak bagi menghadiri majlis-majlis keraian.

“Dalam pasaran memang banyak gaun, namun kebanyakan dihasilkan menggunakan kain yang tidak sesuai untuk bayi dan kanak selain jahitannya agak kasar,” ujarnya.

Mula beroperasi sejak tahun 2006, BMB terkenal sebagai sebuah butik yang menghasilkan dan menjual pakaian wanita terutamanya gaun.

Menurut bekas pelajar Ijazah Sarjana Muda Fesyen daripada Universiti Teknologi Mara, Seri Iskandar, Perak itu, BMB menawarkan empat rekaan gaun kanak-kanak.

Dia memaklumkan, pihaknya juga menerima tempahan gaun kanak-kanak berdasarkan rekaan dan pemilihan kain kapas mengikut cita rasa pelanggan.

“Kami sedar ramai ibu bapa yang ingin anak mereka menggayakan gaun mengikut cita rasa tersendiri. Ada juga ibu bapa yang ingin gaun anak sedondon dengan pakaian mereka.

Nasihat

“Jadi, kami membuka perkhidmatan tempahan gaun kanak-kanak. Pelanggan boleh melakar sendiri rekaan gaun dan saya akan memberi nasihat serta cadangan kepada mereka,” ujarnya.

Nor Shahida turut memberitahu, proses membuat gaun kanak-kanak lebih sukar berbanding pakaian orang dewasa.

Katanya, ia disebabkan saiznya lebih kecil serta memerlukan penuh perhatian sewaktu proses jahitan terutamanya di bahagian leher dan ketiak.

“Sewaktu menjahit, saya akan menitikberatkan kekemasan terutamanya bahagian zip belakang. Jika terlalu tebal, ia meninggalkan kesan di belakang badan bayi.

“Sehelai gaun memerlukan masa sehari untuk disiapkan. Justeru, tidak hairanlah harganya lebih mahal daripada pakaian orang dewasa,” tegasnya.

Selain gaun, BMB turut menjual tali dandanan rambut bayi yang dihasilkan mengikut kreativiti Nor Shahida.

Terangnya, tali dandanan rambut bayi yang dihasilkannya menggunakan tali nilon yang diimport dari Amerika Syarikat dan bunga hiasan berkualiti tinggi.

Dia menambah, ia bagi memberi keselesaan kepada bayi apabila memakai dan mengelak daripada wujudnya kesan pada bahagian kepala.

Menariknya, BMB turut menerima tempahan pakaian dan tali dandanan rambut bayi menerusi platform secara online sama ada Facebook mahupun Instagram.

Salah seorang pelanggan tetap BMB, Nurul Wahida Firdaus, 26, berkata, dia mula menjadi pelanggan BMB sejak Mei lalu.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, dia membuat tempahan gaun kanak-kanak dengan BMB kerana yakin dengan kualiti jahitan selain rekaannya yang menawan.

“Saya baru membuat tempahan pakaian dengan BMB iaitu gaun kanak-kanak. Meskipun hanya membuat tempahan secara online, namun saya berpuas hati dengan hasilnya,” jelas Nurul Wahida.

Jelas wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, harga gaun yang ditempahnya juga berpatutan dengan kualiti dan rekaan.