Dia dilatih oleh seorang jurulatih di tempat kampung halamannya di Miri, Sarawak. Penglibatan dalam arena renang membolehkannya meraih beberapa kejayaan peringkat tempatan.

Situasi ini melayakkan Kimberly dipanggil untuk mewakili negara. Salah satu kejayaan terbesarnya dalam sukan renang ialah pingat gangsa pada Sukan SEA 2001 yang berlangsung di ibu negara.

Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam renang, dia dipelawa untuk menyertai acara triatlon. Menerusi acara tersebut, Kimberly perlu melakukan rutin renang di laut terbuka, berbasikal dan berlari.

Peralihan acara tersebut memaksa Kimberly untuk mengubah diet pemakanan bagi meningkatkan prestasinya.

“Acara renang memerlukan susuk badan yang lebih gempal kerana ia mampu meningkatkan daya kuak sewaktu dalam air.

 

Turun berat

“Bagaimanapun, acara triatlon memerlukan saya berlari dan berbasikal. Jadi, saya perlu mengurangkan berat bagi meringankan badan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! pada acara Potatoes USA di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi mengurangkan berat badan, wanita yang masih menunggu cahaya mata pertama itu berjumpa dengan beberapa pakar nutrien. Bagaimanapun, hasilnya sangat menghampakan.

Sehinggalah satu hari, Kimberly bertemu dengan pakar nutrien dari Hungary di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur yang menasihatinya supaya mengambil kentang.

“Pada mulanya, saya melakukan ujian najis di ISN. Hasilnya menunjukkan makanan dijamah pada waktu malam tidak dihadam dengan sempurna.

“Jadi, pakar nutrien menyarankan saya mengambil kentang sebagai diet harian ketika makan malam. Selepas beberapa bulan berat saya mula menurun hampir lima kilogram,” jelasnya.

Diet tersebut turut membawa kejayaan kepada Kimberly apabila dia berjaya meraih pingat emas acara triatlon pada Sukan SEA 2007 dan 2007.

Jelasnya, kandungan kalium yang tinggi dalam kentang membantu meningkatkan fungsi otot, kardiovaskular dan sistem saraf terutamanya dalam sukan memerlukan daya tahan tinggi.

Di peringkat global, kentang semakin diterima sebagai makanan prestasi. Pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Korea Selatan, Menu Olimpik mengakui bahawa pemakanan merupakan sebahagian strategi penting atlet mencapai kejayaan.

Perkampungan atlet di Peyeong Chang dilaporkan mempunyai 180 cef yang menyediakan 7,000 sajian dan kentang merupakan bahan utama.

Menurut sejarah kentang (Solanum tuberosum Linn) mula-mula sekali ditanam di Dataran Andes, Amerika Utara sebelum dibawa ke Eropah dan Asia.

Dianggarkan terdapat lebih 4,000 jenis spesies ubi kentang. Kumpulan kentang dibahagikan berdasarkan saiz dan kandungan kanjinya. Antaranya ialah kentang waxy, russet dan idaho.

Pakar Kecergasan dan Jurulatih Kesihatan Bertauliah, Noel Chelliah berkata, arena sukan antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat telah menggunakan kentang sebagai makanan bertenaga tinggi.

 

Tambah tenaga

Tegasnya, ia digunakan untuk membantu atlet menambah tenaga yang diperlukan dalam acara-acara tahan lasak.

“Kentang membekalkan karbohidrat, kalium dan tenaga yang diperlukan oleh seorang atlet untuk memberi prestasi terbaik ketika latihan dan pertandingan,” katanya.

Selain atlet, Chelliah memaklumkan, kentang juga sesuai dijadikan makanan berkhasiat untuk seisi keluarga.

Jelasnya, diet seimbang perlu mengandungi makanan yang kaya dengan karbohidrat semula jadi dan berkualiti seperti kentang.

“Khasiat sebiji kentang bersamaan dengan sepinggan nasi. Ia sudah mencukupi untuk memberi sumber tenaga yang diperlukan tubuh,” katanya.

Menurut Chelliah, kentang sesuai dijamah oleh mereka yang ingin mengurangkan berat badan dan menjaga kesihatan.

Mengapa? Ini kerana kentang mengandungi 620 miligram kalium iaitu lebih banyak daripada sebiji buah pisang bersaiz sederhana.

“Kandungan kalium sangat penting pada tubuh. Ia sangat diperlukan oleh sel-sel darah merah, otot dan tulang manusia,” terangnya.

Sementara itu, cef selebriti, Muhammad Naim Ramli berkata, kentang bukanlah sesuatu yang asing dalam masakan Melayu atau Barat.

Sejak dahulu lagi kentang telah digunakan sebagai salah satu bahan utama mahupun sampingan dalam masakan.

“Kentang sememangnya enak dan disukai ramai. Ini membuatkan kentang banyak digunakan dalam berbagai-bagai jenis masakan dan dimasak dengan pelbagai cara.

“Antaranya, salad kentang yang direbus dan kemudian digaul bersama mayonis atau mungkin juga kentang yang dibakar dan dimakan bersama krim masam dan bacon,” katanya.

Pada program tersebut, beliau menunjukkan tiga jenis resipi mudah menggunakan kentang sebagai bahan utama.

Resipi tersebut berupa tom yam ayam bersama kentang goreng, smoothie kentang dan nangka serta kentang on the go.

Muhammad Naim turut berkongsi tip penting memilih kentang segar. Jelasnya, kentang terbaik mempunyai kulit berwarna cerah dan tidak kusam.

Ujarnya, elakkan juga kesan lubang dan lebam pada permukaan kulitnya dan telah tumbuh tunas.

“Kentang yang telah bertunas menandakan ia sudah tua dan tidak selamat dimakan kerana ia mengandungi racun berbahaya seperti solanine dan chaconine.

“Sebaiknya, tunas itu perlu dicungkil terlebih dahulu sebelum menggunakan kentang berkenaan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan pening kepala dan sakit perut,” katanya.

Kentang digunakan secara meluas dalam kalangan atlet bagi meningkat prestasi ketika beraksi.