Sudah pasti kegembiraan yang teramat apabila mendapat berita mereka terpilih mengerjakan haji pada tahun ini.

Kebanyakan daripada mereka terus sujud syukur sambil menangis dan berdoa semoga hajat menunaikan haji menjadi kenyataan.

Sebenarnya, setiap hati Muslim mengimpikan untuk pergi ke Mekah, Arab Saudi kerana ia adalah seruan Nabi Ibrahim AS selepas baginda membina Kaabah.

Allah SWT mengarahkan perkara tersebut kepada Nabi Ibrahim lantas Baginda menjawab tidak mampu untuk melakukan.

Bagaimanapun, Allah memberi jaminan bahawa kamu hanya melaungkan azan dan Kami (Allah) yang menyampaikan.

Firman Allah: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya daripada berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh.” (al-Hajj, 27)

Bagi yang pertama kali berkunjung ke Mekah, mereka pasti begitu teruja melihat Kaabah Musyaraffah.

Selama ini, lima kali sehari semalam kita menghadap Kaabah tanpa melihatnya untuk menjadi syarat kepada sahnya solat.

Tiba-tiba pada tahun ini dipanggil Allah untuk melihat Kaabah yang menjadi kiblat kepada seluruh umat Islam itu.

Jemaah juga dijanjikan ganjaran yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad: “Solat di masjid aku lebih afdal daripada seribu solat di tempat lain kecuali Masjidil Haram. Solat di Masjidil Haram lebih afdal daripada seratus ribu solat.” (al-Bukhari)

Pilihan Allah

Bumi Mekah yang memiliki Kaabah mempunyai banyak kelebihan. Di sana juga terdapat Masjid Haram yang merupakan pilihan Allah.

Padanya terdapat Hajar al-Aswad, hijr Ismail, Multazam, air zamzam, makam Nabi Ibrahim dan lain-lain.

Bersebelahan dengan Masjidil Haram di luar tempat sai terdapat tempat kelahiran Rasulullah SAW yang pada hari ini dijadikan maktabah.

Tetamu Allah akan dapat melihat semua kebesaran Allah yang ada di Mekah.

Nabi Muhammad amat sayang dengan bumi Mekah tempat tumpah darah dan permulaan dakwah baginda.

Semasa memulakan hijrah ke Madinah, baginda memandang kota Mekah dari jauh dan bersabda: “Sesungguhnya kamu adalah bumi Allah yang terbaik dan kamu adalah tempat yang Allah paling sayangi, kalaulah kaummu tidak mengeluarkan aku nescaya aku tak akan keluar daripadamu.” (al-Termizi)

Kepada tetamu Allah, rebutlah peluang semasa berada di Tanah Suci ini dengan beribadat, perbanyakkan solat, iktikaf dan doa di Masjidil Haram.

Tunaikan ibadat haji dengan sempurna mengikut ilmu yang betul kerana ganjaran haji mabrur ialah syurga. Wassalam.