Setiap negara berhadapan masalah sedemikian dan saban tahun jumlah mereka yang mengalami obesiti semakin meningkat.

Permasalahan ini jika tidak dikawal boleh menjadi sesuatu yang membimbangkan dan akan menimbulkan isu kesihatan awam di seluruh dunia sekali gus meningkatkan kos penjagaan kesihatan.

Lebih 650 juta orang dewasa dan lebih 120 juta kanak-kanak serta remaja di seluruh dunia berhadapan masalah obesiti.

Pakar Runding Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussein berkata, obesiti ialah keadaan perubatan kronik yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius seperti diabetes jenis dua, kerumitan kardiovaskular, tekanan darah tinggi dan juga kanser.

“Masalah ini boleh menyebabkan kualiti kehidupan seseorang itu rendah dan mungkin jangka hayatnya juga berkurang.

“Sesiapa berhadapan dengan masalah ini tetapi berjaya mengurangkan lima hingga 10 peratus daripada berat badan mereka akan dapat meningkatkan tahap kesihatan dengan ketara,” katanya.

Tambahnya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai ramai rakyat yang mengalami masalah obesiti berbanding negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

Zanariah berkata, jumlah mereka yang berhadapan dengan masalah itu juga semakin meningkat.

Pada tahun 1996, jumlah obesiti di negara ini adalah sekitar 21.1 peratus dan kemudiannya meningkat kepada 43.1 peratus pada tahun 2006.

Jumlah itu kemudiannya bertambah menjadi 47.7 peratus pada tahun 2015.

Faktor

Dalam pada itu, Pakar Perunding Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM), Prof Madya Alex Tan berkata, hasil penyelidikan menunjukkan, bahawa obesiti ialah penyakit yang rumit dan disebabkan oleh berbilang faktor.

“Masalah ini dipengaruhi oleh sama ada faktor genetik, fisiologi, persekitaran atau psikologi.

“Obesiti juga menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius dan dikaitkan dengan gangguan kualiti hidup.

Lebih tinggi bacaan indeks jisim badan (BMI) seseorang, bermakna lebih tinggi risikonya terdedah kepada diabetes jenis dua, hipertensi dan masalah-masalah lain.

Mereka yang obesiti juga berdepan dengan stigma masyarakat disebabkan komplikasi kesihatan berkaitan berat badan dan kajian juga menunjukkan, masalah ini boleh menyebabkan kemurungan dan kemerosotan kualiti hidup.

Sementara itu, Pakar Bedah Bariatrik dan Metabolik, Pusat Perubatan Sunway, Datuk Dr. Tikfu Gee berkata, apabila mereka yang berhadapan dengan masalah sedemikian, ada yang cuba menurunkan berat badan namun ada juga berkemungkinan berhadapan masalah penambahan lebih berat badan.

“Ini disebabkan badan mereka telah memperlahankan kadar metabolisme selain faktor genetik menyebabkan ada yang mengalami masalah untuk mengembalikan semula berat badan ideal.

“Kini, obesiti diklasifikasikan sebagai penyakit kronik, tetapi kita masih perlu berusaha untuk mengubah cara orang ramai berfikir tentang obesiti,” katanya.

Tambahnya, sokongan untuk mereka yang berhadapan dengan masalah ini penting untuk membantu mereka menangani keadaan fizikal tersebut.

Kelazimannya, obesiti yang meningkat ialah isu kesihatan awam yang membawa kesan besar ke atas individu dan sistem penjagaan kesihatan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya iaitu untuk menambah baik kehidupan insan yang menderita dengan obesiti, syarikat penjagaan kesihatan global, Novo Nordisk bekerjasama dengan beberapa pihak yang berkepentingan untuk memulakan inisiatif Changing Obesity bagi membantu meningkatkan kesedaran terhadap obesiti dan membantu rakyat Malaysia lebih memahami keadaan ini.

Pengurusan berat badan

Novo Nordisk telah melancarkan produk terbaharu mereka iaitu Saxeda yang merupakan ubat preskripsi yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan untuk pengurusan berat badan jangka panjang dalam kalangan dewasa yang mengalami obesiti.

Saxenda mempunyai mekanisme tindakan unik serupa hormon dihasilkan badan manusia secara semula jadi untuk mengawal selera, dikenali sebagai peptida seperti glukagon (GLP-1).

Dengan mengaktifkan bahagian tertentu otak yang mengawal selera, Saxenda dapat meningkatkan rasa kenyang dan puas, lantas menyebabkan pengurangan pengambilan kalori dan membantu penurunan berat badan.

Pengurus Besar Novo Nordisk Pharma (M) Sdn. Bhd., Richard Abela berkata, mereka yang berhadapan dengan masalah obesiti bukan sahaja mahu mengurangkan berat badan, tetapi juga peningkatan tahap kesihatan dan menikmati kualiti kehidupan lebih baik.

“Pihak kami dengan sukacita menawarkan pilihan rawatan yang terbukti secara klinikal dapat membantu orang ramai mencapai pengurangan berat badan yang bermakna.

“Dengan pelancaran produk ini di Malaysia, ia menjadi batu loncatan penting dalam komitmen jangka panjang kami untuk meningkatkan kehidupan insan yang menghidap masalah obesiti di negara ini,” katanya.