Tanpa melengahkan masa dia kemudiannya berbual dan mengajukan beberapa soalan kepada wanita tersebut.

“Inilah rutin harian saya di klinik medispa ini, kebanyakan pelanggan yang hadir mempunyai masalah kulit muka yang tersendiri.

“Saya akan memberi mereka khidmat nasihat tentang cara atau kaedah untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Pada usia 32 tahun, Nadzirah yang dilahirkan di Kelantan dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor boleh berbangga atas usaha kerasnya sehingga berjaya mengusahakan perniagaan sendiri menerusi pembukaan sebuah klinik medispa, Nadzskinfinity.

Nadzirah menjelaskan, dia mengambil keputusan untuk membuka klinik medispa itu kerana minatnya dalam bidang kecantikan.

Jelasnya, dia suka melihat sesuatu yang cantik dan ingin membantu mereka di luar sana terutamanya golongan wanita mendapatkan kulit yang sihat dan cantik.

“Saya sendiri pernah berhadapan dengan masalah kulit muka yang agak teruk dan ia memberi rasa kurang selesa kepada diri.

“Saya mengakui, masalah tersebut akan membuatkan wanita berasa kurang yakin dengan diri mereka. Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk mendalami bidang estetik bagi mengatasi masalah ini,” kata anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu.

Tambahnya, dia mengambil diploma lanjutan dalam bidang estetik di Singapura.

Sebelum mengusahakan klinik tersebut, Nadzirah merupakan seorang penjawat awam dan berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Intitut Penyelidikan Perubatan Malaysia di Kuala Lumpur.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menambah, walaupun Nadzskinfinity baru sahaja dua bulan beroperasi, maklum balas yang diberikan oleh pelanggannya amat baik sekali.

Katanya, sebelum membuka Nadzskinfinity, dia sendiri pernah bekerja dengan klinik medispa milik orang lain bagi mencari pengalaman.

“Pengalaman itu penting bagi membolehkan kita mengetahui selok-belok untuk membuka klinik medispa. Bagi saya memiliki klinik medispa sendiri lebih memberi kepuasan.

“Ini kerana saya mempunyai cara sendiri untuk membantu mereka di luar sana yang berhadapan dengan masalah sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, bukan mudah untuk Nadzirah mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

Tegasnya, ibu bapanya adalah orang yang paling risau apabila dia memilih untuk berbuat demikian.

“Ibu bapa semestinya risau kerana apabila berkhidmat sebagai penjawat awam, ia akan memberi sumber pendapatan yang tetap kepada saya.

“Tetapi saya tetap dengan keputusan untuk mengusahakan perniagaan sendiri. Saya percaya dengan rancangan yang baik serta restu kedua orang tua apa yang kita usahakan pasti akan berjaya. Saya langsung tidak rasa menyesal dengan keputusan yang saya buat,” katanya lagi.

Sementara itu, selain mengusahakan klinik medispa, sejak setahun lalu Nadzirah juga telah melaksanakan program kecergasan dalam usaha membantu golongan wanita mendapatkan berat badan yang ideal untuk kesihatan.

Jelasnya, setakat ini, program tersebut telah dijalankan di lima kawasan iaitu di Shah Alam, KLCC, Bangi, Cyberjaya dan Subang.

“Ada peserta yang mengikuti program ini telah berjaya menurunkan berat antara 10 hingga 20 kilogram.

“Melalui program ini, saya menekankan rutin senaman mudah dan ia juga boleh dilakukan di rumah tanpa perlu mengunjungi gimnasium,” katanya.

Bagi Nadzirah, kecantikan dan kecergasan itu perlu bergerak seiring.

Ujarnya, seseorang itu akan menjaga makan untuk kekal cergas serta kurus dan apabila pemakanan dijaga, secara langsung kulit wajah juga akan sihat dan cantik.