Makanan yang baik akan membantu seorang Muslim itu menyempurnakan ibadah dengan sempurna.

Bagaimanapun, Islam menetapkan beberapa adap yang perlu dipatuhi umatnya ketika makan.

Ketika makan, sebaiknya diniatkan untuk bertakwa dan berlaku taat kepada Allah SWT serta beribadat kepada-Nya.

Di samping itu, perlu diingatkan dan dijaga bahawa makanan yang dijamah haruslah berasal daripada sesuatu yang halal.

Firman Allah: “Wahai Rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal soleh.” (al-Mu’minun, 51)

Jika kita makan kerana Allah, maka sebaiknya awalkan dengan mencuci tangan kerana ia merupakan sebahagian daripada sunah Rasulullah.

Ketika dihidangkan makanan, Rasulullah biasanya duduk di atas lantai sambil bersila. Tertib tersebut menunjukkan sikap rendah diri.

Rasulullah pernah bersabda: “Aku tidak pernah makan sambil bersandar. Sesungguhnya aku hanya seorang hamba. Aku makan dan minum seperti hamba lain.” (Riwayat Bukhari)

Sebaiknya seorang hamba duduk dengan tenang dan sopan pada awal dihidangkan sehingga selesai makan. Makruh hukumnya makan dan minum sambil baring atau bersandar, kecuali kepada orang uzur.

Seseorang hamba disaran untuk makan dan minum secukupnya sahaja. Hal itu yang membuktikan bahawa ia makan untuk tujuan beribadah bukan menurut hawa nafsu.

Rasulullah bersabda: “Tiada bejana (bekas air) yang diisi penuh oleh seseorang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah seseorang itu makan beberapa sesuap sahaja bagi menguatkan tulang rusuknya.” (Riwayat Ashhab as-Sunan)

Makan bersama

Dengan kata lain, jangan makan sebelum berasa lapar kerana mengisi perut yang sudah kenyang itu membuatkan hati menjadi beku. Sebaiknya, segera berhenti makan sebelum berasa kenyang.

Berusahalah makan bersama, meskipun bersama isteri dan anak-anak sendiri. Sebaik-baiknya hidangan adalah makanan yang dimakan secara bersama.

Ketika hendak makan, dimulakan dengan membaca Bismillah dan diakhiri mengucapkan Alhamdulillah atau bersyukur kepada Allah.

Sebolehnya bacaan itu dituturkan dengan jelas dan didengari bagi mengingatkan kepada orang di sekeliling.

Disunatkan makan menggunakan tangan kanan dan menutup suapan dengan menikmatinya.

Disunatkan juga memasukkan makanan ke dalam mulut secara sederhana dan mengunyah dengan sempurna. Jangan memasukkan makanan ke dalam mulut ketika sedang mengunyah.

Rasulullah juga melarang umatnya mencela makanan. Jika sedap, baginda memakannya dan jika tidak baginda makan cukup sekadar.

Ketika berada dalam jamuan makan, hendaklah mengambil makanan yang berada pada posisi terdekat dari tempat duduk.

Rasulullah pernah menganjurkan: “Makanlah apa yang tersedia di depanmu.”

Pada kesempatan lain, baginda pernah menghulurkan tangan untuk mengambil buah-buahan pada posisi agak jauh.

Ketika berlaku hal itu, baginda memberitahu: “Buah-buahan tidak termasuk hidangan inti.”

Baginda melarang umatnya memotong daging atau roti menggunakan pisau. Sebaliknya, baginda berpesan: “Gigitlah dengan sekuat-kuatnya.”

Jangan meletakkan benda-benda lain di tempat jamuan makan kecuali alat-alat yang diperlukan.

Umat Islam juga diseru tidak menjatuhkan makanan. Jika terjatuh dan terdapat kotoran, hendaklah mengesatnya sebelum memakannya kembali.

Ketika minum, disunatkan menyedut air dan bukannya meneguk kerana ia akan terus ke kerongkong, sekali gus membahayakan jantung.

Di penghujung makan, dianjurkan untuk menghabiskan sisa yang masih ada pada pinggan sehingga bersih.