Sesekali isterinya akan menegur perbuatan itu jika bunyinya terlalu kuat sehingga mengganggu keselesaannya.

Begitu pun, Hamzah bukan sengaja ingin menguatkan nada suara peti televisyen berkenaan. Ia disebabkan dia mengalami masalah pendengaran.

“Ada masanya ketika saya menonton televisyen, isteri atau anak-anak akan menegur kerana bunyi televisyen kuat sekali.

“Bagaimanapun, mereka memahami masalah saya yang kurang pendengaran,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Nessa Hearing Care di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Hamzah yang merupakan ayah kepada empat orang cahaya mata itu mengalami masalah pendengaran sejak beberapa tahun lalu pergi ke Nessa Hearing Care itu untuk melakukan pemeriksaan.

Nessa Hearing Care adalah satu tempat bagi mereka yang mempunyai masalah pendengaran untuk melakukan pemeriksaan bagi mengetahui tahap pendengaran mereka.

Menurut Hamzah, masalah berkenaan menyebabkan orang ramai sukar berkomunikasi dengannya dan mereka perlu bercakap kuat.

“Jika mereka bercakap pada nada suara biasa amat susah untuk saya memahami,” katanya.

Dalam pada itu, isteri Hamzah yang hanya mahu dikenali sebagai Hafzah menjelaskan, dia membawa suaminya ke Nessa Hearing Care adalah untuk memeriksa tahap pendengarannya.

Jelasnya, bantuan khidmat nasihat daripada pakar-pakar di Nessa Hearing Care diharapkan dapat mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah yang dihadapi suaminya.

“Untuk berkomunikasi dengannya, saya perlu bercakap pada nada yang kuat.

“Ketika waktu makan beramai-ramai bersama ahli keluarga, dia ada kalanya langsung tidak dengar apa yang kami bualkan,” katanya.

Simpton utama

Pendengaran adalah salah satu pancaindera yang paling penting kepada manusia untuk berkomunikasi.

Kini, masih ramai yang mengambil ringan masalah pendengaran kerana ia dapat dilihat melalui pemerhatian fizikal.

Kebanyakan pesakit akan berhadapan dengan simptom utama iaitu kualiti pendengaran semakin berkurangan. Bunyi yang didengari semakin lama semakin terganggu, tidak jelas dan membuatkan pesakit susah memahami percakapan seseorang.

Audiologis di Nessa Hearing Care, Ili Athirah Roseli berkata, pendengaran semakin berkurang menjadi antara masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan masyarakat di negara ini terutamanya warga emas.

Jelasnya, mereka yang berhadapan dengan masalah itu jarang melakukan pemeriksaan awal.

“Bagi membantu mereka yang berhadapan dengan situasi itu, Nessa Hearing Care menjalankan pemeriksaan percuma.

“Setelah pesakit mengetahui akan tahap pendengaran masing-masing, mereka bolehlah mengambil tindakan selanjutnya bagi mengatasi masalah tersebut,” jelasnya.

Ili Athirah menjelaskan, pendengaran manusia terdiri daripada tiga bahagian iaitu telinga luar, tengah dan dalam.

Setiap bahagian telinga mempunyai organ untuk menjalankan fungsinya yang tersendiri.

Sebelum melakukan pemeriksaan audiologis terlebih dahulu akan meminta pesakit untuk menceritakan latar belakang mereka.

Ini penting bagi mengetahui punca-punca pendengaran pesakit merosot.

“Setelah mengetahui latar belakang pesakit kami akan melakukan pemeriksaan pada bahagian telinga luar terlebih dahulu.

“Kemudian bahagian tengah telinga akan diperiksa di mana kita mahu melihat tahap tekanan telinga sama ada normal atau tidak. Pada bahagian tengah ini juga kita boleh sahkan sama ada gegendang telinga sama ada pecah atau tidak,” katanya.

Tambahnya, untuk bahagian dalam telinga pula pesakit akan dipakaikan fon kepala bagi menguji tahap pendengarannya.

Rawatan

Pesakit perlu memberi respons terhadap bunyi yang keluar dari fon kepala itu.

Dalam pada itu, Ili Athirah menjelaskan, pesakit yang mengetahui jenis masalah pendengaran yang dihadapi lebih awal adalah amat penting bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Jelasnya, terdapat masalah pendengaran yang bersifat sementara dan ia boleh dirawat dan ada juga yang tidak boleh dirawat dan bersifat kekal.

Lazimnya, terdapat tiga jenis masalah pendengaran iaitu konduktif, sensorineural dan campuran.

Masalah pendengaran konduktif ialah sebarang jangkitan atau penyakit yang melibatkan dua bahagian telinga iaitu telinga luar dan telinga tengah.

Bagi masalah pendengaran jenis sensorineural pula melibatkan patologi pada saraf auditori pendengaran manusia.

Masalah jenis campuran ialah patologi yang melibatkan saraf auditori dan dua bahagian telinga iaitu telinga luar dan telinga tengah.

Ili Athirah menjelaskan, masalah pendengaran jenis konduktif boleh dirawat sama ada dengan pengambilan ubat atau pembedahan.

“Bagi masalah jenis ini biasanya akan kembali pulih seperti biasa dalam tempoh masa tertentu setelah dirawat.

“Manakala masalah pendengaran jenis sensorineural pula melibatkan patologi pada saraf auditori pendengaran manusia dan ia bersifat kekal dan tidak boleh dirawat,” jelasnya.

Tambahnya, rawatan yang sesuai untuk masalah pendengaran jenis sensorineural ialah dengan memakai alat bantu pendengaran.

Sementara itu, masalah pendengaran campuran pula berlaku apabila terdapat masalah pendengaran serentak iaitu masalah pendengaran konduktif dan sensorineural hadir bersama.