Perkenalan itu berlaku atas dasar kerja kerana kedua-dua mereka berkhidmat di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang.

Norsuhaida memberitahu, pada awal perkenalan mereka, Muhammad Dhaarma sangat mengambil berat dan bersifat romantik.

Situasi itu memberi keyakinan kepadanya untuk menjalinkan hubungan cinta dengan bekas pemain hoki negara tersebut selama empat tahun.

Menjelang tahun 1998, mereka mengambil keputusan untuk mengikat pertalian yang sah melalui perkahwinan.

“Kami berkenalan atas dasar kerja. Ketika itu, Muhammad Dhaarma bekerja sebagai seorang eksekutif tetapi pada masa sama bermain hoki untuk syarikat kami.

“Pada mulanya, saya tidak tahu langsung dia merupakan bekas pemain hoki negara dan sangat popular dalam kalangan penggemar sukan,” kenangnya.

Selepas berkahwin, Muhammad Dhaarma mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur bagi memulakan karier sebagai jurulatih.

Selepas berjaya memperoleh sijil kejurulatihan, Muhammad Dhaarma ditugaskan melatih pasukan hoki remaja Kuala Lumpur.

Selepas itu, dia diberi tugas membimbing Skuad Projek 2013 untuk menghadapi beberapa kejohanan penting di seluruh dunia.

Sewaktu melatih Skuad Projek 2013, nama Muhammad Dhaarma begitu harum selepas membantu pasukan itu memenangi beberapa kejohanan besar antaranya Juara Piala Sultan Johor 2011.

Pada kejohanan itu, pasukan negara buat julung-julung kalinya berjaya menundukkan skuad hoki terbaik dunia, Australia pada perlawanan akhir.

Selain itu, Muhammad Dhaarma bertanggungjawab membawa Skuad Projek 2013 menduduki tempat keempat pada kempen Piala Dunia Hoki Remaja 2013. Pencapaian itu memahat sejarah baharu buat arena hoki tanah air.

Rentetan kejayaan itu membolehkan anak kelahiran Bandar Melaka, Melaka tersebut dijulang sebagai pemenang anugerah Jurulatih Terbaik Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Kebangsaan 2013.

“Saya tidak pernah menyangka akan membawa pulang dua anugerah pada malam ini. Ia umpama mimpi,” ujar Muhammad Dhaarma sewaktu ditemu bual Kosmo! di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Kini, dia memegang jawatan jurulatih skuad hoki wanita senior negara.

Kejayaan gemilang yang diraih itu bertitik tolak daripada peranan yang dimainkan oleh isterinya.

Wanita berusia 48 itu bercerita, Muhammad Dhaarma memulakan aktiviti seawal pukul 5.30 pagi pada setiap hari apabila dia perlu ke padang untuk melatih pasukan.

Sekembalinya daripada latihan empat jam kemudian, dia akan menghabiskan masa menganalisis video pasukan mahupun pihak lawan menerusi komputer riba di rumah.

“Hampir setiap masanya di rumah dihabiskan dengan menganalisis permainan menerusi video. Dia cuma berhenti ketika makan, mandi dan tidur.

“Kebiasaannya, Muhammad Dhaarma akan menghabiskan masa menganalisis video sambil terbaring di atas sofa di ruang tamu secara bersendirian,” jelasnya.

Tidak cerewet

Ujar Norsuhaida, ketika menganalisis video, dia dan anak-anak tidak akan mengganggu fokus Muhammad Dhaarma, sebaliknya membiarkannya bersendirian.

“Kalau dia sedang mengadap komputer riba, saya dan anak-anak akan buat kerja kami sendiri di dalam bilik atau keluar membeli-belah.

“Kadang-kadang saya berasa agak tertekan kerana terpaksa buat semua perkara secara bersendirian tanpa pertolongan suami,” ujar wanita bertubuh langsing itu.

Tambahnya, pada waktu tertentu, Muhammad Dhaarma menyuruh dia mengambil video mengenai demonstrasi teknik pukulan baharu.

Demonstrasi itu dilakukan menggunakan kayu dan bola hoki di kawasan ruang tamu rumah.

“Kadang-kadang saya risau dan takut, apabila dia buat demonstrasi pukulan kerana bimbang bola terkena cermin rumah atau televisyen.

“Bukan pemain sahaja perlukan kekuatan mental dan fizikal, isteri kepada jurulatih hoki juga perlu ada perkara yang sama,” ujarnya dengan nada perlahan.

