Nabi Muhammad SAW pernah bersabda seperti diriwayatkan at-Tirmizi yang bermaksud, apabila Allah mengkehendaki kebaikan pada diri seorang hamba, nescaya Dia menjadikan hamba itu melihat kekurangan yang terdapat pada dirinya.

Ada beberapa cara mudah untuk mengenali aib atau kekurangan pada diri sendiri. Cara paling ideal ialah dengan berada di sisi seorang guru dan menyibukkan diri menjalankan tugas-tugas yang diberikannya.

Pada waktu itu, kekurangan diri akan terlihat. Itu adalah cara yang paling berkesan dan utama. Namun, harus diakui bahawa cara itu sangat sukar dilakukan pada zaman sekarang.

Kerana itu, cara lain yang dianjurkan ialah mencari seorang teman yang soleh untuk didampingi supaya mereka boleh memerhati keadaan diri kita dan memberi peringatan ke arah kebaikan.

Perkara itu biasa diamalkan para tokoh ulama. Sebagaimana rangkap kata yang pernah diungkapkan Saidina Umar Al-Khattab:

“Mudah-mudahan Allah merahmati orang yang mahu menunjukkan kekurangan yang terdapat pada diriku.”

Pernah Saidina Umar bertanya kepada Salman Al-Farisi yang mengunjunginya: “Apa yang telah engkau dengar mengenai kekuranganku dan tidak engkau sukai ada pada diriku?”

Orang munafik

Beliau juga pernah bertanya kepada Huzaifah r.a iaitu seorang sahabat yang banyak mengetahui sekitar akhlak dan rahsia Rasulullah tentang orang munafik: “Apakah engkau melihat tanda-tanda kemunafikan pada diriku?”

Perhatikanlah, walaupun Saidina Umar memiliki kedudukan yang tinggi dan berpengaruh, beliau sentiasa bersikap berhati-hati terhadap perilakunya sendiri.

Jika kita tidak menemui seorang rakan seperti klasifikasi yang dimaksudkan, maka perhatikanlah dengan teliti ucapan orang yang bersifat dengki terhadap diri kita.

Dalam hal ini, ambillah manfaat daripada apa yang diucapkannya dan bersikap waspada atas kekurangan yang ada pada diri yang dianggap benar.

Jangan marah dan mudah tersinggung jika ada seseorang yang mengingatkan atas kekurangan yang mungkin terdapat pada diri. Ini kerana sesungguhnya ia ibarat kawanan ular yang bersedia mematuk bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.

Justeru, terimalah peringatan itu dengan berlapang dada. Jika seseorang itu marah atau tersinggung atas amaran tersebut, maka hal itu menunjukkan bahawa dia tidak begitu percaya pada kehidupan akhirat.

Akan tetapi, jika seseorang itu berasa beruntung atas semua teguran tersebut, ini bermakna iman mereka cukup kukuh.

Hal ini kerana, pandangan yang dipenuhi oleh rasa marah tidak akan berlaku jujur atau bersikap adil.