Syed Mohd. Asyraf Syed Mahadi membuka kafeteria Commoners Space sejak tahun lalu dengan modal permulaan sebanyak RM250,000.

Modal tersebut digunakan untuk mengubah suai kedai seluas 15 meter persegi itu menjadi sebuah kafeteria berkonsepkan hipster selain membeli bahan mentah.

Menariknya, anak sulung daripada tiga beradik itu tidak memperoleh wang tersebut daripada pinjaman bank mahupun geran agensi kerajaan.

Sebaliknya, wang tersebut diperoleh hasil daripada usahanya menabung sedikit demi sedikit sejak umurnya enam tahun.

“Saya bukan berasal daripada keluarga kaya. Namun, hasil daripada wang simpanan, saya dapat membuka kafeteria ini.

“Saya menabung dalam ASB (Amanah Saham Bumiputera) kerana ia memberi pulangan yang berbaloi berbanding bank,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

ASB adalah salah satu produk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Menurut remaja berasal dari Shah Alam itu minatnya terhadap aktiviti menabung didorong dan dipupuk oleh bapanya, Syed Mahadi Syed Mohamad, 50.

Katanya, sewaktu kecil, bapanya adalah individu yang bertanggungjawab mengumpul dan menyimpan wang tabungan.

“Bapa selalu pesan kepada saya, jika ada lebihan wang, jangan sesekali ‘joli’ sebaliknya simpan, walaupun nilainya hanya 50 sen.

“Saya tidak sangka akhirnya wang simpanan ini berguna kepada saya apabila dewasa. Ia membuka jalan kepada saya menjadi seorang usahawan,” katanya yang memiliki lima orang pekerja.

ASNB yang ditubuhkan pada 22 Mei 1979 adalah sebuah anak syarikat pengurusan unit amanah Permodalan Nasional Berhad (PNB). Ia merupakan sebuah syarikat pengurusan unit amanah di bawah PNB.

Kesedaran

Sementara itu, Syed Mahadi berkata, kesedarannya terhadap kepentingan menabung mula berputik sejak dari usia kecil.

Jelasnya, minat tersebut kian menebal dalam dirinya selepas mula bertugas sebagai pesuruhjaya sumpah di sebuah syarikat guaman kira-kira lima tahun lalu.

“Ketika bertugas, ada beberapa waris yang datang untuk mendapatkan khidmat saya bagi menuntut wang dalam ASNB ahli keluarga mereka.

“Saya sedih apabila melihat kebanyakan jumlah wang dalam buku simpanan mereka kurang daripada RM1,000. Malah, ada yang ingin menuntut nilai RM300.

“Ini memberi kesedaran kepada saya betapa pentingnya menyimpan wang. Mungkin bukan untuk kegunaan kita sendiri, tetapi isteri dan anak-anak apabila kita tiada nanti,” katanya.

Menurutnya, kesedaran tersebut mendorongnya untuk mendidik anak-anaknya supaya berjimat cermat dalam berbelanja.

Menabung

Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, lebihan wang tersebut boleh disimpan dalam ASNB untuk masa depan sama ada menyambung pelajaran atau dijadikan modal perniagaan.

“Di rumah, setiap anak-anak saya ada tabung sendiri. Saya minta mereka menabung jika ada lebihan wang belanja.

“Apabila penuh, saya akan bawa masuk dalam ASB. Ada masanya, saya akan menambah wang saya dalam simpanan mereka,” katanya.

Syed Mahadi memaklumkan, ibu bapa perlu sentiasa berusaha untuk memupuk minat menabung dalam diri anak-anak sejak usia kanak-kanak.

Ujarnya, usia tersebut lebih mudah untuk didik dan dipupuk berbanding peringkat remaja mahupun dewasa.

“Saya didik anak-anak sejak mereka kecil. Saya ajar cara menyimpan seperti orang tua-tua dahulu.

“Simpan wang dan syiling dalam bekas balang atau tin. Tidak ada tabung betul pun tidak apa. Paling penting simpan dan jangan ambil,” katanya.

Sebagai ketua keluarga, anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu percaya pendidikan menabung mampu diterapkan menerusi contoh teladan.

Justeru, dia turut mempunyai beberapa tabung khusus untuk menyimpan wang di rumah seperti tabung bercuti, tabung raya dan tabung simpanan.

“Saya ada sejumlah wang dalam ASB. Namun, sebolehnya saya tidak mahu usik wang tersebut. Jadi, saya perlu ada tabung sendiri.

“Duit tabung ini saya akan guna ketika keadaan terdesak atau ingin bercuti ke sesebuah destinasi,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, ASNB menawarkan pelbagai manfaat kepada para pelabur. Salah satu manfaatnya ialah para pelabur berpeluang memperoleh pulangan yang kompetitif setiap tahun.

Kemampuan

“Di ASNB, para pelabur juga boleh membina tabungan yang kukuh menerusi pelaburan berisiko rendah dan sederhana.

“Pelabur juga tidak memerlukan modal yang besar untuk melabur dalam unit amanah ASNB. Modal bermula dengan RM10 bagi ASB dan ASB 2,” katanya.

Menariknya, para pelabur kini boleh melabur pada bila-bila masa mengikut kemampuan dengan pelaburan tambahan serendah RM1.

Pelaburan tambahan boleh dibuat di rangkaian cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara atau secara online menerusi myASNB dan perbankan internet.

Mohammad Hussin menambah, ASNB menguruskan sejumlah enam produk unit amanah harga tetap dan empat produk unit amanah harga berubah.

“Produk harga tetap ialah ASB, Amanah Saham Wawasan 2020, Amanah Saham Malaysia, Amanah Saham Didik, Amanah Saham 1Malaysia dan Amanah Saham Bumiputera 2.

“Empat produk harga berubah ialah Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Nasional 2, Amanah Saham Nasional 3 Imbang dan Amanah Saham Gemilang,” jelasnya.

Terdapat lebih 13.2 juta pemegang akaun yang memiliki 218 bilion unit dalam edaran setakat November 2017 bagi keseluruhan produk ASNB.