Susuk yang dikenali sebagai Wak Pyan itu turut dikurniakan kemahiran berkata-kata dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab.

Kemahiran itu memberi kelebihan kepadanya untuk mengendalikan rancangan paling popular di stesen radio berkenaan iaitu Warna Pagi.

Menerusi rancangan itu, Wak Pyan bersama rakan penyampai, Muhammad Tajdid Hadhari Romli, 30, perlu berada di konti seawal pukul 5.30 pagi hingga 10 pagi pada setiap hari.

Mereka bukan sahaja perlu memastikan rancangan itu berjalan lancar tetapi memberi hiburan dan ilmu bermanfaat kepada pendengar.

Celoteh

“Saya sangat bersyukur kerana dapat bekerja dalam konti yang penuh berkat ini selama lapan tahun.

“Saya berterima kasih kepada IKIM.FM kerana memberi peluang untuk terus berdakwah menerusi radio ini,” ujar Wak Pyan ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Celoteh Wak Pyan dan Muhammad Tajdid menerusi corong radio menyebabkan ramai pendengar berasakan mereka berdua mempunyai keserasian yang jitu.

Hakikatnya, mereka baharu digabungkan bersama sejak dua tahun lalu selepas penyampai radio rancangan Warna Pagi sebelum ini berhenti secara mengejut.

Muhammad Tajdid yang sebelum ini mengendalikan sebuah rancangan pada hujung minggu di radio berkenaan terpaksa mengisi kekosongan itu.

Bermula daripada detik itulah, persahabatan mereka semakin akrab sehingga mampu bertahan bagi tempoh yang agak lama.

Menurut Muhammad Tajdid, Wak Pyan merupakan seorang rakan sekerja yang baik selain banyak membantunya menyesuaikan diri dengan tugasan baharu.

“Saya sangat gembira apabila dapat bergabung dengan Wak Pyan yang mempunyai pengalaman luas sebagai penyampai radio di IKIM.FM.

“Sejujurnya, saya tidak pernah bermimpi untuk bekerja di IKIM.FM dan mengendalikan rancangan ini bersama seorang insan yang hebat seperti Wak Pyan,” jelasnya.

Ujar anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu, Wak Pyan merupakan seorang yang periang dan tidak lokek berkongsi ilmu sama ada berkaitan kerja atau kehidupan harian.

Ini terbukti apabila Wak Pyan menasihati Muhamad Tajdid supaya mengambil tauliah daripada Jabatan Agama Wilayah Persekutuan.

“Wak Pyan yang minta saya ambil tauliah kerana masa terluang boleh dimanfaatkan dengan menyampaikan ceramah di surau serta masjid,” ujarnya.

Sebelum menceburkan diri dalam bidang penyampaian radio, Wak Pyan yang berasal dari Muar, Johor merupakan anggota kumpulan nasyid Saujana.

Pembabitannya dalam bidang seni suara bermula ketika berusia 13 tahun apabila menubuhkan kumpulan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor di bawah bimbingan Ustaz Zatul Akmam.

Dia dan anggota Saujana berpeluang merakamkan album pertama bertajuk Saujana dengan penerbit Mujahid Abdul Wahab.

Muhammad Tajdid berkata, dia mengenali Wak Pyan sejak usia remaja iaitu ketika menuntut di sebuah pondok agama di Pattani, Thailand.

Jelasnya, dia sangat meminati lagu-lagu nasyid yang disampaikan oleh kumpulan Saujana seperti Sekeping Hati dan Panggilan Haji.

“Ketika di Pattani, saya sering mendengar carta nasyid IKIM.FM pada setiap hujung minggu.

“Bermula daripada situlah, saya kenal kumpulan Saujana dan Wak Pyan. Saya merupakan salah seorang peminat kumpulan Saujana.

“Tidak sangka, apabila dewasa, kami akan bekerja di bawah satu bumbung dan menjadi rakan sekerja,” jelasnya yang juga merupakan bekas pemain skuada bola sepak Piala Presiden Perak.

Muhammad Tajdid merupakan bekas peserta program realiti berunsur Islamik, Da’i musim pertama. Dia mendapat tempat kedua pada program berkenaan.

Mengulas mengenai resipi keserasian mereka berdua, Wak Pyan memaklumkan, komunikasi merupakan salah satu kunci utama bagi menjamin kelancaran tugas.

Jelas anak sulung daripada sembilan adik-beradik itu, setiap hari mereka meluangkan masa selama sejam bagi berbincang kandungan program untuk keesokan harinya.

“Setiap hari selepas siaran, kami akan duduk bersama dengan penerbit selama sejam. Selepas selesai baharu kami pulang ke rumah.

“Perbincangan banyak berkisar mengenai topik perbualan dan tetamu jemputan yang akan hadir pada keesokannya,” jelasnya.

Berkongsi minat

Selepas waktu kerja, Wak Pyan dan Muhamad Tajdid jarang berkomunikasi atau bertemu kerana mereka sibuk dengan peranan dakwah masing-masing.

Wak Pyan yang juga bekas penuntut jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sibuk dengan aktiviti dakwah dan nasyid.

Pada setiap hari Jumaat, dia bertanggungjawab untuk mengacara program Solat Jumaat yang disiarkan dalam Radio Televisyen Malaysia.

Muhammad Tajdid pula banyak menghabiskan masa berceramah di masjid dan surau selain bermain bola sepak bersama pasukan semi profesional tempatan.

“Kami sangat sibuk dengan komitmen lain selepas waktu kerja. Saya dengan kumpulan Saujana manakala Muhammad Tajdid dengan bola sepaknya.

“Namun, kami berkongsi minat yang sama iaitu masing-masing suka kepada aktiviti dakwah,” tegas Wak Pyan.

Wak Pyan menambah, kenang manis yang tidak boleh dilupakan sepanjang menjadi penyampai radio ialah ditegur peminat.

Jelasnya, dalam satu program, seorang peminat datang bersama anak-anaknya sambil memberitahu, mereka adalah peminat setia rancangan Warna Pagi.

“Ketika itu baru saya sedar, pendengar rancangan kami sangat ramai dan pelbagai. Saya rasa penat lelah selama ini berbaloi,” katanya.

Wak Pyan berharap, gandingannya bersama Muhammad Tajdid akan terus diterima baik oleh para pendengar IKIM.FM.

Jelasnya, mereka akan terus berusaha memberikan yang terbaik, sekali gus membuat kehidupan pendengar lebih ceria terutamanya pada waktu pagi.