Situasi tersebut menyebabkan wanita berusia 38 tahun itu sering berasa rendah diri apabila bersama rakan-rakan sepejabat.

Memburukkan lagi keadaan, penampilan dan gaya Intan Saffinas turut diperlekehkan oleh suaminya ketika berada di dalam rumah.

Wanita yang berkhidmat sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta di ibu negara itu mendapati, imejnya agak ketinggalan zaman berbanding orang lain.

Menyedari hakikat itu, dia terpanggil untuk meningkatkan imejnya dengan menyertai edisi keempat Seminar Imej 360 di Dewan Persidangan TSR, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Seminar itu merupakan sebuah program yang diadakan untuk meningkatkan penampilan diri menerusi pakaian, solekan dan komunikasi.

“Saya menyertai seminar ini kerana masih banyak kekurangan dalam aspek penampilan. Ini kerana saya berasal daripada keluarga yang tidak mementingkan penampilan diri sejak kecil.

“Apabila dewasa, baru saya sedar bahawa penampilan diri sangat penting, terutamanya ketika di pejabat,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, salah satu perkara yang paling bermanfaat dalam seminar tersebut adalah perubahan mentalitinya terhadap definisi kecantikan.

Jelas Intan Saffinas, seminar tersebut berjaya meyakinkannya bahawa kecantikan tidak hanya terhadap golongan tertentu.

“Sebelum ini, saya berasakan diri ini tidak layak untuk berpakaian cantik atau bersolek seperti orang lain kerana tidak memiliki rupa paras serta bentuk badan yang cantik.

“Selepas seminar ini, saya berasa lebih bersemangat untuk menjaga penampilan diri meskipun tidak cantik seperti orang lain,” ujarnya.

Dia turut memberitahu, seminar anjuran Sylesense Solution Sdn. Bhd. itu berjaya meningkatkan keyakinannya untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling.

Ujarnya, seminar itu banyak memberi tip berguna dalam meningkatkan teknik komunikasi bersama rakan-rakan, bos dan suami.

“Kerjaya saya menuntut untuk sentiasa bijak berkomunikasi, terutamanya ketika menghadiri mesyuarat. Bos-bos akan menilai saya daripada komunikasi untuk proses kenaikan pangkat.

“Itu adalah salah satu matlamat jangka panjang saya menyertai seminar-seminar seperti ini,” jelas wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.

Seminar yang berjaya menarik seramai 700 orang peserta itu disampaikan oleh pengasas dan perunding imej terkemuka, Mary Anni Masarip.

Pengarah Projek Seminar Imej 360, Mohd. Fazli Tamziz berkata, idea untuk menganjurkan seminar itu bermula selepas mendapati ramai wanita yang dahagakan ilmu tentang penampilan diri.

Kesedaran

Jelasnya, banyak persoalan diajukan oleh golongan wanita melalui laman Facebook sehingga menyukarkan Mary Anni untuk menjawabnya satu persatu.

“Disebabkan kesukaran untuk menjawab persoalan itu, timbul idea untuk mengadakan seminar ini supaya penerangan boleh diberikan dengan lebih mudah dan jelas.

“Kami mula menganjurkan Seminar Imej 360 sejak tahun lalu. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kaum Hawa, sekali gus membolehkan kami menganjurkannya buat kali keempat,” katanya.

Menurut Mohd. Fazli, tujuan utama seminar itu adalah untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita tentang pentingnya penjagaan imej.

Dia memaklumkan, pihaknya ingin menyedarkan para peserta bahawa penjagaan imej tidak hanya terhad kepada mereka yang memiliki rupa paras cantik dan bentuk tubuh menawan.

“Kebanyakan wanita beranggapan, individu yang cantik sahaja perlu menjaga penampilan. Sebenarnya, mereka silap, orang bertubuh gempal atau tidak cantik juga perlu menjaga imej.

“Sebagai seorang wanita, penjagaan imej itu sangat penting kerana ia mampu meningkatkan keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang sekeliling,” ujarnya.

Seminar itu sesuai buat semua wanita sama ada pelajar, suri rumah atau bekerjaya profesional dengan bayaran serendah RM50 seorang.

Memandangkan Seminar Imej 360 berlangsung selama sehari, maka pihak penganjur terpaksa mempelbagai topik perbincangan imej pada setiap sesi.

Mendidik

Mohd. Fazli memaklumkan, antara topik wajib ialah berkaitan dengan penjagaan diri yang merangkumi pemilihan jenis dan warna pakaian mengikut bentuk tubuh serta majlis yang dihadiri.

Katanya, topik berkenaan turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai cara-cara memilih alat solekan yang sesuai dengan warna kulit muka mereka.

“Menerusi topik ini, kami ingin menyedarkan peserta bawa mereka boleh kelihatan cantik sekiranya bijak mengenakan pakaian dan alat solekan,” jelasnya.

Menariknya, seminar itu turut menekankan teknik komunikasi berkesan bersama orang kedua atau dalam kumpulan yang ramai.

Ujarnya, topik itu penting kerana masih ramai golongan wanita di negara ini tidak tahu cara berkomunikasi ketika berada di dalam bilik kuliah atau pejabat.

Pada seminar kali keempat, pihak penganjur menambah satu lagi topik perbincangan iaitu berkaitan pengurusan almari pakaian.

Mohd. Fazli memberitahu, topik itu diketengahkan untuk mendidik golongan tersebut supaya sentiasa bijak menguruskan almari pakaian mereka.

“Kami dapati ramai wanita yang mempunyai masalah lambakan pakaian dalam almari. Di sini, kami berkongsi tip kepada mereka untuk mengurangkan jumlah pakaian dalam almari,” jelasnya.

Selain acara utama, seminar itu turut menampilkan beberapa gerai jenama terkenal seperti Make, Anonna dan Elegant Lady.

Menariknya, gerai-gerai tersebut dibuka bagi memudahkan para peserta mencuba pakaian dan peralatan solekan yang bersesuaian dengan mereka.

“Di sini, kami turut menjemput beberapa rakan jenama untuk membuka gerai. Kami mahu memberi peluang kepada peserta untuk terus mengaplikasikan teori yang diajar,” jelasnya.

Salah seorang peserta, Farah Diyana Mohd. Hanib, 32, berkata, banyak manfaat yang diperoleh selepas menyertai seminar itu.

Wanita berasal dari Gombak, Selangor itu menjelaskan, seminar berkenaan berjaya menyedarkannya tentang kepentingan menjaga penampilan diri meskipun selepas berumah tangga.

“Ini kali pertama saya menyertai seminar tersebut selepas disarankan oleh rakan-rakan. Pada pendapat saya, ia sangat bermanfaat kerana banyak ilmu baharu yang diperoleh.

“Misalnya berkaitan pemilihan pakaian. Sebelum ini, saya rasa semua pakaian sesuai dengan bentuk badan, rupa-rupanya tidak,” jelas ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Farah Diyana yang juga seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta memaklumkan, maklumat yang disampaikan pada seminar itu lebih mudah difahami.

Jelasnya, ini kerana setiap maklumat yang disampaikan turut disertakan contoh kes dan teori bagi memudahkan peserta memahaminya.

“Sebenarnya, ada maklumat yang boleh diperoleh menerusi carian internet. Namun, pengalamannya tidak sama dengan seminar ini,” tuturnya.

Seminar Imej 360 memberikan penekanan kepada aspek pakaian, solekan dan komunikasi dalam kalangan kaum Hawa.