Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, peningkatan pendapatan itu dipacu daripada pemulihan ekuiti di Malaysia dan ASEAN dalam suku tersebut daripada kemerosotan pasaran dalam suku-suku sebelumnya.

“Suku ketiga menyaksikan kami menempuh persekitaran pasaran yang tidak menentu didorong oleh ke­tegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“Ketidaktentuan semakin terasa di rantau ini dan telah menyebabkan kejatuhan dalam harga pasaran ekuiti serantau pada suku keempat 2018. Ini pastinya akan memberi cabaran besar kepada KWSP untuk mengekalkan momentum pendapatan yang sama bagi suku keempat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Mohamad Nasir menjelaskan, dalam suku ketiga, ekuiti merangkumi 40.67 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP, menyumbang RM8.89 bilion dan merupakan 60.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi tempoh tersebut.

“Sejumlah 50.72 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap.

“Ia terus menjana pendapatan konsisten dan stabil serta mengurangkan risiko keseluruhan dan melindungi ketidakstabilan portfolio dana itu, selaras dengan fungsi KWSP sebagai dana seimbang,” katanya.

Mohamad Nasir menjelaskan, pelaburan pendapatan tetap merekodkan RM4.73 bilion dalam suku ketiga, bersamaan dengan 32.40 peratus daripada pendapatan pelaburan suku ketiga.

Penyumbang lain kepada pendapatan pelaburan itu adalah Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bersamaan (RM2.50 bilion), pinjaman dan bon (RM2.24 bi­lion), instrumen pasaran wang (RM265.39 juta) dan hartanah dan infrastruktur (RM726.23 juta).

Tambah beliau, sebanyak RM1.33 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar iaitu RM14.61 bilion dijana untuk Simpanan Syariah dan RM13.28 bilion bagi Simpanan Konvensional. – Bernama