Zakiah, 60, yang selesa membahasakan dirinya sebagai mama bercerita, ketika itu, beliau baru berjinak-jinak dengan persembahan teater bagi mengisi masa senggang manakala Mohd. Yusof, 65, atau mesra disapa Pak Yusof tertumpu pada aktiviti melukisnya.

Dalam pada itu, Pak Yusof mencelah sambil tersenyum kecil mengatakan, beliau sendiri sudah lupa siapa antara mereka terlebih dahulu jatuh hati saat kali pertama kedua-duanya bersua wajah.

Sambung Zakiah, Anak Alam menjadi destinasi pertama Mohd. Yusof menajamkan bakat selepas tamat pengajian di Sekolah Seni Indonesia (1972 hingga 1974) dan Akademi Seni Rupa Indonesia, Jogjakarta pada tahun 1975.

Biarpun aktif dalam lapangan berbeza pada masa itu, pasangan kelahiran Negeri Sembilan tersebut sama-sama menggembleng usaha dalam satu kumpulan bercerita di Pustaka Bimbingan Kanak-Kanak dikenali sebagai Boneka yang ditubuhkan Pak Yusof.

Pasangan yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan iaitu Pak Yusof di Johol manakala Zakiah dari Rantau itu kemudiannya mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 1982.

Selepas Pak Yusof memenangi tempat pertama pertandingan ilustrasi antarabangsa iaitu Noma Concours Grand Prix di Tokyo, Jepun pada tahun 1997, Zakiah meletak jawatan di sektor kerajaan dan menguruskan kerjaya suami sebagai pelukis profesional sepenuh masa.

Rutin

“Pak Yusof lazimnya tidur sekitar pukul 9.30 malam dan akan bangun pukul 2.30 pagi untuk melukis atau membaca. Beliau boleh duduk di meja kerjanya selama berjam-jam jika tidak diganggu.

“Rutin lain, beliau ialah menguruskan kebun mini selain memberi makan ikan dan beberapa ekor kucing jalanan yang biasa datang ke rumah kami setiap hari sebelum melelapkan mata sebentar sambil menunggu masuk waktu solat Zuhur,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Jika tidak berkarya di rumah, Pak Yusof akan membawa peralatan melukis serta bahan bacaan ke kafe kegemarannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Beliau juga tidak berminat melepak atau berbual-bual kosong, namun suka berkongsi buah fikiran dengan rakan-rakan sealiran.

Zakiah mendedahkan, jika suaminya tiada sebarang aktiviti, beliau boleh tidak keluar rumah selama tiga minggu. Namun, ia agak jarang berlaku kerana jadual Pak Yusof agak padat termasuk menjadi dosen jemputan di Universitas Muhammadiyah Sukabumi, Indonesia.

Di samping menyara kehidupan dengan berkarya, Pak Yusof turut aktif melibatkan diri melakukan kerja-kerja amal bagi mengumpul dana untuk mereka yang memerlukan.

Beliau bekerjasama dengan agensi kesihatan dan swasta serta pelbagai organisasi.

Katanya, sebanyak 20 buah lukisan yang dihasilkan pesakit kanser kanak-kanak berjaya dijual pada harga RM5,000 setiap satu dengan 10 peratus dana yang dikumpul disalurkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

Pejuang

Bagi Zakiah, suaminya ibarat pejuang dan bukan sahaja milik mereka sekeluarga tetapi beliau adalah milik masyarakat.

Baginya, ilmu yang dimiliki Pak Yusof seharusnya dikongsi dan disebarkan untuk manfaat bersama.

“Sebagai orang perantara yang menjadi penghubung bakat-bakat muda dengan Pak Yusof, saya acap kali mendengar luahan hati tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi yang mengatakan sukar berjumpa pelukis ternama untuk tujuan pembelajaran bersama pelajar mereka.

“Justeru, beliau sedaya upaya akan mencari waktu untuk menyusun jadual pertemuan dan menerima dengan hati terbuka kunjungan bakat-bakat pelapis di studio supaya mereka boleh melihat lebih dekat kehidupan insan seni seperti Pak Yusof,” ujarnya.

Sementara itu, bercerita mengenai isterinya, Pak Yusof berkata, sikap isterinya yang peramah dan suka bersilaturahim agak kontra dengan peribadinya yang agak pendiam.

“Jika adapun persamaan, kedua-dua kami amat suka membaca buku. Saya juga menggemari masak lemak cili api air tangan isteri yang dipanaskan berkali-kali sehingga kering. Itu juga gaya masakan ibu saya dahulu,” tuturnya.

Beliau turut menyifatkan isterinya tidak betah duduk diam. Ada sahaja kerja-kerja di belakang tabir yang ingin dilakukan.

Justeru, beliau menggalakkan Zakiah mempunyai hobi dan mencadangkannya belajar mencanting batik.

Hanya seminggu belajar seni tersebut daripada pelajar Institut Kraf Negara, Zakiah menjadi begitu minat dengan aktiviti tersebut.

Melangkah lebih jauh, isterinya pernah dijemput mengendalikan bengkel mengajar batik sempena pesta buku di Abu Dhabi, Shanghai dan Tokyo.

Beliau turut mengarahkan anak-anaknya, Nuryusniza yang dipanggil (Jaja), 35, Abdul Aziz (Jojo), 33, dan Muhammad Hasbullah (Jiji), 23, pulang untuk makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu.

“Sejak dulu, menjadi budaya keluarga kami, masing-masing akan angkat pinggan sendiri selepas makan dan terus bawa ke sinki untuk basuh. Cuma akhir-akhir ini, saya jarang melakukannya kerana isteri tolong buatkan,” akuinya jujur.