Patung kertas fabrik atau fabric paper doll hasil kerja tangan usahawan kraf, Elmi Samanhudi, 32, sarat dengan elemen seni busana tradisional Melayu yang mampu menambat hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Produknya itu bukan sekadar patung mini untuk hiasan atau dekorasi, namun boleh dimanfaatkan untuk program interaktif atau aktiviti yang melibatkan hubungan dua hala antara pengajar dan peserta dalam sesuatu bengkel.

Katanya, segalanya bermula daripada hobi melukis serta gemar melihat pakaian dan perhiasan tradisional Melayu.

“Mengapa tidak ketengahkan sesuatu yang memang menjadi identiti kita? Pakaian tradisional seperti baju Melayu, kurung dan kebaya dengan perhiasan lengkap seperti tanjak dan cucuk sanggul goyang contohnya, amat cantik. Ramai yang terlepas pandang betapa indah, unik dan terperincinya hiasan kepala untuk wanita sebenarnya.

“Kita ada banyak pakaian dan aksesori. Banyak sebenarnya yang boleh ‘diceritakan’ kepada orang luar, malah mungkin kepada rakyat kita sendiri,” katanya kepada Bernama sewaktu aktiviti simulasi Reka-Reka Kraf Rakyat yang merupakan program pra-Pasareka 2018 di Kompleks Kraf Johor, baru-baru ini.

Produk kraf ini hadir dalam bentuk kit yang mengandungi bahagian-bahagian kertas yang perlu disambungkan oleh pengguna atau pembeli untuk membentuk ‘manusia’ lengkap. Ia meliputi bentuk badan, kaki, tangan, kepala dan sanggul.

Kemudian berdasarkan kreativiti, pengguna dengan menggunakan kain-kain perca tersebut akan membentuk busana yang bersesuaian.

Selain itu, batang lidi, kayu aiskrim serta kertas tebal turut digunakan bagi tujuan menghias kraf berkenaan apabila siap.

Anak kelahiran Kempas, Johor itu pada mulanya meminati kraf sedemikian sekadar hobi pada 2016 untuk diberikan kepada rakan-rakan dan keluarga. Sejak pertengahan 2017, dia telah menjual krafnya itu dalam bentuk hiasan magnet peti sejuk terutamanya kepada ibu bapa dan cikgu-cikgu sekolah sebelum hadir dalam bentuk kit interaktif ini.

“Sebelum ini saya hanya membuat dan menjual produk kraf ini sebagai hiasan magnet peti sejuk. Dengan terilhamnya produk bersifat interaktif ini, ia memberi kepuasan berganda apabila saya berpeluang mengajar dan mendedahkannya kepada masyarakat bagaimana untuk menghasilkan kraf ini,” katanya yang turut menyediakan peralatan seperti gam, gunting, pisau dan pita pelekat untuk menghasilkan patung kertas fabrik itu.

Tambah Elmi, kit itu turut disertakan dengan arahan dan kad maklumat berkaitan pakaian tradisional yang akan dihasilkan.

Menurutnya, kit interaktif ini juga boleh dimasukkan dalam subjek tertentu di sekolah atau dijadikan aktiviti berkaitan pelancongan. Selain itu, ia juga boleh dibuat oleh kaum wanita atau ibu sebelum dijual bagi menjana pendapatan sampingan.

Ole-ole

Jelasnya, bekalan kain perca diperoleh daripada rakan-rakan selain sebahagiannya turut dibeli. Kain-kain perca itu digunakan untuk melakukan suai padan antara corak baju, kain, seluar, selendang mahupun samping pada patung kertas itu.

“Penggunaan kain perca bukan sahaja boleh menjimatkan kos bahkan menggalakkan kitar semula lebihan kain yang tidak digunakan.

“Kain perca akan dipasang (digam) pada kit yang telah digunting mengikut bentuk. Bagi aksesori kepala, terdapat beberapa jenis cucuk sanggul yang boleh digayakan bergantung kepada kreativiti si pembuat,” jelasnya.

Elmi pada masa sama turut berkongsi perancangannya untuk menghasilkan kit patung kertas fabrik yang lebih lengkap beserta garis panduan pembuatannya di samping bercadang memperluaskan tema rekaan kepada pakaian tradisional kaum lain di Malaysia.

Menggunakan jenama Vinca Label, anak ketiga daripada enam beradik itu turut menambah, dia pernah menghasilkan hiasan magnet bertemakan gaya pemakaian hijab wanita negara ini. Tanpa diduga, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong terutamanya dari Taiwan dan Jepun.

“Mungkin mereka lihat wanita negara ini mengenakan hijab dengan pelbagai gaya, justeru hiasan magnet itu dirasakan sesuai untuk dijadikan ole-ole dari Malaysia,” katanya yang turut menghasilkan hiasan magnet bertemakan wau dan lain-lain simbolik negara ini.

Menyifatkan industri pelancongan luas untuk diteroka dan boleh menjadi sumber pendapatan jika dimanfaatkan sebaiknya, Elmi berkata seseorang itu perlu menghasilkan sesuatu yang memberi makna kepada masyarakat dan negara kerana ia pasti akan memberi pulangan baik kepada mereka.

Katanya, kraf itu boleh didapati pada kadar harga RM10 atau RM15 bergantung kepada variannya sama ada hitam putih atau berwarna.

Sila layari Facebook Vinca Label bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai hiasan magnet dan kraf interaktif ini. – Bernama