Meja panjang tempatnya bekerja pada ketika itu dipenuhi dengan beberapa dulang lain berisi inti kuih sebesar penumbuk yang disediakan lebih awal pada sebelah malam.

Usai melakukan tugas menguli, dia kemudiannya menyatukan kulit dan inti berwarna-warni yang mewakili pelbagai perisa seperti durian, kacang merah, coklat Toblerone serta walnut kopi latte.

Tidak terhenti di situ, kuih bulan berbentuk bebola tersebut dicap menggunakan acuan yang mempunyai corak berbeza mengikut inti di dalamnya.

“Setelah itu, ia sudah boleh dimasukkan ke dalam ketuhar. Proses membakarnya dilakukan sebanyak dua kali yang masing-masing mengambil masa 12 hingga 15 minit.

“Ia perlu dibiarkan seketika selepas dibakar kali pertama. Ini kerana kulitnya akan merekah, namun bercantum semula apabila minyak dari dalam kuih keluar. Sebelum dibakar semula, saya akan menyapunya dengan kuning telur supaya ia menjadi licin serta berkilat,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Ibu kepada empat orang cahaya mata itu merupakan salah seorang daripada usahawan program Barangan Luarbiasa Eksklusif eUsahawan (Blee) di bawah platform jualan online MyBazar.

Menerusi program yang dilancarkan pada Mac lalu, MyBazar Malaysia Sdn. Bhd., telah dilantik oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mencungkil peluang ekonomi digital dalam kalangan peniaga tempatan.

Aslina berkata, kuih bulan buatan tangannya mampu bertahan selama sebulan jika disimpan dalam bekas kedap udara pada suhu bilik.

Ia akan kekal dalam keadaan baik sehingga tiga bulan jika disimpan dalam peti sejuk.

 

Platform maya

Ciri-ciri itu menyebabkan kuihnya sesuai dijual secara online dan lebih 80 peratus pelanggan menempah menggunakan platform maya termasuk menerusi media sosial seperti Facebook serta Instagram.

Aslina berkata, dia belajar membuat kuih itu daripada seorang rakan pada tahun 2016 dan teruja apabila percubaan pertamanya berhasil.

Bermula September pada tahun yang sama, dia mula memasarkan kuih tersebut secara kecil-kecilan sebelum mengikuti program e-usahawana MDEC dan menyertai MyBazar baru-baru ini.

Pernah berdepan dengan liku-liku hidup seperti dibuang kerja pada tahun 2003 dan ditipu rakan kongsi perniagaan, Aslina kini boleh tersenyum puas.

Ini kerana dia pernah merekodkan jumlah tempahan tertinggi yang mencecah 800 biji kuih bulan seminggu.

Kuih berukuran standard seberat 150 gram itu dijual pada harga serendah RM10 hingga RM17 sebiji.

Keistimewaan kuih bulan itu ialah ia boleh dinikmati sepanjang tahun berbanding segelintir pengusaha yang membuatnya pada Perayaan Kuih Bulan yang disambut pada pertengahan musim luruh iaitu hari ke-15 pada bulan Ogos hingga akhir September mengikut kalendar Cina.

Lain pula kisahnya dengan Pengasas NZ Natural Resources, Dr. Zarina Itam yang mengeluarkan produk jamu kencur menggunakan resipi yang diperturunkan daripada ibunya.

Zarina, 40, yang juga merupakan Pensyarah Kejuruteraan Sivil, Universiti Tenaga Nasional di Kajang, Selangor pada mulanya membuat jamu tanpa mengenakan bayaran apabila diminta rakan-rakannya.

“Saya ada bagi resipi kepada mereka tetapi mereka lebih menyukai jamu buatan saya.

“Lama-kelamaan, saya melihatnya sebagai peluang bisnes apabila permintaan kian meningkat sehingga tidak menang tangan dibuatnya.

“Ketika itu, saya mengambil masa kira-kira dua jam untuk mencuci berkilo-kilo daun cekur yang dicabut bersama akarnya bagi menghilangkan tanah yang melekat dan memasak sehingga pukul 2 hingga 3 pagi,” imbaunya yang mula menjadikan amalan minum jamu sejak berusia 20 tahun.

Pada akhir tahun 2016, ibu kepada seorang cahaya mata itu tekad untuk membuka kilang sendiri dan kebanyakan tugas diambil alih oleh mesin selain mempunyai sistem operasi yang lebih sistematik.

Katanya, rasa produk yang tidak konsisten antara cabaran yang perlu dihadapi.

Ini kerana dia menggunakan ramuan asli seperti asam jawa, halia, daun cekur yang kadangkala menghasilkan rasa berbeza kerana memperoleh bekalan daripada pengeluar-pengeluar berlainan.

Menurutnya, kebanyakan pengusaha jamu menggunakan ramuan yang diekstrak dan ia membuatkan rasa produk yang dihasilkan lebih mudah dikawal.

Namun, penggunaan bahan dalam bentuk sebenar menjadi kekuatan produk keluaran syarikatnya.

Dia juga membuat keputusan untuk menghasilkan minimum 700 botol bagi setiap peringkat pengeluaran bagi tujuan menjaga kualiti produk itu.

Selain itu, Zarina turut menjadikan amalan bertanya kepada pelanggan kesan yang dialami selepas mereka mengambil jamu itu.

Ini kerana reaksi tubuh setiap orang terhadap produk berasaskan herba adalah berbeza.

 

Prinsip

Beliau turut memegang prinsip bahawa seseorang peniaga perlu bertanggungjawab terhadap produk yang dijual bagi mencapai matlamat penghasilan produk.

Tambahnya, selain MyBazar, dia turut menjual produk keluarannya di platform e-dagang lain seperti Lazada dan 11street.

Namun, kos penghantaran percuma yang ditawarkan MyBazar memikat hati pelanggan untuk membuat pembelian di platform tersebut.

“Dari segi pemasaran, platform MyBazar lebih membantu saya berbanding platform jualan online lain yang memaksa saya bersaing dengan banyak produk lain termasuk yang diimport dari China dengan segmen produk yang lebih meluas seperti gajet dan barangan elektronik,” tuturnya.

Dalam pada itu, Pengurus Akaun Utama MyBazar, Normazida Abd. Majid berkata, pihaknya sendiri akan ke tempat pengusaha untuk melihat bagaimana sesuatu produk itu dihasilkan.

Antara lokasi yang pernah dikunjungi ialah di Jeli, Kelantan selain Sabah dan Sarawak.

Dia mahu mencari produk yang baik dan unik untuk diketengahkan walaupun ia tidak mempunyai label atau diusahakan secara kecil-kecilan.

“Kami juga memberi khidmat nasihat mengenai aspek pembungkusan produk, label, fotografi untuk memperkasakan usahawan kita supaya produk mereka boleh pergi lebih jauh.

“Lebih 80 peratus usahawan MyBazar yang menyertai program Blee adalah golongan wanita meliputi 2,000 jenis produk makanan, fesyen, hiasan rumah dan kraf tangan,” jelasnya.

 

Barangan Luarbiasa Eksklusif eUsahwan (Blee)

* Dilancarkan pada Mac 2018

* Peserta yang menyertai kursus eUsahawan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia layak menyertai Blee

* Sokongan peribadi, latihan, promosi dan pemasaran untuk menjual serta mengembangkan perniagaan secara online

* Pengusaha mendapat peluang mengeksport produk ke pasaran antarabangsa

 

MyBazar Malaysia

* Alamat: Suite 2A-23-2, Aras 23 Blok 2A, Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur

* Laman web: www.mybazar.com

* Telefon: 03-2785 1081