Dengan kemenangan itu, Kokilam telah melakar sejarah buat pertama kalinya dalam tempoh 35 tahun, seorang rakyat Malaysia berjaya muncul sebagai salah satu daripada tiga pemenang utama pertandingan ratu cantik Mrs. World. Ia merupakan pertandingan ratu cantik melibatkan wanita yang telah berumah tangga.

“Persaingan untuk Mrs. World amat sengit kerana ia melibatkan penyertaan juara-juara daripada 41 buah negara lain.

“Saya gembira kerana berjaya mendapat tempat ketiga atau 2nd Runner Up untuk pertandingan bertaraf dunia ini dan sekali gus dapat mengharumkan nama negara,” katanya yang mesra dipanggil Kogi kepada Pesona baru-baru ini.

Mahkota Mrs. World 2019 telah dimenangi peserta Vietnam, Jennifer Le diikuti tempat kedua, peserta Afrika Selatan, Matapa Maila Rikhotso.

Menyentuh mengenai kemenangannya di peringkat negara, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia bagaikan tidak percaya bahawa tuah berpihak kepadanya.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai pertandingan sedemikian. Apabila diumumkan sebagai juara untuk pertandingan tersebut sudah semestinya saya begitu gembira.

“Saya bagaikan tidak percaya bahawa tuah akan berpihak kepada saya apabila menjadi juara untuk pertandingan Mrs. Malaysia World 2018 seterusnya mewakili negara ke Las Vegas,” ujarnya.

Tambahnya, dia hanya mengetahui akan pertandingan tersebut melalui laman sosial Facebook.

Kogi tergerak hati untuk menghantar penyertaan tersebut bagi mencabar dirinya supaya menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain di luar sana.

Impian

Ibu kepada tiga anak iaitu Reshika Ratindraa, 6, Nareshryann Ratindraa, 8 dan Riteshryann Ratindraa, 11, itu berharap dengan kemenangannya akan menjadi sumber inspirasi kepada wanita-wanita yang ingin mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang tanpa mengira usia.

“Kepada semua wanita yang sudah berkahwin, anda boleh bermimpi besar jika anda yakin diri anda. Anda pasti akan mencapai semua impian anda,” kata anak Kuala Lumpur yang merupakan penuntut tahun ketiga peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan psikologi di Universiti Open Malaysia.

Dalam pada itu, Kogi menjelaskan, bukan mudah untuk dia sebagai ibu untuk menyertai pertandingan sedemikian.

Namun, dia gembira kerana keluarga terutama anak-anaknya amat memahami apabila dia memutuskan untuk menyertai pertandingan sedemikian.

“Saya perlu membahagikan masa untuk pertandingan ini dan juga menguruskan anak-anak.

“Disebabkan kesemua anak saya bersekolah, ia memudahkan untuk mengatur masa. Saya akan meluangkan masa untuk bersenam dan menghadiri kelas untuk pertandingan ini setelah menghantar mereka semua ke sekolah,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana suaminya juga tidak pernah menghalang untuk dirinya menyertai pertandingan ratu cantik tersebut.

Kogi dikehendaki melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berkaitan pertandingan itu secara sepenuh masa selama tiga bulan sepanjang menyertainya.

Dalam pada itu, Kogi menjelaskan, ketika bersaing di dalam pertandingan Mrs. Malaysia World 2018, para peserta juga dikehendaki melakukan aktiviti amal.

Ujarnya, pertandingan tersebut bukan sahaja mengenai kecantikan tetapi peserta juga perlu lengkap dengan pakej-pakej lain misalnya kemahiran menguruskan sesuatu aktiviti dan sebagainya.

“Untuk aktiviti amal itu, saya memfokuskan kepada usaha membantu anak-anak yatim dan orang-orang tua di pusat jagaan.

“Saya menganjurkan bengkel kraftangan bagi mengajar mereka menghasilkan kraftangan. Dengan kraftangan itu, ia mungkin boleh menjadi satu sumber pendapatan kepada mereka,” katanya.

Kogi akui, selepas berkahwin, keyakinan dirinya semakin berkurang, namun setelah menyertai pertandingan tersebut keyakinan dirinya kian bertambah.

“Pertandingan ini mengajar saya untuk tampil lebih yakin dan berani. Untuk menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain di luar sana, saya perlu ada semua itu.

“Bagi wanita yang sudah berkeluarga di luar sana, jangan takut untuk keluar dan memenuhi setiap impian anda,” katanya.