Bakat dan potensi remaja berusia 20 tahun itu dicungkil oleh seorang guru di sekolahnya.

Ia selepas gurunya mengesan kemampuan Asif Rahman yang berlari tanpa henti sewaktu bermain bola sepak.

Sejak itu, dia mula berlatih dan aktif menyertai kejohanan larian jarak sederhana.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila dia berjaya memikat jurulatih olahraga negara untuk mewakili negara dalam acara 800 meter (m) dan 1,500m.

Sepanjang penglibatan dalam acara tersebut, anak kelahiran Selangor itu meraih beberapa kejayaan antaranya, pingat emas 800m pada Sukan Malaysia 2016 dan pingat perak 800m pada Kejohanan Olahraga Singapura 2016.

Bagaimanapun, perjalanan Asif Rahman dalam sukan larian jarak sederhana mula berliku selepas mengalami masalah iliotibial band syndrome (ITBS) atau sindrom tisu perantara iliotibial pada tahun lalu.

ITBS adalah masalah yang berlaku pada struktur tisu bahagian luar paha yang menghubungkan antara pinggul dengan lutut.

Apabila berlari struktur tisu perantara iliotibial (ITB) membantu menstabilkan lutut dan pinggul.

Komplikasi mula berlaku apabila ITB mula membengkak dan bergesel dengan tulang sekali gus menyebabkan kesakitan.

“Masalah ITBS mula menghantui saya sejak tahun lalu sewaktu melakukan latihan ujian masa 1,200m.

“ITBS ini membuatkan tepi paha kiri saya menjadi keras dan apabila berlari ia berasa sangat sakit.

“Ia sekali gus membuatkan larian saya lebih perlahan kerana terpaksa berlari dalam kesakitan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Asif Rahman, dia mendapat ITBS dipercayai akibat latihan yang keras selain permukaan laluan larian tidak rata.

Pemulihan

Akibatnya, pelajar Sarjana Muda Senaman Sukan, UM itu terpaksa berehat selama lapan bulan untuk memulihkan kembali masalah ITBS.

Katanya, tempoh rehat tersebut diperlukan bagi memastikan tisu berkenaan kembali seperti biasa.

“Walaupun selepas tempoh pemulihan, saya sentiasa berjaga-jaga kerana masalah ITBS ini boleh datang pada bila-bila masa.

“Saya juga mempraktikkan beberapa langkah yang disyorkan oleh doktor seperti mandi dalam ais dan urutan bagi memastikan ITBS tidak berulang,” katanya.

Hasil kajian menunjukkan masalah ITBS sering berlaku dalam kalangan mereka yang aktif berlari.

Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja dan pada bila-bila masa sewaktu seseorang itu sedang melakukan larian terutamanya jarak sederhana dan jauh.

Biomekanik

Sementara itu, Pensyarah Sains Sukan, UM, Dr. Rizal Mohd. Razman berkata, ITBS berlaku disebabkan penggunaan berlebihan akibat biomekanik larian dan faktor luar yang tidak sesuai dengan postur badan.

Jelasnya, biomekanik larian yang salah secara berterusan ketika berlari akan meningkatkan risiko mengalami masalah ITBS.

“Aktiviti larian terutamanya jarak sederhana dan jauh menuntut kekuatan otot kaki dan paha secara seimbang bagi mengawal teknik larian.

“Sekiranya salah satu otot tidak berada pada kekuatan sepatutnya, ia menyebabkan kaki mudah masuk ke dalam apabila berlari. Situasi ini akan memberi lebih tekanan kepada ITB sehingga menyebabkan ia membengkak,” katanya.

Dia memberitahu, faktor luaran seperti penggunaan kasut yang tidak sesuai dengan bentuk kaki juga boleh menjejaskan postur badan sewaktu berlari.

Penggunaan kasut yang sudah haus juga akan menyebabkan tisu ITB membengkak kerana tapak kaki menjadi tidak sekata apabila memijak permukaan.

Terdapat beberapa lagi faktor penyebab ITBS antaranya adalah peningkatan jarak larian secara mengejut, berlari secara berterusan tanpa rehat dan menuruni bukit.

“Elak daripada meningkatkan jarak larian dalam tempoh mengejut. Misalnya, dari lima kilometer (km) kepada 20km dalam tempoh sehari.

“Sebaiknya, jarak perlu ditingkatkan secara berperingkat-peringkat bagi memudahkan proses penyesuaian ITB.

Rizal menambah, kaum wanita lebih berisiko untuk menghadapi masalah ITBS kerana memiliki pinggul lebih besar sekali gus memudahkan postur badan berubah.

Senada dengan Rizal, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Sukan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Tengku Fadilah Tengku Kamalden berkata, cara terbaik untuk mengatasi masalah ITBS adalah dengan berehat serta-merta.

Katanya, tempoh rehat tersebut dapat membantu memulihkan kembali tisu dan mengelakkan kesakitan daripada berulang.

“Sekiranya, ITBS berlaku ketika berlari, cepat-cepat letak ais pada bahagian luar paha. Ini dapat mengurangkan kesakitan sewaktu berlari.

Jumpa pakar

“Bagi mengelak ia berulang, seseorang itu perlu berehat daripada melakukan sebarang aktiviti melibatkan kaki dalam tempoh lebih enam bulan,” katanya.

Tengku Fadilah memaklumkan, sekiranya masalah ITBS berulang maka, seseorang itu perlu berjumpa pakar.

Jelasnya, pakar akan mencari punca untuk masalah tersebut terlebih dahulu termasuk melakukan ujian teknik larian di dalam makmal.

“Menerusi ujian ini, doktor boleh mengesan sebarang kesilapan teknik sewaktu berlari.

“Andai, ITBS berlaku disebabkan masalah teknik, doktor biasanya akan menasihati supaya mengubah teknik larian,” katanya.

Menurut Tengku Fadilah, sekiranya doktor mengenal pasti terdapat otot paha yang lemah, maka pesakit akan diminta supaya menguatkan bahagian otot tersebut.

Ujarnya, salah satu cara menguatkannya otot paha adalah dengan melakukan senaman squad seperti menyilangkan kedua-dua kaki sebelum membongkokkan badan.

Dia memberitahu, sekiranya semua langkah yang diambil tidak berkesan, pesakit mungkin memerlukan suntikan kortison bagi memecahkan tisu bermasalah. Kortison merupakan hormon yang digunakan untuk merawat sakit sendi.

“Pengambilan kortison adalah jalan terakhir kerana ia meninggalkan kesan negatif seperti melemahkan ligamen dan tendon,” katanya.

Ketika berlari, sindrom tisu perantara iliotibial boleh berlaku apabila tisu 
tersebut membengkak dan bergesel dengan tulang paha, sekali gus menyebabkan kesakitan.