Usai mematikan dapur gas, penulis blog Ruggedmom.com dan pasangan memasaknya daripada majalah Travel Guide, Carrey Chua lantas mencuba rasa masakan mereka.

“Saya tidak asing lagi dengan makanan Thai dan kerap memasaknya di rumah. Saya mempelajarinya daripada ibu secara lisan dan juga melalui pemerhatian. Ada juga yang diperoleh daripada carian di internet.

“Namun, peluang menyertai kelas masakan selama sehari daripada pakar masakan Thai sangat mengujakan kerana saya boleh mendapat pengetahuan tambahan dan tip berguna secara terus daripada cef handalan,” ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! pada kelas memasak Thai Cooking-Made Easy di Kedutaan Thailand, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya apakah menu yang paling mengujakannya, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu, dia paling tidak sabar untuk memasak menu ketiga iaitu kari hijau ayam kerana tidak pernah memasaknya sebelum ini.

“Memasak makanan Thai sangat ringkas dan kaedahnya hampir sama seperti yang saya selalu lakukan sebelum ini. Namun, terdapat beberapa teknik baharu yang dipelajari antaranya memasak pad kraprao dengan memasukkan akar ketumbar bersama-sama bagi membangkitkan rasanya. Selain itu, masakan Thai juga banyak menggunakan sos ikan sehingga tidak perlu ditambah garam sebagai penambah perisa,” kongsinya.

Sebagai negara yang bernaung dalam rantaian Asia Tenggara, Malaysia dan Thailand berkongsi struktur geografi dan iklim yang hampir sama menjadikan masakan di kedua-dua negara berjiran ini tidak banyak bezanya.

Berbeza halnya dengan Bennur Yegenoglu, 55, yang berasal dari Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.

Berbaloi

Suri rumah separuh abad dan berperwatakan ceria itu ternyata tidak mampu menyembunyikan semangat yang berkobar-kobar untuk memasak masakan Thai memandangkan ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke rantau Asia dan Malaysia menjadi negara pertama dikunjungi. Dia mengikut anak perempuannya yang bertugas di Jabatan Ekonomi Kedutaan Amerika Syarikat sejak empat bulan lepas.

“Sebelum ini saya pernah memasak sup santan Thai yang dipelajari daripada YouTube, namun saya tidak pasti rasanya sama dengan masakan asli. Kini, saya bertuah kerana berpeluang belajar resipi asli masakan terkenal Thailand daripada cef handalan yang pernah memenangi anugerah.

“Menu yang paling ditunggu-tunggu ialah hidangan pencuci mulut iaitu ladu dalam kuah santan. Ternyata ia berbaloi kerana bebola daripada beras pulut yang tawar dan kenyal melengkapi rasa lemak santan yang wangi dek daun pandan,” kongsi wanita peramah tersebut.

Yegenoglu pada awalnya sedikit terpinga-pinga untuk mengenali bahan yang digunakan dalam masakan, namun dia pantas menyesuaikan diri dan tidak kekok untuk bertanya terus kepada cef dan pembantu-pembantunya dari semasa ke semasa.

Kelas memasak masakan asli negara Gajah Putih itu dianjurkan oleh pihak Kedutaan Thailand dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand dalam usaha untuk memperkenalkan menu signatur negara tersebut.

Ia disertai oleh lebih 40 peserta yang terdiri daripada 30 orang wakil daripada Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan), hampir 15 orang wakil kedutaan asing termasuk beberapa isteri Duta Besar ke Malaysia dan selebihnya ialah pengamal media.

Tip

Sebanyak 14 meja penyediaan masakan disediakan manakala setiap kumpulan disertai oleh dua hingga empat orang peserta.

Program masakan seumpama itu sering dianjurkan oleh pihak kedutaan, namun ia terhad kepada warganegaranya sahaja. Kelas memasak Thai Cooking-Made Easy merupakan program julung-julung kali melibatkan penyertaan luar.

Ia dikendalikan oleh Cef Korn Yodsuk yang merupakan pengasas dan pemilik restoran makanan Thai terkenal berkonsep fine dining yang beroperasi di Damansara City Mall, Kuala Lumpur iaitu Erawan.

Restoran yang diasaskan pada tahun 2009 itu pernah diiktiraf sebagai restoran kedua terbaik di Malaysia dalam Miele Guide 2013. Miele Guide merupakan buku panduan serantau untuk restoran-restoran di Asia. Ia mempamerkan 20 restoran terbaik di Asia dan dikategorikan mengikut negara dan bandar.

Cef Korn sempat berkongsi pelbagai tip berguna dengan peserta yang hadir termasuklah untuk membezakan fungsi santan pekat dan santan cair.

“Makanan Thai asli seperti kari tidak menggunakan minyak masak sebaliknya digantikan dengan santan pekat sehingga pecah minyak sebelum memasukkan rempah kari. Santan cair pula selalunya digunakan sebagai bahan perapan.

“Bagi masakan, warna tidak begitu penting kerana kami lebih mengutamakan asas makanan iaitu cara penyediaannya. Sebaliknya jika pencuci mulut, warna memainkan peranan kerana ia merupakan tarikan utama terhadap hidangan tersebut,” terang cef yang berasal daripada keluarga yang pandai memasak itu.

Malah, neneknya juga merupakan bekas tukang masak istana dan pernah berkhidmat dengan Raja Rama VII iaitu Raja Prajadhipok suatu ketika dahulu.

Jelas Cef Korn, resipi bertindak sebagai panduan sahaja kerana formula utama untuk menjayakan sesuatu masakan ialah tidak terlalu terikat dengan resipi sebaliknya menyesuaikannya dengan cita rasa masing-masing.

Sebanyak empat menu signatur Thailand yang terkenal dan mudah disediakan telah dipilih untuk dimasak pada hari tersebut iaitu tomyam udang, pad kraprao, kari hijau ayam dan ladu dalam kuah santan.

Turut hadir pada program masakan sehari itu ialah Pengerusi Perwakilan, Datin Seri Hafipah Mohd. Shah.

“Saya sangat menghargai kesudian pihak kedutaan Thailand untuk menganjurkan program masakan seumpama ini memandangkan masakan dari negara itu tidak asing lagi di Malaysia.

“Menariknya, teknik masakan yang ditunjukkan hari ini bukan sahaja mudah diikuti, malah lebih asli dan segar tanpa penambahan bahan perasa dan pewarna tiruan,” tuturnya yang mula memegang jawatan itu sejak 1 Januari 2017.

Kedutaan Thailand dan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand bekerjasama menjayakan kelas memasak makanan Thai membabitkan 30 peserta di Kedutaan Thailand, Kuala Lumpur baru-baru ini.