Program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu disertai seramai 90 orang sukarelawan. Seramai 45 orang daripada jumlah itu merupakan pasukan perubatan dan selebihnya pasukan teknikal iaitu pasukan pacuan empat roda, Syarikat Z1 (Z1 Ventures) serta Malaysian Mountaineers 4 Wheelers (MM4W).

Perjalanan mengambil masa hampir 10 jam dengan jarak 50 kilometer dari Ibu Pejabat Polis Gua Musang, Kelantan.

Cerun berbukit-bukau, sungai dan cuaca hujan menyukarkan perjalanan apabila tanah berlumpur menghalang pergerakan kenderaan pacuan empat roda, sekali gus menjadi pengalaman yang begitu mencabar bagi misi bantuan kali ini.

Bendahari IMAM, Dr. Ahmad Yusuf Yahaya, 32, berkata, program yang diadakan kali kedua di Pos Bihai itu adalah rentetan kejayaan pada misi bantuan April lalu.

“Pada misi kali ini, kami membawa pasukan kesihatan dan pergigian yang terdiri daripada empat doktor perubatan, lima doktor pergigian, empat farmasi, pelajar dan graduan perubatan.

“Kami memberikan bantuan rawatan pergigian dan kesihatan secara percuma kepada mereka bagi meringankan beban terutamanya ketika menghadapi musim tengkujuh,” katanya

Tambah Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti SEGi Kota Damansara itu, pihaknya mendapati, kebanyakan penduduk Orang Asli mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit berjangkit biasa akibat kekurangan penjagaan kebersihan.

Penyakit berjangkit

“Mereka (Orang Asli) mengalami penyakit berjangkit biasa seperti batuk, demam, selesema dan kegatalan kulit yang berpunca daripada kebersihan air serta makanan.

“Kami juga mengadakan aktiviti ceramah kesihatan khususnya kepada golongan wanitanya yang dikendalikan oleh pelajar serta graduan Universiti SEGi,” ujarnya.

Ahmad Yusuf berkata, program untuk kanak-kanak pula termasuklah mengajar mereka cara-cara memberus gigi dengan betul, membasuh rambut dengan syampu antikutu secara beramai-ramai selain mengadakan aktiviti sukan rakyat bagi mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk.

Pada program itu juga, para peserta diberikan taklimat oleh pesara tentera, Mohd. Azmiedy Abd. Rahman, 42, mengenai kepentingan radio amatur serta asas pengendalian pacuan empat roda daripada pasukan 4x4 Recovery.

Menurutnya lagi, Imaret bakal mengadakan program berkhatan untuk Orang Asli di Pos Kemar, Grik, Perak pada bulan Disember. Ahmad Yusuf menambah, dia amat berbesar hati dengan kerjasama erat antara Imaret, pasukan kesihatan dan pergigian serta Pengarah Projek, Z1 Ventures, Muhamad Afzanizam Ismail, 40, dalam menjayakan misi kali ini.

“Kolaborasi yang amat baik ini dapat membantu kami kerana setiap orang dalam misi ini mempunyai kepakaran serta kemahiran masing-masing.

“Saya harap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang terutamanya bagi memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Ringankan beban

Sementara itu, Muhamad Afzanizam berkata, pihaknya amat memahami situasi yang dihadapi penduduk Orang Asli terutamanya kesukaran mereka mendapatkan barangan keperluan asas serta rawatan ketika musim banjir.

“Kami harap, kerjasama ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka.

“Selain itu, kami juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi dengan penglibatan daripada badan bukan kerajaan yang lain untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengadakan program seumpama itu boleh menghubungi talian 018-359 5255 atau melayari laman sosial rasmi di Facebook, Z1 Ventures untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, Pegawai Pergigian Klinik Pergigian Dr. Khairul Anwar Sanusi, 30, berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan kerjasama semua pihak dalam misi bantuan kali ini.

“Alhamdulillah, amat baik dengan persediaan pasukan daripada Imaret yang menyediakan kelengkapan peralatan bagi memberikan rawatan yang terbaik kepada penduduk.

“Pihak kami turut bersedia untuk menyertai Imaret sekiranya dipanggil pada masa akan datang,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Pos Bihai, Mulian Alok, 43, pula berkata, dia amat bersyukur kerana diberi perkhidmatan seumpama itu kepada penduduk di kampungnya.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan bersyukur atas kesudian bantuan yang diberikan mereka (Imaret). Dari jauh mereka datang ke sini untuk membantu kami.

“Kami amat memerlukan bantuan perubatan seperti rawatan pergigian dan kesihatan kerana kesukaran untuk bergerak ke bandar di Gua Musang pada musim tengkujuh ini,” ujar Penghulu Pos Bihai itu.