Dalam pada itu, dia memberitahu, Muhammad Dhaarma bukanlah seorang yang cerewet mengenai hal pakaian dan makanan.

Jelasnya, apa makanan yang dimasak akan dijamah tanpa banyak pertanyaan.

“Hidupnya sangat mudah. Makanan kegemarannya ialah nasi, sambal sardin bersama telur. Pakaiannya pula adalah seluar jean dan baju-T,” ulasnya.

Menurut Norsuhaida, perjalanan hidup sebagai jurulatih skuad hoki negara memaksa Muhammad Dhaarma mengorbankan masa bersama keluarga termasuk ketika bercuti.

Katanya, Muhammad Dhaarma sering menerima undangan secara ‘mengejut’ untuk memberi tip atau mengajar asas permainan hoki terutamanya di kawasan luar bandar.

Terbaharu ketika mereka sekeluarga bercuti ke Sabah untuk menghadiri majlis perkahwinan adik Muhammad Dhaarma.

“Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sudah ada peminat hoki yang menunggu kehadirannya.

“Ada yang jemput dia ke padang untuk mengajar pemain. Saya tidak boleh halang kerana Muhammad Dhaarma ini susah hendak tolak permintaan orang terutamanya berkaitan hoki,” katanya.

Biasanya, Norsuhaida dan anak-anak tidak akan mengikut Muhammad Dhaarma semasa melatih pasukan mahupun ke stadium sewaktu perlawanan.

Tambahan pula, dia dan tiga anaknya kurang mengikuti perkembangan sukan hoki.

“Muhammad Dhaarma pernah bergurau, dia cakap kalau saya pergi stadium, pasukannya akan kalah. Saya rasa mungkin dia risau dengan kehadiran kami,” katanya.

Meskipun sibuk dengan tugas di padang, Muhammad Dhaarma tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa.

Jelasnya, jika tidak ada kejohanan atau perlawanan, Muhammad Dhaarma merupakan individu bertanggungjawab mengambil anak pulang daripada sekolah, selain membeli makanan untuk mereka.

Muhammad Dhaarma juga mengikuti rapat prestasi pelajaran tiga anak mereka sama ada di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.

Dicaci peminat

“Dia sentiasa mencari masa untuk bersama kami walaupun sebentar. Dia juga mengambil berat akan perkembangan pelajaran anak-anak,” katanya.

Perjalanan karier sebagai seorang jurulatih bagi salah satu sukan popular di negara ini bukanlah sentiasa indah.

Ada ketikanya, mereka terpaksa berdepan dengan tekanan dicaci oleh peminat selain dipecat pihak pengurusan apabila pasukan gagal mencapai kemenangan.

Tidak terkecuali, Muhammad Dhaarma, dia pernah menerima kritikan pedas daripada peminat hoki di atas kegagalan membentuk skuad hoki untuk bersaing pada kempen Piala Dunia 2014 di Belanda.

Menurut Norsuhaida, kontroversi itu bukan saja memberi kesan kepada Muhammad Dhaarma tetapi mereka sekeluarga.

Katanya, ramai orang yang bertanyakan mengenai situasi Muhammad Dhaarma sebagai jurulatih apabila terserempak di kedai atau restoran.

Malah, Muhammad Dhaarma berdepan dilema yang teruk sehingga ingin mengambil keputusan untuk berhenti berkhidmat sebagai jurulatih hoki.

“Ketika itu, keadaan sangat tegang. Dia sudah tidak tahan dengan kritikan peminat sama ada secara terus atau media sosial.

“Dia pernah menyuarakan hasrat tidak mahu menjadi jurulatih lagi. Saya minta dia fikir kembali tindakan itu, jangan terburu-buru,” katanya.

Selepas itu, Muhammad Dhaarma telah direhatkan, sebelum dipanggil semula untuk melatih skuad hoki wanita kebangsaan sehinggalah sekarang.

Dalam pada itu, dia memaklumkan tidak pernah menyesal mendirikan rumah tangga dengan seorang jurulatih skuad hoki kebangsaan.

Dia memberitahu, ini kerana sejak daripada awal pengenalan, dia sudah tahu bahawa bakal suaminya merupakan seorang fanatik hoki.

“Mungkin nasib saya tidak sama seperti orang lain yang dapat bersama suami setiap masa. Namun, pengorbanan saya ini semata-mata demi negara,” katanya.