Rasa takwa atau perasaan takutkan Allah menjadi landasan untuk memilih sama ada mahu bermuamalah secara yang dibenarkan syarak atau sebaliknya.

Satu contoh paling asas ialah wadiah yang merupakan produk paling asas bagi sesebuah perbankan tetap mencerminkan bahawa kewangan Islam itu bebas daripada unsur-unsur dominasi seperti manipulasi dan eksploitasi.

Hal ini juga terlihat tentang produk perbankan wadiah di negara ini secara keseluruhan.

Wadiah daripada pelanggan bank adalah amanah. Wadiah membolehkan pendeposit mendepositkan dana ke dalam institusi perbankan tetapi yang membezakan dengan amalan konvensional ialah pihak bank dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana.

Pihak institusi perbankan akan menjamin pembayaran balik kesemua deposit itu atau sebahagian daripada jumlah belum jelas apabila pendeposit memintanya.

Setakat ini, jarang timbul kes bank gagal untuk mengembalikan wang pendeposit apabila wujud permintaan.

Bagaimanapun, wang yang disimpan pelanggan ini sebaliknya adalah wang bank menurut undang-undang perbankan konvensional.

Terdapat satu kes mahkamah yang diputuskan oleh mahkamah tertinggi England yang menjadi perintis dalam menentukan setiap wang yang dideposit oleh seorang pelanggan bank itu adalah dianggap sebagai wang bank.

Kes ini telah diterima prinsipnya hinggalah ke hari ini. Ia adalah kes Foley versus Hill and Others (1848) yang dilaporkan dalam Clerks Report (1847-66) (halaman 28 dan 36-37).

Lord Chancellor Cottenham, salah seorang hakim dalam kes itu dengan jelas telah membuat rumusan tersebut.

Begitu jelas daripada kenyataan hakim tersebut bahawa di bawah perundangan perbankan konvensional, telah menjadi satu ketetapan prinsip bahawa setiap wang yang telah dimasukkan ke dalam bank akan dianggap sebagai wang bank walaupun pihak bank perlu menunaikan apa-apa permintaan berkenaan pembayaran wang deposit tersebut oleh pihak pelanggan apabila pihak pelanggan mengkehendakinya.

Kewajipan

Pokok pangkalnya sudah menjadi satu polisi untuk bank konvensional bahawa wang tersebut adalah wang bank, mereka bebas untuk melakukan segala aktiviti yang boleh mendatangkan kebaikan kepada faedah pihak pelanggan tanpa ada kewajipan untuk memaklumkan kepada pihak pelanggan mengenai aktiviti yang dimasuki oleh pihak bank bagi tujuan tersebut.

Berdasarkan kupasan sumber perundangan primer yang diutarakan, kegusaran atau kekeliruan, malah kelompangan perbankan Islam sepatutnya tidak lagi menjadi isu perdebatan dalam kalangan masyarakat.

Rasional yang dikemukakan bukanlah berasaskan pandangan logik semata-mata tetapi ia telah diperkukuhkan dengan penghakiman kes daripada mahkamah England yang kuat dari segi autoritinya.

Konsep wadiah oleh perbankan Islam telah mencerminkan satu dimensi muamalat yang penuh dengan tatasusila dan moral yang membina akhlak pihak yang terlibat dalam transaksi walaupun hanyalah transaksi membuka akaun.

Perlu juga ditegaskan bahawa operasi membuka akaun walaupun boleh dianggap ringan tetapi ia merupakan perkara awalan yang boleh mengangkat seseorang itu sebagai pelanggan bank. Ia menjamin hak seseorang pelanggan secara hukum.

Dengan menjadi pelanggan bank, seseorang itu layak mendapat perlindungan di bawah akta yang berkaitan dengan perbankan. Jika tiada akaun yang dibuka, seseorang itu tidak boleh dianggap sebagai pelanggan bank tersebut.