Mahu didakap sekujur tubuh tinggi lampai anak autisme itu dan mengucap kata-kata pujian. Tetapi mengenangkan kafe miliknya pada pagi itu agak sesak dengan pelanggan dia memendam niat tersebut di sebalik senyum lebarnya.

Apatah lagi ia berlaku hanya baru-baru ini selepas kira-kira dua tahun beliau mengusahakan Autism Cafe Project (ACP) yang beroperasi di 1Malaysia for Youth (iM4U) Sentral, Puchong, Selangor.

Bekas pengarah eksekutif Yayasan Standard Chartered itu nekad meninggalkan dunia korporat yang telah sebati dengan dirinya sejak tahun 1988 demi masa depan anak kedua daripada enam beradik itu.

Idea yang diketengahkan kafe tersebut ialah mengambil mereka yang senasib dengan anaknya untuk diberi peluang pekerjaan, pada masa sama melatih golongan berkenan untuk hidup berdikari.

“Saya terfikir mengusahakan perkhidmatan dobi dan mencuci kenderaan namun merasakan ia tidak begitu efektif untuk menggalakkan anak autisme terlibat dalam masyarakat.

“Apabila saya lihat Luqman suka membasuh pinggan naluri saya kuat mengatakan membuka kafe ini satu langkah yang bagus,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Paling ramai kafe itu pernah menerima 10 remaja autisme. Namun, bilangannya kini menjadi tujuh orang kerana tiga lagi sudah berkeyakinan untuk keluar bekerja di tempat lain.

Jadual kerja mereka disusun dengan dua orang pekerja istimewa akan bekerja dari pukul 8.30 pagi hingga 1 tengah hari selama lima hari seminggu di samping turut dibantu empat orang sukarelawan.

Mohd. Adli berkata, pembukaan kafe itu diharapkan dapat menjadi pusat latihan persediaan kepada remaja autisme sebelum mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.

Ini kerana peluang untuk remaja autisme bekerja di restoran agak sukar berikutan masyarakat belum memahami masalah yang dihadapi golongan ini dan menganggap sukar untuk bekerja dengan mereka.

“Anak saya seorang yang patuh. Dia memahami dan boleh mendengar arahan. Apa yang penting menetapkan rutin untuk mereka melakukan sesuatu. Saya sendiri terkejut apabila anak saya boleh goreng bihun sendiri. Perubahan ini dilakukan secara bertahap.

“Saya tidak mimpikan mereka menjadi eksekutif. Dapat buat kerja begini, Alhamdulillah. Di sini kami sesuaikan kerja mengikut situasi individu jadi mereka tidak tertekan,” tutur anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Cabaran

Luqman tidak bercakap sejak berusia tiga tahun dan perkara itu berlanjutan sehingga kini. Dia juga hiperaktif, tidak boleh mendengar bunyi bising, sukar memberi tumpuan dan akan memejamkan mata bila terdedah kepada cahaya matahari.

“Dah lama sangat saya fikir, apa akan jadi padanya apabila suatu hari nanti saya telah tiada. Siapa akan menjaganya nanti?

“Bermacam-macam usaha yang telah dilakukan misalnya mengamalkan cara pemakanan sihat bawa dia menghadiri program intervensi. Lama-lama masalah tersebut beransur hilang. Cuma saya tak bagi dia pil penenang,” kongsinya.

Beliau mendedahkan cabaran sebenar bukan datang daripada anak-anak autisme yang baginya begitu tulus dalam mengekspresi dan mudah dijangka tindakan mereka. Tetapi ia lebih kepada insan normal yang tidak begitu memahami isu tersebut.

“Setiap bulan kami memerlukan kira-kira RM4,000 untuk membeli bahan mentah, kos logistik dan sebagainya. Saya teringat detik awal beroperasi di kawasan perumahan kami langsung tidak mendapat pulangan modal.

“Mujur kami dapat tapak daripada iM4U dan tidak perlu bayar sewa. Tempatnya strategik dan kami harap masyarakat dapat maklumat apa yang kami cuba lakukan,” ujarnya.

Tambahnya, untuk memastikan kelangsungan projek itu, pihaknya turut mengambil tempahan katering selain membuka kios jualan makanan antaranya di Pusat Perubatan Tropicana serta Pusat Perubatan Park City di Petaling Jaya, Selangor.

Positif

Lebih menarik, pihaknya telah memulakan projek diberi nama ACP Youth Bazaar yang melibatkan penyertaan anak autisme untuk menjadi tauke dengan menjual barangan yang dihasilkan mereka sendiri seperti gelang manik, biskut, pakaian dan sebagainya.

Jadual bazar jualan tersebut berubah tempat setiap minggu. Antaranya lokasi ialah pusat beli-belah Evolve Concept serta Glo, Damansara dan pusat beli-belah Melawati.

Bagi seorang pekerja istimewa, Ahmad Muzaffar Ahmad Fairuz, 18, dari Shah Alam, Selangor, dia sukar menggambarkan perasaan bekerja di ACP biarpun telah setahun melakukan rutin seperti mengambil dan menghantar pesanan makanan.

“Saya tidak tahu. Tetapi saya suka menonton filem Star Wars dan membaca komik,” ujarnya serius sambil menjungkit bahu dan disambut ketawa kecil oleh ayahnya, Ahmad Fairuz Ahmad Seth, 50, yang datang untuk menjemput anaknya pulang.

Ahmad Fairuz bercerita, anak bongsunya sebelum ini tidak gemar bersosial, sukar didekati dan tiada keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan orang luar sebelum ini.

“Dia agak lambat menyesuaikan diri. Tetapi lama-kelamaan dia semakin seronok datang ke kafe dan awal-awal pagi sudah bersiap untuk ke tempat kerjanya.

“Semakin hari dia menunjukkan perubahan positif. Saya teringat dahulu jika diusik di sekolah dia akan diam sahaja tetapi bila pulang dia akan mengamuk tetapi perkara itu tidak lagi berlaku,” imbaunya.

Kepada suri rumah yang mempunyai dua anak autisme, Shafura Redway, 41, yang menetap di Mildura, Australia sanggup meluangkan masa berkunjung ke ACP kerana begitu terinspirasi dengan apa yang dilakukan Mohd. Adli.

“Saya datang untuk mengucapkan terima kasih. Kami ibu bapa yang memiliki anak autisme ibarat keluarga besar dan saling bertukar pandangan,” ujarnya yang telah tinggal di negara kanggaru itu selama 12 tahun.

Autism Cafe Project (ACP) yang diperkenalkan sejak tahun 2016 menyediakan peluang pekerjaan dan melatih anak autisme belajar hidup berdikari.