Mahkamah Sivil akan menggunakan prinsip Undang-Undang Inggeris termasuk menyelesaikan kes-kes daripada Perbankan Islam serta Takaful.

Ini kerana bidang kuasa Mahkamah Sivil adalah bebas dan tidak terikat dengan prinsip-prinsip syariah.

Ia disebabkan dokumen yang diperbuat mengambil kira kedudukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kontrak 1950.

Hasilnya, Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa penuh dalam pertikaian yang timbul mengenai perbankan Islam dan tiada undang-undang muamalat secara bertulis mengenainya.

Situasi ini telah mewujudkan kerumitan kepada mahkamah dalam memberikan keputusan yang tepat sepertimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.

Pergantungan kepada pandangan fiqah yang pelbagai akan menimbulkan ketidakpastian mazhab yang hendak dipakai.

Permasalahan ini menjadi bertambah rumit apabila hakim di Mahkamah Sivil masih lagi menangani masalah itu.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad turut menyatakan bahawa hakim-hakim mahkamah sivil mempunyai kelemahan dalam membuat keputusan mengenai isu-isu syariah.

Pihak mahkamah hendaklah merujuk kepada Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia sekiranya berkaitan dengan isu-isu syariah.

Sebagai alternatif, Rangka Kerja Pengawalseliaan Perundangan di Malaysia telah menyediakan dua mekanisme untuk penyelesaian pertikaian dalam perbankan Islam yang dikenali sebagai litigasi atau timbang tara yang diperuntukkan dalam Seksyen 56 Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Timbang tara

Seksyen ini menyatakan bahawa prosiding yang berkaitan dengan perbankan dan kewangan Islam boleh dibuat melalui mahkamah serta kaedah timbang tara tetapi tertakluk pada rujukan yang dibuat kepada Majlis Penasihat Syariah.

Kaedah timbang tara merupakan salah satu kaedah penyelesaian pertikaian alternatif yang diwujudkan bagi pihak terlibat menyelesaikan pertikaian mereka di luar mahkamah (bukan melalui proses perbicaraan di mahkamah).

Selain kaedah timbang tara, kaedah seperti pendamaian (conciliation), pengantaraan (mediation) dan kaedah sulh (penyelesaian secara baik) juga merupakan di bawah kategori ini.

Kaedah penyelesaian pertikaian alternatif ataupun sering dikenali sebagai Alternative Dispute Resolution merupakan kaedah penyelesaian yang sama sekali tidak akan bertindih bidang kuasanya dengan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Sekiranya pihak-pihak yang terlibat masih tidak dapat menyelesaikan pertikaian yang dialami, mereka boleh membawa ia ke mahkamah.

Seperti mana perubahan dalam masa dan perubahan terhadap kepentingan aspek sosial, keadaan-keadaan yang tertentu akan mewujudkan ruang bagi kaedah ‘pengadilan tanpa perbicaraan mahkamah’ ini untuk berkembang.

Sarjana Barat menyebut makna negara sekular ialah sebuah negara yang ditadbir dan diuruskan tanpa wujud sebarang pengaruh agama mahupun unsur-unsur keagamaan.

Secara mudahnya, negara sekular terbangun di atas satu doktrin bahawa agama harus dipisahkan terus daripada urusan politik dan pentadbiran kenegaraan.

Memetik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menegaskan definisi ini dengan menyentuh persoalan sebuah kerajaan sekular tidak boleh sesekali menggunakan dana negara untuk sebarang program, polisi mahupun dasar yang memberikan kelebihan kepada mana-mana agama.

Demikianlah asas negara sekular yang banyak diamalkan di kebanyakan negara di Barat, bahkan di negara majoriti umat Islam seperti Turki, Algeria, Tunisia dan Lebanon hingga dimaktubkan dalam Perlembagaan masing-masing.